Batu Pahat – Festival Inovasi Anjuran Fakulti Pendidikan Teknikal Vokasional (FPTV) 2016, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang berlangsung pada 29 November lalu menyaksikan persembahan beberapa reka bentuk dan inovasi pelajar yang bertemakan permasalahan yang dihadapi oleh Industri Kecil dan Sederhana (IKS).
Melalui festival ini, pelajar telah menghasilkan produk dan konsep reka bentuk berdasarkan masalah yang dihadapi oleh IKS yang mereka pilih. Penyelesaian adalah mengikut inovasi dan kreativiti kerja berkumpulan pelajar yang mana secara tidak langsung mendedahkan mereka kepada situasi sebenar yang dihadapi IKS.
Pengiktirafan berdasarkan emas, perak dan gangsa telah diberikan kepada hasil projek kumpulan pelajar Reka Bentuk Industri. Penilaian markah tersebut telah dilaksanakan oleh lapan orang panel IKS jemputan. Bagi kursus “Kreativiti dan Inovasi,” produk mereka dinilai mengikut seksyen, setiap seksyen memilih tiga pemenang. Secara keseluruhannya, semua peserta dinobatkan sebagai pemenang kerana telah menghasilkan pelbagai produk yang berkualiti serta mempunyai potensi untuk menghasilkan sesuatu produk yang lebih baik pada masa akan datang.
Melalui festival inovasi ini, setiap pelajar dapat meningkatkan lagi daya kreativiti dan mengembangkan bakat yang ada dalam diri pelajar tersebut. Melalui program ini juga berjaya memantapkan pengalaman pelajar dalam menjalankan program fakulti berdasarkan elemen-elemen kemahiran insaniah seperti komunikasi, kerja kumpulan, kepimpinan dan kemahiran kritis dan menyelesaikan masalah.
Majlis perasmian penutup pada hari yang sama telah disempurnakan oleh Timbalan Dekan Timbalan Dekan (Penyelidikan, Pembangunan Penerbitan) FPTV, Professor Madya Dr. Badaruddin Ibrahim. Beliau dalam ucapannnya berkata penganjuran program seperti ini perlulah diperluaskan lagi agar dapat melahirkan pelajar yang mempunyai semangat daya saing serta berfikiran kreatif dan inovatif. Festival ini adalah suatu kejayaan yang boleh dibanggakan oleh UTHM kerana menerusi program yang dianjurkan oleh FPTV yang secara tidak langsung dapat melahirkan bakal guru yang berpengetahuan, berkemahiran teknik dan vokasional serta mempunyai pengetahuan yang kreatif serta berinovatif yang tinggi.
Antara IKS jemputan yang menyertai festival ini ialah Lyn’s Food Enterprise, Senggarang, Batu Pahat, Begebul Enterprise, Taman Lampoon, Batu Pahat, JZ Legacy, Taman Sri Impian, Kluang, Perusahaan Mee Karjo, Parit Karjo, Batu Pahat, Kruss Success Enterprise, Taman Bersatu, Kluang, Iliyas Perabut SB, Parit Raja, Batu Pahat, Siti Raya Food, Rengit, Batu Pahat dan Perusahaan Dodol Seri, Ayer Hitam, Batu Pahat.