Sumber: Profesor Dr. Mohammad Kamil Abdullah

BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus memperkukuh jaringan kerjasama akademia-industri dengan menandatangani Memorandum of Agreement (MoA) bersama syarikat IAQ Solutions Sdn. Bhd. pada 18 Ogos 2026 lalu bagi pelaksanaan IAQ Scholarship Program.

Melalui perjanjian kerjasama itu, syarikat IAQ Solutions akan menyediakan tajaan biasiswa kepada pelajar UTHM yang terpilih bagi tempoh empat tahun bermula Februari 2026 sehingga semester berakhir Mac 2030.

Untuk kumpulan pelajar pertama, syarikat IAQ Solutions telah menyalurkan tajaan biasiswa bernilai RM57,750.00 kepada tujuh pelajar cemerlang UTHM yang telah melepasi tapisan kelayakan akademik dan sesi temuduga.

Inisiatif itu melibatkan pelajar dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP) dan Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE) yang bakal menerima peruntukan tajaan bernilai RM8,250.00 per semester, merangkumi pembiayaan yuran pengajian, yuran penginapan, elaun sara hidup serta yuran pentadbiran.

Penyelaras MoA UTHM-IAQ, Profesor Dr. Mohammad Kamil Abdullah berkata penajaan biasiswa itu bukan sahaja menyediakan bantuan kewangan secara berperingkat sehingga nilai maksimum RM66,000.00 seorang sepanjang pengajian, malah membuka ruang pembangunan kerjaya secara terus bersama industri.

“Sinergi strategik bersama pihak IAQ Solutions ini membolehkan pelajar memberi tumpuan sepenuhnya kepada pencapaian akademik tanpa terbeban dengan isu kewangan.

“Sebagai pertukaran, para penerima disyaratkan mengekalkan pencapaian CGPA minimum pada 3.30 untuk setiap semester dan akan diikat dengan bon perkhidmatan kerjaya selama tiga tahun bersama IAQ Solutions selepas tamat pengajian,” katanya.

Untuk rekod, IAQ Solutions merupakan syarikat penyedia penyelesaian kejuruteraan terkemuka dan berkepakaran di dalam reka bentuk, pembinaan dan pengoperasian fasiliti berteknologi tinggi seperti bilik bersih, pusat data, serta fasiliti makmal termaju bagi industri semikonduktor, farmaseutikal dan teknologi hijau.

Penglibatan syarikat menerusi IAQ Scholarship Program itu bukan sahaja mengukuhkan tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka dalam pembangunan modal insan, malah membuka ruang penempatan latihan industri dan jaminan kerjaya secara terus kepada graduan kejuruteraan UTHM yang berprestasi tinggi.

Kerjasama berimpak tinggi seperti itu membuktikan komitmen berterusan UTHM dalam melahirkan graduan holistik yang memenuhi kehendak industri, selaras dengan visi dan misi Universiti.

*Senarai tujuh pelajar cemerlang UTHM yang terpilih menerima biasiswa bagi sesi kali ini ialah:

  1. Haw Wei LunIjazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dengan Kepujian (FKMP)
  2. Lay Cheng XinIjazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dengan Kepujian (FKMP)
  3. Muhammad Khairani Luqman bin Muhammad Khairul AnamIjazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dengan Kepujian (FKMP)
  4. Yeo Yong JiaIjazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dengan Kepujian (FKMP)
  5. Wong Shi HuiIjazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dengan Kepujian (FKMP)
  6. Adam Haziq bin HishamudinIjazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dengan Kepujian (FKMP)
  7. Sylvester Law Li DeIjazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrikal dengan Kepujian (FKEE)