Kedudukan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dalam penarafan Webometrics Januari 2015 terus melonjak naik ke tempat ketujuh daripada 90 buah institut pengajian tinggi (IPT) Malaysia  berbanding di kedudukan ke 12 pada tahun lalu.
Pencapaian ini seterusnya telah meletakkan UTHM di ranking ke 1002 daripada 25000 IPT di peringkat dunia.  Peningkatan dari kedudukan 2055 pada tahun lalu ke 1002 pada tahun ini membuktikan bahawa UTHM sentiasa berusaha gigih melakukan penambahbaikan dalam perkhidmatan, perkongsian dan penerbitan maklumat secara global untuk memenuhi keperluan penggunanya.
Untuk rekod, bermula di kedudukan ke 4491 pada Januari 2009, kedudukan UTHM di peringkat dunia terus meningkat tahun demi tahun sehinggalah sekarang. Penarafan Webometrics merupakan sistem penarafan akademik IPT  yang dijalankan sebanyak dua kali setahun oleh Cybermetric Lab iaitu sebuah kumpulan penyelidik terbesar dari Sepanyol. Penilaian yang dibuat dipecahkan kepada beberapa kriteria iaitu Presence, Impact, Openness dan Excellence.
Kriteria Presence dinilai berdasarkan  jumlah halaman yang diperolehi menerusi enjin carian Google, Impact pula dinilai melalui pautan masuk yang diterima dan diperolehi daripada Majestic SEO dan ahrefs.
Manakala Opennes dinilai mengikut kepelbagaian jenis fail seperti .pdf, .doc, .docx, .ppt, .pptx yang terdapat di Google Scholar dan Excellence pula dinilai berdasarkan jumlah penulisan ilmiah yang diterbitkan oleh High Impact International Journals.
Penarafan Webometrics ini merupakan pengiktirafan dunia terhadap penulisan serta penerbitan ilmiah dan saintifik yang dihasilkan oleh sesebuah institusi. Info lanjut layari http://www.webometrics.info/en/asia/malaysia%20  .

webojan2015

Source: Penarafan Webometrics – Kedudukan UTHM terus melonjak