Oleh Prof. Dr. Ismail Omar
Pensyarah dan Felo Penyelidik Institut Transformasi Sosial Wilayah (TRANSFORM)
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia(UTHM)
Diterbitkan di Utusan Online
26 Februari 2016 6:18 PM
PADA 2014, semasa penyelidikan perumahan dan pemilikan harta tanah Bumiputera di Wilayah Iskandar Malaysia dijalankan, pasukan penyelidik telah menghantar wakil ke beberapa universiti terkenal di United Kingdom, salah satunya Universiti Reading di England; – universiti terkemuka dalam bidang harta tanah yang mempunyai sebuah pusat harta tanah iaitu Kolej Pengurusan Harta Tanah di Universiti Reading.
Dalam perbincangan dengan beberapa profesor dalam bidang perumahan, mereka menyarankan supaya Kerajaan Malaysia mengkaji lebih mendalam penggunaan konsep dan aplikasi wakaf bagi merumahkan rakyat mengikut kadar kemampuan mereka. Maknanya, kita mempunyai sumber tanah yang boleh dimajukan bagi menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat yang kurang berkemampuan.
Terkejut pengkaji berkenaan kerana pihak luar negara lebih mengetahui tentang wakaf di negara kita. Sedangkan ramai rakyat dan agensi kerajaan dalam negara yang tidak mengetahui tentang peluang-peluang bagi memajukan tanah untuk menyediakan perumahan rakyat melalui pembangunan tanah-tanah wakaf.
Pandangan berkenaan selaras dengan pendapat pihak Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) di Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang menyatakan bahawa semua tanah wakaf mempunyai potensi untuk dimajukan mengikut kesesuaian guna tanah dan keperluan rakyat. Tanah-tanah wakaf yang terbiar dan tidak bernilai di pasaran perlu dikaji supaya nilainya boleh dibuka dan ditambah.
Dalam perkataan lain, nilai pendam tanah wakaf perlu dizahirkan sebagai nilai pasaran terbuka melalui usaha menukar penggunaan matan yakni pembangunan fizikal yang sewajarnya. Penglibatan kerajaan, pengurus tanah wakaf dan para ulama adalah penting untuk mempertingkatkan potensi tanah-tanah wakaf. Perdana Menteri di dalam ucapannya semasa pelancaran projek tanah wakaf Ahmad Dawjee Dadaboy telah menyarankan supaya dikaji kemungkinan mempelbagaikan kegunaan tanah wakaf seperti tapak masjid supaya faedahnya kepada masyarakat Islam dapat dipertingkatkan dan diperluaskan.
Lantaran, langkah-langkah memajukan tanah-tanah wakaf telah pun diambil sejak penubuhan Jawhar pada 2004 dan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) pada 2008. Pihak Agensi Berkaitan Wakaf (ABW) berjaya melalui sinergi dan perkongsian ikhlas membangunkan pelbagai bentuk pembangunan di atas tanah-tanah wakaf di seluruh negara. Antara ikon pembangunan harta tanah kediaman di atas tanah wakaf ialah Taman Perumahan Seetee Aishah di Pulau Pinang dan beberapa skim perumahan di Terengganu, Kelantan, Perak, Kedah, Johor dan sebagainya.
Sejak akhir-akhir ini, pelbagai pihak tampil menyuarakan pandangan mengenai cara menyuburkan budaya berwakaf di negara kita. Bukan setakat memberi pandangan semata-mata, usaha menubuhkan perbadanan wakaf, pertubuhan berkaitan wakaf dan seminar-seminar tentang wakaf begitu rancak dijalankan. Namun, semua usaha ini perlu diselaras, dibimbing, dipantau dan disusun supaya lebih sistematik dalam satu pergerakan yang tersusun. Lebih menarik lagi terdapat pandangan agar berhati-hati supaya lebih mendapat keberkatan dan kejayaan seperti yang diidam-idamkan.
Terutama sekali apabila menjalankan usaha membangunkan skim perumahan yang melibatkan tanah-tanah wakaf yang mempunyai masalah fizikal seperti topografi yang rendah dan sering dilanda banjir. Keadaan fizikal seperti ini menyebabkan tanah wakaf mempunyai nilai pasaran yang rendah. Sekiranya hendak dimajukan, kos pembangunan menjadi tinggi untuk menimbus tanah dan sebagainya.
