Pusat Penyelidikan Tanah Lembut (RECESS) dan Fakulti Kejuruteraan Awam serta Alam Sekitar (FKAAS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bersama dengan Universiti Katolik Parahyangan (UNPAR) menganjurkan persidangan antarabangsa “Soft Soils Engineering and Ground Improvement 2014” pada 20 hingga 23 Oktober lalu bertempat di Mercure Hotel, Bandung, Indonesia.
Persidangan yang berlangsung selama empat hari ini diisi dengan beberapa slot iaitu kursus pendek, perbentangan kertas kerja dan lawatan ke tapak-tapak projek di sekitar Bandung dan Jakarta.
Kursus pendek selama satu hari yang diwakili oleh pakar-pakar dalam bidang geoteknik seperti Profesor Paulus P. Rahardjo dari Parahyangan Catholic University, Indonesia, Dr. Hirochikan Hayashi dari Research Engineer, Ditto, Japan, Michael Dobie dari Ceng FICE, Australia serta ramai lagi dilaksanakan bertujuan untuk berkongsi idea, pandangan dan pendapat dalam bidang berkaitan.
Kursus yang diwakili oleh Keller Foundation ini juga membentangkan permasalahan geoteknik dari sudut industri bagi membuka minda dan pandangan peserta terhadap penyelidikan yang sedang dijalankan serta untuk tujuan pengkomersilan hasil kajian mereka.
Persidangan ini telah disempurnakan oleh Prof. Dr. Robertus Wahyudi Triweko dari UNPAR. Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Profesor Ir. Dr. Amir Hashim Mohd Kassim dari UTHM selaku wakil rasmi Naib Canselor UTHM, Profesor Dato’ Dr. Mohd Noh Dalimin.
Sementara itu satu majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UTHM dan UNPAR telah diadakan bagi melebarkan lagi jalinan kerjasama antara kedua-dua institusi ini terutama dalam bidang penyelidikan dan program mobiliti staf serta pelajar.
Turut serta dalam persidangan ini, Dekan Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar, Profesor Madya Dr. Abd Halid Abdullah, Timbalan Dekan (Penyelidikan & Pembangunan) Profesor Madya Dr. Adnan Zainorabidin, Ketua Jabatan Kejuruteraan Infrastruktur dan Geomatik, Dr. Aziman Madun, staf-staf FKAAS, staf-staf RECESS, pelajar pasca siswazah dan pelajar ijazah pertama dari FKAAS serta RECESS.
Persidangan anjuran bersama UNPAR dan UTHM ini telah mendapat sambutan hebat daripada ramai penyelidik dari beberapa negara seperti Jepun, Australia, Hong Kong, Thailand, Singapore, Indonesia dan Malaysia. Sebanyak 71 kertas kerja telah diterima dan sebanyak 67 kertas kerja telah dibentangkan dalam persidangan dan empat kertas kerja dibentangkan melalui poster.
Persidangan ini telah mendapat penyertaan sebanyak 15 kertas kerja daripada pelajar pasca-siswazah UTHM dalam bidang geoteknik. Dua kertas kerja telah dibentangkan sebagai ‘keynote paper’ yang disampaikan oleh Profesor Dr. Dato’ Ismail Haji Bakar dan Profesor Dr. Devapriya Chitral Wijeyesekera.
RECESS, UTHM turut diberi ruang pameran untuk membentangkan kajian yang sedang dijalankan dan hasil kajian yang telah dicapai. Di samping itu, peluang keemasan ini juga diambil untuk memperkenalkan RECESS, FKAAS dan UTHM pada para peserta dan masyarakat satempat.
Selain itu, satu sesi perkongsian ilmu turut berlangsung melibatkan pakar-pakar geoteknik seperti Profesor Buddhima Indraratna dari University of Wollongon, Australia, ProfeIkuo Towhatta dari Tokyo University, Japan, Profesor Leung Chun Fai dari NUS, Singapore, Profesor Jian Hua Yin dari Hong Kong Polytechnic University, Hong Kong, Dr. Noppadol Phien-Wej dari Asian Institute of Technology, Bangkok, Thailand dan Profesor Masyhur Irsyam dari Bandung Institute Technology, Bandung, Indonesia.
Persidangan ini diteruskan dengan lawatan ke tapak-tapak projek di Bandung dan Jakarta iaitu Projek Gedebuk Dam dan Pamanukan-Ceberon Toll Road. Bagi terus membawa nama universiti ke mata dunia, UTHM turut mengadakan rundingan kerjasama bersama Institut Teknologi Bandung (ITB) dan Universiti Indonesia di Jakarta. RECESS dan FKAAS bertekad untuk meneruskan persidangan ini pada tahun akan datang dengan penglibatan pelbagai universiti dari seluruh dunia terutama dari rantau Asia.
Source: UTHM-UNPAR tarik Penyertaan Dunia – anjur persidangan “Soft Soils Engineering and Ground Improvement