Kor SISPA Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mendapat tempat ketiga daripada keseluruhan 14 buah IPT yang bertanding dalam cabaran kemahiran Kawad Kaki dan simulasi CD Skill yang diadakan sempena Majlis Pentauliahan dan Perhimpunan Kor SISPA kali ke 7 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Kampus Sultan Azlan Shah, Perak pada 20 Ogos lalu.
Pentauliahan yang bermula pada 17 hingga 21 Ogos lalu ini melibatkan seramai 895 kadet Kor Sispa dari 12 buah universiti awam dan enam institusi pengajian tinggi swasta. Majlis ini disempurnakan oleh Dato’ Seri Dr. Shahidan Kassim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri di Majlis Perbarisan Tamat Latihan Pegawai Kadet Sispa sempena Majlis Pentauliahan dan Perhimpunan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) ini pada 21 Ogos lalu. Beliau dalam sidang media turut mengumumkan bahawa pada 1 September akan datang JPAM akan diwartakan sebagai Angkatan Pertahanan? Awam Malaysia atau nama pendeknya APM.
Turut diadakan upacara penyampaian hadiah Pegawai Kadet Sispa Terbaik, Lt.Muda (PA) Mohamad Saifullah Bin Tk dari Fakulti Pendidikan Teknikal Dan Vokasional, UTHM bersama lapan IPT yang memenuhi syarat.
Sementara itu YAS KPj. (PA) Datuk Haji Ogu Salim Omar, Ketua Pengarah JPAM Malaysia pula berharap agar Pegawai Muda yang ditauliahkan dapat melibatkan diri dalam aktiviti untuk kesinambungan daripada pentauliahan agar terus bersama dalam memperkasakan APM berdasarkan ilmu yang telah diperolehi supaya dapat memberikan perkhidmatan kepada orang awam.
Kontinjen Kor Sispa UTHM diketuai oleh Mej. Bersekutu (PA) Norza Iskandar Helmi Abdullah melibatkan 49 pegawai kadet SISPA yang ditauliah dengan gelaran Leftenan Muda pertahanan Awam. Manakala keseluruhan peserta kemahiran Kawad kaki seramai 31 peserta dan Simulasi CD Skill seramai 9 orang.
PPj. Kehormat (PA) Prof. Dr. Wahid Razzaly, Komandan kor Sispa UTHM turut hadir memeriahkan majlis pentauliahan. Hadir sama ke majlis perasmian kali ini adalah Profesor Dato’ Dr. Zakaria Kasa,Naib Canselor UPSI; PPj. Kehormat (PA) Profesor Dato’ Dr. Noraini Idris, Komandan Kor Sispa UPSI; Komandan-Komandan Kor Sispa, pegawai-pegawai kanan JPAM serta pegawai-pegawai kanan universiti.
Persediaan dan usaha keras selama empat hari yang diberikan oleh kontijen sebelum pertandingan ini banyak membantu dalam membentuk dan memantapkan penyertaan Kor Sispa UTHM pada tahun ini. Sokongan dan bantuan yang berterusan daripada Pegawai Bersekutu, Pegawai Penyelaras, Pegawai Muda, Jurulatih, Pejabat Negeri Pertahanan Awam Johor dan Pejabat Daerah Pertahanan Awam Batu Pahat juga telah menambahkan lagi semangat pasukan untuk terus mengekalkan kecemerlangan.
Tahap disiplin yang tinggi yang ditunjukkan oleh para peserta dan semangat kesukarelawan yang padu dalam menghadapi cabaran kemahiran seramai 40 peserta meletakkan Sispa UTHM antara pasukan yang terunggul dalam pertandingan kali ini.