Seramai tiga orang staf dan tiga orang pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah terpilih mewakili negara ke Kejohanan Sukan Universiti Asean ke 17 yang berlangsung di Palembang Indonesia bermula 10 hingga 23 Disember 2014.
Kejohanan dwi tahunan ini menghimpunkan atlit – atlit terbaik dari universiti-universiti Asean. Kontinjen Malaysia menghantar kekuatan seramai 322 atlit dan 77 pegawai menerusi 20 acara yang dipertandingkan.
UTHM turut terpilih menerusi penyertaan Encik Ahmad Faizal Abu Bakar dan Encik Mohd Azrin Malek sebagai Jurulatih Pasukan Pencak Silat Malaysia manakala Encik Azli Puddin pula selaku Pengurus Pasukan Pencak Silat Malaysia. Sebagai Pusat Sukan Tumpuan (PST) Pencak Silat, UTHM berjaya melahirkan atlit di peringkat antarabangsa menerusi penyertaan saudara Muhammad Shaiful Zakaria dan saudara Mohamad Akmal Saidin yang akan beraksi dalam Sukan Pencak Silat bagi kategori Silat Seni. Manakala saudari Nurul Hamira Yusma akan beraksi dalam acara Futsal Wanita.
Dengan status ‘juara bertahan’ Kontingen Malaysia mensasarkan untuk memperoleh 40 pingat emas dalam edisi kali ini. Semoga penyertaan staf dan pelajar UTHM dalam ’17th Asean University Games’ 2014 ini akan menyemarakkan lagi semangat serta mencetus inspirasi dalam kalangan atlit UTHM yang lain sekaligus merealisasikan harapan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk melahirkan ‘The Thinking Athlete’
Source: Staf dan Pelajar UTHM wakili Malaysia ke 17th ASEAN University Games, Palembang