Bagi meraikan kejayaan para graduan yang menerima ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah secara penyelidikan, satu Majlis Pemakaian Hud Graduan Siswazah yang melibatkan 51 orang siswazah telah diadakan di Dewan Tunku Ibrahim Ismail pada 3 Oktober baru-baru ini.
Majlis yang diadakan buat kali ketiga ini menyaksikan para penyelia graduan diberi penghormatan dan pengiktirafan untuk memakaikan hud para graduan di bawah seliaan masing-masing sebagai simbolik meraikan kejayaan mereka.
Konvokesyen ke-13 menyaksikan seramai 530 graduan pasca siswazah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerima ijazah masing-masing. 14 orang daripada jumlah tersebut merupakan penerima Ijazah Doktor Falsafah manakala 516 orang lagi menerima Ijazah Sarjana.
Daripada jumlah tersebut, 45 orang graduan siswazah terdiri daripada graduan antarabangsa yang datang dari Algeria, Indonesia, Iraq, Libya, Nigeria, Pakistan dan Somalia. Sementara itu, seramai 34 orang penyelia utama terlibat dalam menyelia para pelajar mereka sehingga berjaya menamatkan pengajian dan dianugerahkan ijazah masing-masing pada Majlis Konvokesyen kali ke-13 ini.
Upacara pemakaian hud ini telah disaksikan oleh Naib Canselor UTHM, Profesor Dato’ Dr. Mohd Noh Dalimin. Turut hadir ke majlis tersebut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Profesor Ir. Dr. Amir Hashim Mohd Kassim, Penolong Naib Canselor (Hubungan Industri dan Masyarakat) Profesor Dr. Hashim bin Saim, Dekan Pusat Pengajian Siswazah Profesor Dr. Ahmad Shakri bin Mat Seman serta beberapa pegawai kanan universiti.