UTHM perkasa sinergi ‘Quadruple Helix,’ meterai tujuh perjanjian

Oleh Ts. Dr. Muhammad Rusydi Muhammad Razif

MUAR – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) terus memperkukuh sinergi pelbagai hala bersama industri dan komuniti menerusi Majlis Apresiasi Industri FTK 2026 yang berlangsung pada 14 Ogos 2026 lalu.

Majlis tersebut menyaksikan pertukaran tujuh dokumen kerjasama strategik, melibatkan satu Memorandum Perjanjian (MoA) dan enam Memorandum Persefahaman (MoU).

Paling mencuri tumpuan adalah MoA antara UTHM dan Koperasi Pekebun Kecil Daerah Batu Pahat (KOPDAB) yang melibatkan perjanjian bernilai RM64,915 yang dibiayai menerusi Geran Inovasi Sosial, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Perjanjian itu bakal memfokuskan kepada kajian ‘Sistem Pembajaan Pintar Berasaskan IoT untuk Pemantauan dan Kawalan Jarak Jauh’ bagi memodenkan sektor pertanian tempatan.

Turut dimeterai, enam MoU bersama syarikat-syarikat tempatan iaitu Kim Hoe Thye Industries Sdn. Bhd., Saujana Teraju Enterprise, Sincerely Dyeing & Finishing Sdn. Bhd., Nexus Future Sdn. Bhd., Yeek Faa Enterprise dan Peps-JV (M) Sdn. Bhd.Provost UTHM,

Profesor Ts. Dr. Abdul Mutalib Leman ketika merasmikan majlis menegaskan, kerjasama strategik adalah nadi untuk merealisasikan aspirasi Global Technopreneur University 2030 (GTU2030).

“Sinergi seumpama ini akan terus mempercepat pemindahan teknologi dan melahirkan graduan yang kompeten serta adaptif dalam mendepani kepesatan transformasi teknologi hari ini,” katanya.

Sementara itu, Dekan FTK, Profesor Madya Ts. Dr. Jumadi Abdul Sukor berkata, majlis bertemakan ‘Building a Sustainable Pipeline: Strengthening Partnerships Towards TVET Excellence’ itu menghargai sokongan 29 rakan industri dan 10 komuniti.

“Kejayaan fakulti bukan diukur semata-mata melalui pencapaian akademik, tetapi kepercayaan rakan strategik.

“Kita turut mengiktiraf komitmen libat urus melalui inisiatif enam sekolah angkat, dua kampung angkat dan dua komuniti angkat,” jelasnya.

Bagi menghargai sumbangan rakan kolaborasi, sebanyak 29 anugerah dalam tujuh kategori telah disampaikan pada majlis yang dijayakan di bawah pimpinan Pengarah Program, Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Salihatun Md Salleh.

Mewakili industri, Pendaftar Olympia Education Malaysia, Dr. Hassan Marzukhi memuji langkah UTHM mengaplikasikan Model Quadruple Helix yang menggabungkan kepakaran universiti, industri, kerajaan dan komuniti.

Menurutnya, ekosistem inovasi ini amat kritikal dan selari dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

“Penyelidikan di institusi pengajian tinggi tidak seharusnya berakhir di makmal sahaja, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada penyelesaian sebenar yang memacu kelestarian serta ekonomi negara,” katanya.

Menerusi jalinan berterusan itu, FTK UTHM komited bertindak sebagai penyedia teknologi berwibawa, sekali gus meletakkan ekosistem Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara di landasan terbaik.

Artikel Berkaitan

Terkini