Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terpilih menjadi tuan rumah bagi Acara Perbarisan Tamat Latihan dan Pentauliahan Kor SUKSIS Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) kali ke-11 yang berlangsung pada 16 Ogos lalu.
Acara Perbarisan Tamat Latihan dan Pentauliahan ini telah disempurnakan oleh Ketua Polis Negara, Inspektor Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Khalid Abu Bakar. Seramai 1050 pelatih Kor SUKSIS IPTA telah ditauliahkan pada hari tersebut dengan gelaran Inspektor Sukarelawan Simpanan Polis. 59 orang daripada jumlah tersebut merupakan pelatih daripada UTHM yang berjaya menamatkan latihan mereka selama tiga tahun di institusi ini.
Pentauliahan tersebut juga menyaksikan acara penyampaian watikah kepada 20 pelatih terbaik setiap IPTA termasuk UTHM yang melonjakkan nama Mohd Shaharil Salim dari Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat sebagai Pelatih Terbaik Kor SUKSIS UTHM.
Turut hadir Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani; Ketua Polis Negeri, Datuk Rusli Ahmad dan dan beberapa Naib Canselor IPTA termasuk Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Dr. Mohd Noh Dalimin.
Tan Sri Dato’ Sri Khalid dalam ucapannya mempelawa semua ahli KOR SUKSIS yang bakal memasuki alam pekerjaan untuk terus memberi sumbangan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan menyertai Sukarelawan Simpanan Polis (PVR). Menurut beliau, PDRM kini dalam usaha untuk menambahkan lagi perjawatan dalam perkhidmatan PVR bagi menampung keperluan dalam usaha mencegah dan memerangi jenayah.
“Saya percaya dengan latihan dan ilmu pengetahuan yang diperolehi selama ini, ahli-ahli KOR SUKSIS ini adalah antara calon terbaik bagi menyertai pasukan PDRM,” katanya. Beliau turut mengingatkan ahli KOR SUKSIS supaya menjauhkan diri dari segala bentuk gejala sosial serta tidak melanggar etika dan undang-undang Negara serta menjadi contoh ikutan kepada pelajar-pelajar lain dalam menjaga disiplin diri.
Untuk rekod, penubuhan Kor Suksis di IPT adalah hasil cetusan idea Mantan Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi yang ketika itu menjawat Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri semasa lawatan beliau di Univerisiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, Kedah pada 4 Febuari 1999.
Manakala pada 24 Jun 2006, Ketua Polis Negara ketika itu Tan Sri Mohd Bakri Omar telah merasmikan secara serentak Penubuhan Badan Beruniform Kor Suksis IPTA seluruh Malaysia di Universiti Teknologi Mara ( UiTM ) Shah Alam.
Source: UTHM tuan rumah Perbarisan Tamat Latihan dan Pentauliahan Kor SUKSIS IPTA 2015