Bagi menyemarakkan semangat para penuntut yang menyertai Program Mobiliti Yogyakarta 2016, satu majlis Amanat Naib Canselor bersama Profesor Datuk Dr. Mohd Noh Dalimin telah diadakan pada 28 Mac baru-baru ini di Perpustakaan Tunku Tun Aminah, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Majlis yang berlangsung di perkarangan perpustakaan ini turut disertai oleh Puan Hajah Sarebah Warman, Pengarah Ko-Kurikulum, Dr. Khairnesa Bt Isa dan Encik Abd Hadi bin Mohamed Zainal selaku pegawai pengiring di Yogyakarta.
Seramai 12 orang penuntut dari UTHM akan menyertai sebuah program mobiliti berkredit (Kerja Kuliah Nyata) kokurikulum di Universiti Gadjah Mada, Yogyakarta bermula pada 30 Mac sehingga 17 April 2016.
Profesor Dr. Mohd Noh mengucapkan tahniah kepada para peserta yang terpilih menyertai program ini sekaligus menjadi ikon kepada pihak UTHM dan Malaysia.  Mereka diharapkan dapat menunjukkan sikap dan imej yang baik semasa berada di Yogyakarta serta dapat menjaga tingkah laku.
Para peserta mobiliti juga turut diingatkan supaya dapat menjaga kebersihan diri dan persekitaran serta memperbanyakkan minum air dan membawa ubat-ubatan bagi mengelakkan masalah kesihatan sepanjang berada di sana.
Peluang yang diberikan selama 19 hari ini merupakan peluang yang perlu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh para penuntut untuk menimba ilmu dan mendalami konsep Kuliah Kerja Nyata.
Majlis diselitkan dengan simbolik penyerahan bendera Malaysia kepada Ketua Kontingen Mobiliti Berkredit Kokurikulum, Saudara Mohd Hafidzul Ashraf Mazeri.

Source: 12 penuntut UTHM sertai program Mobiliti Yogyakarta 2016