Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (SISPA), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan Majlis Ramah Mesra yang berkonsepkan santai bertempat di Dewan Terbuka UTHM telah berlangsung dengan meriah baru-baru ini.
Majlis tersebut telah diserikan dengan kehadiran Yang Berbahagia Profesor Ir. Dr. Amir Hashim bin Mohd Kassim, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni). Majlis turut dihadiri oleh Kolonel Kehormat (PA) Prof. Dr. Jailani bin Md. Yunos, Komandan SISPA, PPj (PA) Roslan bin Wahab, Pengarah Pengurusan Angkatan JPAM, Lt. Kol. Bersekutu (PA) Prof. Madya Dr. Ishak bin Baba, Timbalan Komandan (Akademik & Operasi), Lt. Kol. Bersekutu (PA) Dr. Md Nor Ramdon bin Baharom, Timbalan Komandan (Pentadbiran), wakil Pengarah Pertahanan Awam Johor, Pegawai Pertahanan Awam Batu Pahat, Pegawai-Pegawai Bersekutu SISPA, Ketua Jurulatih SISPA dan Pegawai Tauliah SISPA.
Seramai 300 PKS SISPA hadir dalam majlis tersebut. Tujuan Majlis tersebut diadakan bagi mewujudkan silaturrahim antara PKS SISPA 1 hingga 6 dan Pegawai Bersekutu, Pegawai Tauliah dan pihak JPAM IPPA, Negeri serta Daerah. Disamping itu juga , PKS SISPA 1 dapat mengenali dan menyertai sebarang aktiviti yang bakal dianjurkan oleh Pejabat SISPA untuk memenuhi tuntutan universiti dalam melahirkan pelajar yang cemerlang dari segi akademik dan juga kokurikulum.
Komandan SISPA dalam ucapannya mengingatkan para pelajar bahawa kemahiran dan pengetahuan yang diperolehi dari SISPA merupakan salah satu pembelajaran sepanjang hayat yang perlu dihayati oleh setiap pelajar.
Majlis diteruskan dengan sesi ramah mesra Pegawai Bersekutu bersama pelajar SISPA UTHM serta sesi soal jawab antara pelajar dan beberapa orang pegawai kanan SISPA. Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ir. Dr. Amir Hashim Mohd Kassim menegaskan bahawa SISPA UTHM merupakan badan beruniform UTHM yang teraktif dan terserlah di antara badan-badan beruniform di UTHM. Dalam majlis tersebut beliau turut menyempurnakan Majlis Pelancaran Alumni SISPA manakala Majlis pemakaian pangkat PKS SISPA pula telah disempurnakan oleh Kolonel Kehormat (PA) Prof. Dr. Jailani bin Md. Yunos dan PPj (PA) Roslan bin Wahab. Majlis juga memperkenalkan barisan Majlis Perwakilan SISPA UTHM sesi 2013/2014.