Batu Pahat – Living Micro Corporation Sdn. Bhd. menyerahkan sumbangan endowmen sebanyak RM600,000.00 dalam bentuk barangan kepada Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dalam satu majlis ringkas yang diadakan pada 27 Oktober 2016 bertempat di aras 5, Perpustakaan Tunku Tun Aminah, kampus induk.
Pemberian sumbangan tersebut adalah bagi tujuan perlaksanaan aktiviti Penyelidikan dan Pembangunan (R D) produk makanan supplement berasaskan moringa, produk makanan ternakan haiwan menggunakan sisa pertanian dan produk rawatan air menggunakan teknologi mikrob.
Pemberian sumbangan ini akan diuruskan oleh Profesor Madya Dr. Zawawi Daud dari Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar (FKAAS) sebagai wakil yang dilantik oleh pihak universiti.
Dalam majlis ringkas tersebut, satu pertukaran dokumen yang ditandatangani sebelumnya telah dibuat antara Dr. Muhammad Alee Abdullah, Pengerusi Living Micro Corporation Sdn. Bhd. dan Profesor Dr. Wahid bin Razzaly, Menjalankan Fungsi Naib Canselor sebagai simbolik kerjasama dua pihak.
Menurut Profesor Dr. Wahid, pihak universiti amat berterima kasih dan berbesar hati menerima sumbangan tersebut dan akan memastikan ianya diuruskan dengan baik dan telus demi mencapai matlamat bersama iaitu menjadikan bidang penyelidikan universiti sebagai sesuatu yang boleh dikembang dan dikomersialkan.
Turut hadir, Dato’ Haji Awang Mohamad, Yang Dipertua Persatuan Bugis negeri Johor, Profesor Madya Dr. Asri Selamat, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar Alumni) dan Profesor Dr. Rosziati Ibrahim, Menjalankan Tugas Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan Inovasi).