Tanjung Laboh – Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh mengumumkan penukaran nama baharu bagi Pusat Latihan dan Kegiatan Luar (PUSKEP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) kepada Pusat Minda Emas (PuMAS) semasa berucap di Majlis Perasmian Pusat tersebut yang diadakan pada 25 Ogos lalu.
Menurut beliau, penukaran nama baharu ini adalah sebagai satu inspirasi bagi PuMAS untuk melahirkan modal insan yang berminda EMAS.
Pusat ini mula dibina pada tahun 2011 dan siap sepenuhnya pada 2016. Dari segi kedudukan, Pusat latihan ini terletak di Kampung Tanjong Laboh, Senggarang iaitu kira-kira 13 km dari bandar Batu Pahat dan 25km dari kampus induk UTHM. Kedudukan ini amat strategik kerana ia berada di laluan utama dari Bandar Batu Pahat – Pontian dan berdekatan dengan pantai Tanjong Laboh yang berhadapan dengan Selat Melaka.
Lokasi PuMAS ini juga terletak bersebelahan Lapangan Terbang Tanjong Laboh, iaitu sebuah lapangan terbang lama yang pernah digunakan semasa perang dunia kedua dahulu. Mengikut perancangan, UTHM akan menjadikan lapangan terbang ini dan kawasan sekitarnya bagi kegunaan latihan dan pengajaran program Aeronautik yang pada ketika ini beroperasi di Kampus Parit Raja dan pusat-pusat latihan penerbangan yang dilantik.
PuMAS yang dibina di atas tanah seluas 15 ekar menelan belanja kira-kira RM11 juta oleh pemaju Kosmo Setegas Sdn. Bhd. Kemudahan yang disediakan adalah merangkumi sebuah Dewan Seminar yang boleh memuatkan 200 orang, tiga bilik latihan, sebuah Dewan Makan, sebuah Surau, Blok Penginapan Lelaki dan Perempuan yang boleh memuat 100 orang pada satu-satu masa serta Blok Penginapan VIP.
PuMAS ini akan menjadi pusat latihan dan kegiatan luar yang kondusif dengan pelbagai kemudahan setaraf pusat latihan luar yang lain dan berupaya dijadikan pilihan utama kepada warga universiti yang ingin melaksanakan aktiviti Pusat Tangggungjawab dan pelajar masing-masing secara berpusat dan menjimatkan dari segi masa dan tenaga.
Selain itu, PuMAS ini juga bakal menjadi salah satu sumber penjanaan pendapatan bagi UTHM melalui sewaan ruangan dan kemudahan kepada pihak luar. Dengan kadar sewaan yang kompetetif, PuMAS mampu menawarkan pelbagai kemudahan dengan pakej sewaan kepada pelbagai agensi awam dan swasta sebagai pusat latihan yang lengkap dengan kadar sewaan yang berpatutan.
UTHM berhasrat untuk menjadikan PuMAS sebagai pusat bagi membangunkan sosio ekonomi masyarakat setempat khususnya di Tanjong Laboh dan Pekan Senggarang. Dengan rancaknya aktiviti di PuMAS ini nanti, semestinya ia akan memberi kesan langsung kepada masyarakat sekitar. Lanskap pembangunan Tanjong Laboh dan selatan daerah Batu Pahat ini akan berkembang dengan pesat untuk dekad yang akan datang.