Oleh Dr. Tasiransurini Ab Rahman
BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Tahfiz kepada kira-kira 47 pelajar Madrasah Darul Huffaz Al-Imtiyaz dan Al-Mawaddah bertempat di Blok QB, UTHM kampus induk pada 13, 14, dan 24 Ogos 2026 lalu.
Sebanyak empat siri program TVET telah diadakan, bermula dengan siri 1: Kursus Rekabentuk Perisian Mikropengawal Arduino, diikuti oleh siri 2: Meneroka Teknologi Arduino, manakala siri 3: Kemahiran Digital – Asas Microsoft Word & Kecerdasan Buatan (AI), dan akhir sekali siri 4: Kemahiran Digital – Multimedia Berbantukan AI.
Menurut pengarah program siri 3 dan siri 4, Munirah Ab. Rahman pendedahan kepada mikropengawal adalah diperlukan pada masa kini memandangkan ia berfungsi sebagai tulang belakang kepada pembangunan teknologi automasi, sistem pintar, Internet of Things (IoT) dan robotic, yang mana aplikasinya digunakan secara meluas, merentas bidang.
Manakala pendedahan terhadap aplikasi pengolahan dokumen seperti Microsoft Word, Excel dan Powerpoint serta aplikasi perbualan kecerdikan buatan seperti Gemini dan ChatGPT kini menjadi satu kemahiran yang diperlukan dalam membantu melaksanakan tugasan harian.
“Selari dengan aspirasi kerajaan, program ini bertujuan untuk menyediakan generasi huffaz yang bukan sahaja mahir dalam pengajian agama, tetapi mempunyai kemahiran teknologi yang akan memberi nilai tambah kepada pelajar tahfiz agar dapat bersaing membina kerjaya yang terjamin dan mampu menyumbang kepada ekonomi negara,” katanya.
Program itu merupakan anjuran Jabatan Kejuruteraan Elektronik (JKEN), Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE) dengan kerjasama Teaching Factory, Centre for Technology (ITC); Makerspace@UTHM; Jabatan Keselamatan Maklumat dan Teknologi Web serta Jabatan Multimedia, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM); dan Kolej Komuniti Bandar Tenggara.
“Kerjasama menganjur program seumpama ini diharap dapat diteruskan lagi pada masa akan datang ke arah melahirkan pelajar-pelajar tahfiz yang mempunyai kemahiran TVET sebagai pelapis pemimpin negara,” tambah Munirah.