Sekiranya pihak MAIN hendak mengaplikasi konsep istibdal, syarat-syarat hukum syarak perlu dipatuhi mengikut fatwa yang berkaitan. Istibdal adalah penggantian harta tanah wakaf dengan harta tanah yang lain sama ada mengikut kategori guna tanah yang sama atau secara perbandingan nilai pasaran dengan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan hukum syarak melalui fatwa yang berkaitan.
Enakmen Wakaf (Negeri Melaka) 2005 memberikan tafsiran istibdal sebagai, “menggantikan suatu harta wakaf dengan harta lain atau wang yang sama atau lebih tinggi nilainya sama ada melalui gantian, tukaran, belian, jualan atau apa-apa cara lain menurut hukum syarak.” Manakala Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam yang ke-41 pada 3 November 1996 telah membuat keputusan iaitu “wakaf istibdal dan saham wakaf adalah amat baik dan perlu diamalkan pada masa ini kerana pembangunan sedang berjalan dengan pesat.
Maka sudah sampai masanya segala amalan dan urusan wakaf diubah suai agar tidak terikat kepada Mazhab Syafie sahaja.
Untuk membantu mempercepatkan proses pembangunan tanah-tanah wakaf di seluruh negara, usaha terancang dan menyeluruh boleh dilaksanakan antaranya dengan pembentukan Jawatankuasa Istibdal di peringkat kebangsaan, mungkin di bawah Jawhar dengan keahlian semua MAIN. Sekretariat ini mungkin boleh memiliki struktur sama seumpama Majlis Tanah Negara (MTN) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri dan dianggotai semua menteri besar dan ketua menteri.
Jawatankuasa Istibdal perlu menyelaras pentadbiran dan pengurusan tanah-tanah wakaf seluruh negara, termasuk mengenal pasti kedudukannya di lokasi strategik untuk proses istibdal dengan tanah-tanah wakaf di lokasi yang kurang berpotensi dan bernilai rendah.
Setelah proses istibdal selesai, tanah gantian di lokasi yang baru boleh dibangunkan dan pulangannya boleh dikongsi bersama pihak-pihak yang berkepentingan. Pulangan yang terhasil akan membolehkan pihak berkenaan membantu memajukan tanah-tanah wakaf yang lain pula. Dana istibdal diperoleh daripada pelbagai sumber termasuk kerajaan, badan korporat dan kebajikan, serta boleh dikumpulkan melalui produk-produk wakaf berasaskan wakaf tunai dan saham wakaf.
Tanah-tanah wakaf mesti dimajukan mengikut keperluan rakyat. Keperluan rakyat berbagai-bagai mengikut keadaan semasa. Antara yang paling mendesak adalah menyediakan rumah yang mampu dibeli pada tingkat pendapatan dan perbelanjaan asas sesebuah keluarga.
Dalam konteks ini, suatu ukuran atau indeks kemampuan rakyat untuk membeli rumah perlu dikaji dan dibentuk sebagai panduan kepada semua pihak terutama pemaju, bakal pembeli, bank, lembaga pembiayaan perumahan kerajaan, ahli-ahli profesional seperti penilai, pentadbir tanah dan sebagainya.
Cabaran untuk mempertingkatkan potensi pembangunan hampir 30,000 hektar tanah wakaf di seluruh negara, hanya 12% (atau 3,600 hektar) sahaja yang dikategorikan sebagai telah dimajukan. Baki 88% (atau 26,400 hektar) lagi masih belum dimajukan. Hanya kira-kira 2% terletak di dalam atau berhampiran pusat pertumbuhan utama iaitu di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Pulau Pinang.
Faktor lain yang turut mempengaruhi potensi tanah wakaf adalah saiz yang tidak ekonomik untuk tujuan pembangunan yang berimpak besar. Di Melaka, hanya 20% tanah wakaf di negeri itu mempunyai keluasan melebihi seekar iaitu 0.4 hektar.
Justeru, semua pihak perlu sedar tentang kepentingan untuk memartabatkan wakaf mengikut kebolehan, kemahiran dan kesesuaian masing-masing. Perkara ini bukanlah terletak di bahu para ilmuwan agama sahaja malah golongan profesional juga perlu menggembleng tenaga memajukan tanah-tanah wakaf.
PROF. DR. ISMAIL OMAR dari Jabatan Pengurusan Harta Tanah, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn, ialah juga Presiden Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia (PERTAMA) dan Ketua Perunding Pelan Induk Transformasi Harta Tanah Wakaf Negara.
– See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/wakaf-tanah-untuk-rumah-rakyat-1.194456#sthash.qpPYb7Wa.dpuf