Sultan Johor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, selaku Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dalam titahnya mengingatkan warga kerja universiti agar terus berusaha meningkatkan lagi pencapaian dalam bidang penyelidikan, perundingan dan khidmat kemasyarakatan bagi menyokong usaha-usaha kerajaan Johor  memulihara alam semulajadi, membangunkan ekonomi dan mengukuhkan perpaduan yang sedia ada.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim turut mengingatkan pihak universiti untuk terus membantu memajukan bangsa Melayu dalam sektor pendidikan serta ekonomi dan dalam masa yang sama tidak meminggirkan bangsa lain. Peringatan baginda juga ditujukan kepada jabatan-jabatan negeri yang terlibat agar turut bekerjasama dengan pihak universiti bagi meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat negeri ini.

Tuanku Canselor dalam titahnya juga merakamkan ucapan tahniah kepada graduan yang berjaya menamatkan pengajian masing-masing dan sempat mengingatkan mereka agar terus menyumbang bakti kepada negara serta terus menjaga nama baik universiti dengan menjauhi segala anasir-anasir yang boleh merosakkan.

Di awal keberangkatan, Tuanku Canselor turut berkenan mencemar duli menyempurnakan upacara pemasyhuran dewan konvokesyen baharu UTHM yang kini dikenali sebagai Dewan Sultan Ibrahim. Dewan baharu yang boleh memuatkan seramai 3000 orang ini merupakan salah satu fasiliti yang menjadi kebanggaan warga universiti.

Konvokesyen kali ini menyaksikan seramai 3520 orang siswazah menerima sijil masing-masing merangkumi pelbagai peringkat pengajian iaitu Ijazah Doktor Falsafah, Sarjana, Sarjana Muda dan Diploma. Turut tersenarai beberapa anugerah kecemerlangan akademik seperti Anugerah DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang), Anugerah Sultan Ibrahim, Anugerah Canselor,  Anugerah Puan Sri Sapura, Anugerah Tan Sri Dato’ Paduka Hajjah Aishah Ghani, Anugerah Projek Sarjana Muda Terbaik, Anugerah Hadiah Buku Yayasan UTHM, Anugerah Koperasi UTHM Berhad dan Anugerah Khas Alumni (kategori pelajar).

Sidang dewan kali ini juga menyaksikan penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah kepada Gabenor Daerah Istimewa Yogyakarta, Baginda Sri Sultan Hamengku Buwono X bagi menghargai jasa tokoh negarawan Indonesia yang telah banyak menyumbang kepada perkembangan ekonomi serta sosial wilayah tersebut. Manakala mantan Naib Canselor UTHM, Profesor Dato’ Dr. Ismail Bakar pula menerima anugerah Profesor Emeritus bagi menghargai jasa dan khidmat bakti beliau sebagai tokoh pertama yang menerajui kepimpinan UTHM.

Turut hadir ke majlis ini Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM, Tan Sri (Dr.) Ir. Jamilus Hussin, Ahli-ahli LPU, Pegawai Daerah Batu Pahat, Tuan Haji Ab. Wahab Ridwan serta pegawai-pegawai kanan UTHM.

sultan1

prof emeratus

ija kehormat