Membawa naskah bertajuk “Sang Ningrat Abdul Rahman Andak” yang mengisahkan perjuangan seorang tokoh ternama negeri Johor pada tahun sebelum merdeka, kumpulan Teater Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah meraih tiga kategori anugerah iaitu “Juara Keseluruhan”, “Pengarah Terbaik” dan “Sinografi Terbaik” di Festival Teater Negeri Johor 2015 yang berlangsung pada 1 hingga 3 November lalu bertempat di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, Johor Bahru.
Encik Rosdi Abdullah, staf Unit Kebudayaan Pejabat Hal Ehwal Pelajar, UTHM yang dinobatkan sebagai “Pengarah Terbaik” dalam pertandingan tersebut merupakan graduan Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dan Universiti Malaya dalam jurusan seni persembahan dan kini menyambung pengajian secara sambilan di Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional UTHM.
Menurut Rosdi, beliau mengambil cabaran membawa pelajar kejuruteraan untuk bertanding di festival yang majoritinya disertai oleh pengiat seni kerana baginya setiap usaha itu pasti membuahkan hasil jika berusaha gigih.
“Merangkul anugerah “Pengarah terbaik” dan “Sinografi Terbaik” adalah sesuatu yang luar jangkaan saya kerana saingan terlalu sengit pada tahun ini. Bukan mudah untuk mengarah pelakon yang tidak ada pengalaman di atas pentas, tetapi sebagai pengarah itulah cabaran yang menuntut saya menjadi lebih kreatif,” katanya yang juga bertindak sebagai Pereka Tatacahaya serta Pengolah Skrip.
Sebahagian pelajar yang terlibat dalam produksi ini adalah dari Kelab Warisan UTHM iaitu sebuah kelab dibawah bimbingan Unit Kebudayaan HEP yang sentiasa membuka ruang untuk pelajar bersaing diperingkat yang lebih tinggi. Manakala sebahagian lagi yang terlibat adalah dalam kalangan pelajar kelas Kokurikulum “Teater” dan “Senitari Tradisi dan Kreatif” dibawah bimbingan Encik Rosdi.
Majlis penutup Festival Teater Negeri Johor 2015 yang berlangsung pada 3 November telah disempurnakan oleh Timbalan Yang Di Pertua Majlis Kebudayaan Negeri Johor, Dato’ Haji Othman bin Jais.
Naib Johan diraih oleh Kumpulan Produksi Armada Jiwa yang membawa naskah “Maruah” manakala tempat Ketiga pula dari Kumpulan Katarsis membawa naskah “Kelamin” dan Saguhati pula jatuh kepada Kumpulan Angga Bestari dengan naskah bertajuk “Diskusi Malam”.
Menurut Pengarah Pusat Kokurikulum UTHM, Profesor Madya Dr Ahmad Esa, menerusi persembahan teater pelajar dapat meningkatkan kemahiran interpersonal, intrapersonal dan komunikasi. Kemahiran – kemahiran ini amat penting bagi menyediakan pelajar memasuki alam pekerjaan kelak.
Manakala menurut ketua Hal Ehwal Pelajar UTHM Encik Azlan Wanti pula, pertandingan sebegini dapat memberi peluang kepada pelajar untuk terlibat secara aktif dalam kegiatan kelab dan persatuan serta dapat menjadikan mereka lebih kreatif dan tidak hanya bergantung kepada bidang akademik sahaja.
Teater ini membariskan 18 orang pelakon yang terdiri dari staf dan pelajar – pelajar dari pelbagai fakulti. Para pelajar yang terlibat dalam pementasan ini ialah Shafina Binti Sabeli, Siti Fatimah Mohd Jamil, Mohd Naim Afandi Mohd Azami, Muhammad Faizul Mustafa, Mohd Zulfikar Narani, Irendeus Benedict Sunggoh, Hasniza Md Yusoff, Abu Haikal Khaliq Abu Bakark, Muhammad Hasif Mat Lazim, Izzati Nabilah Ramli, Nurul Fatin Rameli, Rotcana A/P Choong Som Kit, Nor Ashikin Azhar, Muhammad Shahrul Nizam Zakaria, Ahmad Syauqi Baharuddin, Mohd Ridhuan Mohd Sofi, Muhammad Alif Azizi dan Jannatul Izzati Berhanudin. Manakala staf UTHM yang terlibat ialah Encik Muhamad Uzma Radzi dan Encik Rosdi Abdullah.
Source: UTHM Raih Tiga Anugerah di Festival Teater Negeri Johor 2015