Pelajar UTHM raih Anugerah Khas Ketua Setiausaha KPT, mara ke peringkat akhir tujuh kategori ATSN 2026

Oleh PM Ts. Dr. Suliadi Firdaus Sufahani

PUTRAJAYA, 1 Oktober 2026 – Pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Muhammad Faisal Ahmad Juhari, mencipta kejayaan membanggakan apabila meraih Anugerah Khas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sempena Anugerah Tokoh Siswa Negara 2026 (ATSN 2026) yang berlangsung di Hotel Marriott Putrajaya, hari ini.

Kejayaan tersebut merupakan pengiktirafan terhadap kecemerlangan Muhammad Faisal dalam bidang kesukarelawanan, sekali gus mengangkat nama UTHM di peringkat kebangsaan.

Lebih membanggakan, UTHM turut mencatat pencapaian memberangsangkan apabila wakil pelajarnya berjaya mara ke peringkat akhir dalam tujuh daripada 12 kategori anugerah yang disertai.

Finalis UTHM terdiri daripada Muhammad Faisal bagi kategori Anugerah Tokoh Sukarelawan Siswa; Muhammad Nabil Hannan Mustapha bagi Anugerah Tokoh Usaha Inovasi Siswa; Siti Aishah Ibrahim bagi Anugerah Tokoh Perpaduan Siswa; Norlaila Abdul Salam bagi Anugerah Tokoh Bicara Siswa; Dayang Nor Farah Husna Abang Madehi bagi Anugerah Tokoh Seni dan Warisan Siswa; serta Nurhafizah Idayu Mohd Faridz bagi Anugerah Tokoh Kelestarian Siswa.

Sementara itu, Muhammad Nur Arsyad Zairul Rijaluddin, Muhammad Firdaus, Masidah Sinto dan Awang Nor Hafizi Awang Zakaria mewakili UTHM sebagai finalis bagi kategori Anugerah Sinergi Kepimpinan Siswa secara berkumpulan.

Menurut Naib Canselor UTHM, Profesor Ts. Dr. Mas Fawzi Mohd Ali, kejayaan tersebut membuktikan keupayaan mahasiswa UTHM untuk menyerlah dan bersaing di peringkat kebangsaan bersama mahasiswa daripada institusi pendidikan tinggi (IPT) lain.

“Pencapaian ini menunjukkan peningkatan yang signifikan berbanding tahun sebelumnya, apabila tujuh pelajar UTHM berjaya mara ke peringkat akhir.

“Kejayaan Muhammad Faisal meraih Anugerah Khas Ketua Setiausaha KPT pada tahun ini merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan dan mencerminkan potensi serta komitmen mahasiswa UTHM dalam bidang kesukarelawanan,” ujar beliau.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Abdul Rasid Abdul Razzaq berkata pencapaian tersebut turut membuktikan kecemerlangan mahasiswa UTHM dalam aspek kepimpinan, kesukarelawanan dan penganjuran program yang memberi impak kepada komuniti.

“UTHM menyifatkan kejayaan ini sebagai suntikan semangat kepada seluruh mahasiswa untuk terus menyerlah dalam pelbagai bidang serta memanfaatkan peluang yang disediakan bagi membangunkan potensi diri sebagai mahasiswa yang berdaya saing dan berjiwa kepimpinan,” katanya.

Untuk rekod, ATSN 2026 merupakan platform pengiktirafan kepada pelajar dan badan pelajar IPT atas sumbangan serta pencapaian mereka dalam pelbagai bidang.

Penganjuran anugerah ini turut menjadi pemangkin kepada mahasiswa untuk terus bergiat aktif di kampus, memupuk semangat nasionalisme serta meningkatkan daya saing dalam kalangan mahasiswa.

Pelaksanaan ATSN juga selari dengan Lonjakan 1 dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015–2025 yang memberi penekanan kepada usaha melahirkan graduan holistik, berciri keusahawanan dan seimbang.

Majlis anugerah tersebut disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman.

UTHM turut diwakili oleh Prof. Mas Fawzi; Prof. Abdul Rasid; Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar, Profesor Madya Ts. Dr. Khalid Isa; Ketua Jabatan Pemerkasaan Bakat Pelajar, Profesor Madya Ts. Dr. Suliadi Firdaus Sufahani; Ketua Jabatan Nilai dan Kesukarelawan, Dr. Radzi Ambar; serta Ketua Pentadbir Pusat Pembangunan Pelajar, Mohd Khairul Naser Ibrahim.

Artikel Berkaitan

Terkini