JOHOR BAHRU, 27 JANUARI – Sebagai Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar sentiasa disembah maklum mengenai perkembangan terkini universiti.
Dalam sesi menghadap hari ini, Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Mohd Noh Dalimin telah mengambil kesempatan memaklumkan pelbagai perkembangan terkini universiti termasuklah kejayaan UTHM mendapat pengiktirafan lima bintang untuk kriteria pengajaran, fasiliti dan juga inovasi di dalam Audit Quacquarelli Symonds (QS) Star Rating yang diumumkan pada 16 Disember 2014 lalu.
QS Intelligence Unit adalah sebuah organisasi audit berprestij yang berpusat di London dan terkenal sebagai salah satu organisasi pengauditan universiti melalui QS World Ranking. Keputusan audit ini sekali gus membuktikan keupayaan UTHM untuk bergerak setanding dengan universiti ternama lain di dalam dan luar negara serta membuktikan keupayaan UTHM untuk menjadi sebuah universiti bertaraf dunia di masa akan datang.
Kejayaan UTHM untuk mendapat status tiga bintang bagi markah keseluruhan untuk lapan kriteria yang diaudit iaitu; penyelidikan, kebolehpasaran perkerjaan, pengajaran, fasiliti, pengantarabangsaan, inovasi, tarikan (engagement) serta kejuruteraan dan teknologi merupakan satu kejayaan yang sangat membanggakan jika dilihat dari sudut usia penubuhan Universiti ini yang baru menjangkau dua dekad.
Baginda berbangga dengan pencapaian UTHM ini dan menasihatkan seluruh warga universiti untuk bekerja dengan lebih cekap dan efisien demi menjadikan UTHM sebuah universiti yang lebih disegani. Untuk rekod, Sultan Ibrahim dimasyhurkan sebagai Canselor UTHM pada Konvokesyen pertama Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn (KUiTTHO) yang berlangsung pada 19 Ogos 2002.
Tahun 2015 ini merupakan tahun ke-13 baginda menaungi Universiti ini sebagai Canselor. Sepanjang tempoh itu, pelbagai kejayaan dan penambahbaikan telah berjaya direkodkan oleh universiti ini. Turut hadir dalam sesi menghadap ini adalah Pendaftar UTHM, Abdul Halim Abdul Rahman dan Ketua Bahagian Komunikasi Korporat, Shafry Salim.
Source: Tuanku Canselor disembah maklum perkembangan terkini UTHM