Universiti dalam era AI: Adakah kita menilai mahasiswa atau ChatGPT

Kemunculan AI bukan alasan untuk mahasiswa menghadkan daya mereka berfikir. Sebaliknya apabila teknologi semakin pintar, keupayaan manusia menilai, mempersoal fakta dan membuat keputusan sendiri menjadi semakin penting.

Dalam suatu situasi apabila seorang pensyarah menerima tugasan mahasiswa yang cukup sempurna, gaya bahasa yang kemas, susunan idea yang teratur dan hujahnya kelihatan matang malah ada bahagian tertentu yang lebih baik daripada apa yang ditunjukkan ketika berinteraksi di dalam kelas. Namun, apabila diminta menerangkan hujah yang ditulis semasa sesi Q&A, jawapan mahasiswa itu tidak begitu meyakinkan. Ini satu situasi yang menjadi semakin biasa di universiti hingga ada persoalan yang mengusik, siapakah yang kita nilai, mahasiswa atau AI yang digunakan?

Tidak dinafikan, teknologi kecerdasan buatan atau AI membuka ruang pembelajaran yang luar biasa. Mahasiswa boleh meminta AI menerangkan konsep, menghasilkan artikel, membanding teori, menulis kod komputer atau mencadangkan penyelesaian masalah. Bagi seorang pelajar yang benar-benar mahu belajar dan mendapatkan apa juga maklumat, teknologi ini sangat membantu hingga ada yang berkata, apa guna masuk universiti jika semua maklumat boleh diperoleh melalui AI?

Masalah bermula apabila AI yang sepatutnya menjadi alat membantu berfikir akhirnya menjadi pengganti kepada proses berfikir. Maka daya kreativiti berfikir juga semakin terhad akibat terlalu bergantung kepada AI. Lebih membimbangkan jika seseorang itu menerima AI bulat-bulat tanpa memerlukan akal untuk berfikir.

Itulah risikonya, sekiranya setiap permasalahan terus dirujuk dengan AI tanpa cuba memahami masalah tersebut sendiri, teknologi yang sepatutnya memperkukuh intelektual, boleh menjadi tempat kebergantungan.

Melarang AI bukan jawapan

Mudah untuk kita berikan arahan, jangan guna ChatGPT. Tetapi kini pendekatan ini sudah tidak realistik. Mahasiswa yang berada di universiti hari ini akan memasuki dunia pekerjaan yang semakin dipengaruhi AI. Menurut ‘Future Jobs report 2025’, mendapati 86 peratus majikan menjangkakan kemajuan teknologi terutamanya AI dan pemprosesan maklumat akan menubah landskap perniagaan mereka menjelang tahun 2030.

Jika dunia pekerjaan menggunakan AI untuk tingkat produktiviti, tidak munasabah jika universiti melatih mahasiswa seolah-olah teknologi ini tidak wujud. Malah, sesetengah universiti terkemuka dunia mengambil pendekatan lebih terbuka.

University of Oxford contohnya menyediakan kemudahan ChatGPT Edu kepada mahasiswa dan staf mereka. Arizona State University pula memperluaskan akses kepada teknologi tersebut kepada warga kampusnya. Manakala California State University pula melaksanakan penggunaan AI pada skala yang lebih besar melibatkan ratusan ribu mahasiswa dan puluhan ribu staf di bawah rangkaiannya.

Di Australia, LaTrobe University turut bergerak ke arah penggunaan AI secara institusi melalui kerjasama dengan Open AI dengan langganan kepada ChatGPT Edu secara berperingkat kepada mahasiswa dan staf mereka.

Perkembangan ini menarik kerana universiti-universiti tersebut tidak melihat AI sebagai alat yang berpotensi untuk menyiapkan tugasan. Mereka mengiktiraf AI menjadi sebahagian daripada cara mahasiswa belajar, bekerja dan menyelesaikan masalah dengan lebih kreatif.

Namun mereka juga tidak sekadar menyediakan teknologi dan membiarkan penggunanya tanpa panduan. LaTrobe universiti memperkenalkan skala penggunaan AI dalam penilaian mahasiswa bagi menyelaraskan sejauh mana AI boleh digunakan dalam tugasan. Ada penilaian yang tidak membenarkan AI sama sekali, ada yang membenarkan secara terhad dan ada juga yang memberikan ruang kepada penggunaan AI yang lebih meluas.

Persoalan yang lebih penting adalah, apakah tujuan AI digunakan? sejauh mana penggunaannya dibenarkan? dan apakah kompetensi mahasiswa yang perlu dinilai? Jangan sampai teknologi AI ini menghadkan daya kreativiti pemikiran mahasiswa.

Generatif AI kepada Agentik AI

Kita juga perlu sedar bahawa teknologi AI ini juga sedang berevolusi. Generatif AI seperti ChatGPT atau Gemini yang kita kenali mempu hasilkan teks, imej, analisis dan apa sahaja berdasarkan arahan atau ‘prompt’ yang diberikan pengguna. Kini teknologi AI bergerak ke arah agentic AI.

