Program Sarjana Muda Pengurusan Teknologi (Pembinaan) di bawah Jabatan Pengurusan Pembinaan (JPP), Fakulti Pengurusan Teknologi & Perniagaan (FPTP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mendapat akreditasi penuh tanpa syarat selama lima tahun oleh Chartered Institute of Building (CIOB), United Kingdom.
Program ini telah diakreditasi oleh panel akreditasi CIOB iaitu Mr. Michael Daws (CIOB, United Kingdom), dan tiga orang wakil CIOB Malaysia; Mr. Ong Bok Siong FCIOB (Presiden CIOB), Mr. Kong Weng Keong MCIOB (Pengerusi Novus), dan Ms. Audrey Chen (Setiausaha CIOB) pada 1 Disember lalu.
Akreditasi CIOB ini dilaksanakan bertujuan untuk menilai kekuatan program Sarjana Muda Pengurusan Teknologi (Pembinaan) untuk mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
Terdapat empat aspek penting yang dinilai melalui akreditasi CIOB ini iaitu aspek pertama melibatkan penilaian sistem pengurusan program yang meliputi struktur dan kurikulum program, kaedah penilaian, pemarkahan, dan juga penambahbaikan program berserta jaminan kualiti.
Aspek kedua adalah penilaian terhadap staf akademik,dan staf sokongan termasuk penolong jurutera yang membantu dalam perlaksanaan program ini. Perkembangan kerjaya dan penyelidikan yang dilakukan oleh kumpulan ini amat dititikberatkan dan dinilai dengan sewajarnya oleh panel akreditasi CIOB.
Manakala aspek ketiga pula merupakan penilaian terhadap tahap pembelajaran pelajar bagi program ini. Selain itu pengalaman pelajar, kemudahan dan sokongan berbentuk kewangan dan bukan kewangan yang diperolehi mereka sepanjang tempoh pengajian turut dinilai. Sementara itu, panel Akreditasi CIOB turut membuat semakan terhadap tugasan-tugasan yang telah dan sedang dilakukan oleh para pelajar program ini.
Kemudahan dan fasiliti di FPTP khususnya, serta UTHM amnya merupakan aspek keempat yang dinilai oleh kumpulan panel akreditasi tersebut. Antara fasiliti yang dilawati dan dinilai oleh Panel CIOB ialah bilik dan dewan kuliah, makmal komputer, makmal amali, serta perpustakaan universiti.
Pengiktirafan akreditasi kepada program Sarjana Muda Pengurusan Teknologi (Pembinaan) ini menjadi satu pengiktirafan antarabangsa, khususnya berkaitan dengan kekuatan dan kualiti struktur kurikulum program serta staf dibawah JPP.
Pengikitirafan ini membuktikan bahawa program ini mampu bersaing di peringkat antarabangsa sekali gus dapat memenuhi hasrat UTHM untuk mendapat pengiktirafan antarabangsa sebagai institusi akademik yang berkualiti dan ‘sihat’ dalam bidang akademik.
Source: Program Sarjana Muda Pengurusan Teknologi (Pembinaan) dapat Akreditasi Penuh 5 tahun oleh CIOB, Unit