Sebanyak 338 pelajar tingkatan lima daripada 27 sekolah sekitar Daerah Kluang, Johor telah menyertai  Program Simulasi Haji dan Umrah “Labbaika Ya Allah” iaitu program dwi tahunan Sekolah Menengah Agama Kerajaan Johor yang diadakan pada 26 April lalu bertempat di Sekolah Menengah Agama Kerajaan Johor, Kluang.
Matlamat program ini dijalankan adalah agar dapat memberi pendedahan secara praktikal mengenai ibadat haji dan umrah di samping menyemai minat dan cita-cita menunaikan rukun Islam yang kelima. Ibadah haji merupakan kemuncak rukun Islam seseorang dan pelaksanaannya merangkumi falsafah empat rukun Islam sebelumnya iaitu syahadah, solat, menahan kesabaran dan kesediaan berkorban harta. Justeru, pelaksanaannya perlu dihayati dengan sepenuh jiwa bermula di alam persekolahan lagi.Pelajar perlu diberi pengalaman belajar sebagai langkah awal untuk melaksanakan tuntutan haji dan umrah di samping dapat membantu mereka untuk lebih memahami tentang haji dan seterusnya memudahkan mereka dalam urusan menjawab soalan peperiksaan mereka.
Dengan tema “Berjaya Di Dunia, Cemerlang Di Akhirat,” program ini merupakan program kerjasama antara pelajar –pelajar Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum Kursus Umrah Dan Haji seksyen 1 (UQD10301), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia dengan Pejabat Pendidikan Daerah Kluang dan Tabung Haji Daerah Kluang.
Program ini telah mendapat penyertaan yang menggalakkan dari sekolah-sekolah daerah Kluang antaranya seperti SMK Seri Intan, SMK T6, SMK Layang-Layang dan SM Sains Johor. Program ini telah disempurnakan oleh Ketua Jabatan Kesukarelawanan , Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum (PPUK) UTHM, Dr Zahrul Akmal Damin.
Program simulasi haji ini diisi dengan penerangan tentang haji dan umrah oleh fasilitator dari Tabung Haji iaitu Ustaz Haji Abdul Rahman Othman dan Ustaz Syariful Anam Arsyad. Manakala para peserta diwajibkan untuk memakai kain ihram bagi pelajar muslim dan kain telekung bagi pelajar muslimat dari sekolah lagi bagi memudahkan urusan simulasi.
Seusai sahaja selesai ceramah haji dan umrah , para pelajar diminta bersiap sedia untuk melakukan amali umrah dan haji. Mereka perlu melalui beberapa checkpoint, diselitkan dengan niat ihram haji atau umrah, bacaan talbiah dan diakhiri dengan melakukan Arafah, Muzdalifah , Mina , Jamrat , Tawaf dan Saie.
Di penghujung program, para peserta memberikan maklum balas yang sangat baik dengan menzahirkan keceriaan dan kepuasan di wajah masing-masing. Semoga program dan usaha kecil seumpama ini menjadi satu titik anjakan paradigma kepada umat islam di dunia ini untuk  terpanggil mengerjakan rukun islam yang kelima.
Dalam riwayat Al-Bukhari, Rasullullah telah bersabda yang bermaksud satu ibadah umrah sehingga sampai umrah lainnya adalah sebagai pelebur(dosa) di antara keduanya. Sedang haji yang mabrur tidak mempunyai balasan kecuali syurga.”