Agentik AI boleh menetapkan suatu matlamat, merancang tindakan, mencari maklumat, serta melaksanakan pelbagai arahan kerja dengan penyeliaan manus yang minimum.

Secara ringkasnya generatif AI memberikan jawapan berdasarkan pertanyaan yang diberikan, manakala agentik AI membantu melaksanakan suatu tugas yang lengkap. Sebab itu universiti tidak boleh sekadar mengejar teknologi dengan peraturan baharu setiap kali muncul aplikasi baharu. Tetapi sebaliknya universiti perlu melihat apakah yang sepatutnya dipelajari oleh mahasiswa dan membuat penilaian yang tepat.

Bukan sekadar membuat prompt

Kemahiran menggunakan AI tidak perlu diajar, namun literasi AI tidak seharusnya berhenti pada kebolehan menghasilkan ‘prompt’ yang baik. Mahasiswa perlu memahami bagaimana AI bekerja dan di mana hadnya. Mereka perlu tahu bahawa jawapan yang diberikan oleh AI mengandungi halusinasi yang belum tentu benar, fakta-fakta yang kurang tepat dan sumber rujukan yang boleh dipercayai.

Kemahiran yang paling utama adalah bagaimana hendak bertanya kepada AI untuk mendapatkan maklumat yang betul-betul spesifik sebagaimana yang dikehendaki. Perlu ingat konsep ‘rubbish in, rubbish out.’ Kualiti jawapan AI sangat bergantung kepada maklumat awal yang diberikan.

Mahasiswa perlu tahu bila perlu persoalkan AI dan ketika mana lebih baik tidak menggunakannya sama sekali. Laporan tugasan yang dihantar dan tertulis nama mahasiswa tersebut mestilah mampu menerangkan dan mempertahankan apa yang terkandung di dalamnya.

AI tanpa etika boleh membawa kepada masalah. Kerajaan mengambil pendekatan yang jelas pada September 2024, Garis Panduan Tadbir Urus dan Etika Kecerdikan Buatan Negara diperkenalkan dengan prinsip seperti keadilan, keselamatan, privasi, ketelusan dan akauntabiliti. Tujuannya bukan untuk menyekat AI tetapi memastikan penggunaan secara selamat dan bertanggungjawab.

Semakin berkuasa AI, semakin penting sifat bertanggungjawab manusia. Kebergantungan kepada AI sepenuhnya tanpa semak imbang akan hasilkan insan yang malas berfikir.

Cara penilaian perlu berubah

Penilaian tugasan mahasiswa perlu berubah daripada kebiasaan yang banyak menilai kualiti laporan. Jika tugasan itu berbentuk ‘huraikan’, ‘terangkan’, atau ‘bincangkan’ tentang suatu tajuk umum, ianya terlalu mudah untuk AI melaksanakan tugasan tersebut.

Soalan yang perlu ditanya kepada para pengajar adalah ‘apakah bentuk penilaian yang sesuai’, bukannya ‘bagaimana hendak mengesan mahasiswa menggunakan AI’.

Lebih banyak peratusan markah perlu diberi kepada proses dan pembentangan. Sesi soal jawab akan dapat melihat keupayaan mahasiswa mempertahankan hujah dan memberikan gambaran pemahaman yang sebenar tentang suatu tugasan yang diberi. Slaid pembentangan juga digalakkan hanya mengandungi imej atau ilustrasi yang berkaitan dengan topik yang dibincangkan sahaja supaya mahasiswa tidak bergantung kepada teks dan dapat memberikan pembentangan yang secara bebas daripada pemahaman mereka.

Tugasan yang berbentuk situasi sebenar atau lebih spesifik seperti pengalaman, kejadian yang dialami atau masalah yang berkaitan dengan lokaliti adalah lebih sesuai berbanding isu-isu umum.

Disinilah kita akan melihat perbezaan antara mahasiswa yang menggunakan AI untuk belajar dengan mahasiswa yang menggunakan AI supaya tidak perlu belajar. Teknologi AI pasti akan terus berkembang. Selepas generatif AI, muncul agentik AI. Selepas itu mungkin muncul pula teknologi yang lebih autonomi dan berkuasa.

Kita mahu melahirkan graduan yang mampu bekerja bersama AI tetapi masih mempunyai pertimbangan sendiri. Graduan yang menggunakan teknologi, tetapi tidak menyerahkan integriti dan tanggungjawab kepada teknologi.

Kerana akhirnya, cabaran terbesar pendidikan tinggi dalam era AI bukanlah menghalang mahasiswa menggunakan ChatGPT. Cabaran sebenarnya ialah memastikan apabila AI berada di tangan mereka dan mahasiswa masih mampu berfikir.

 

 

Profesor Ts. Dr. Mohd Kamarulzaki Mustafa

Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Artikel Berkaitan

Terkini