Oleh Dr. Muhamad Helmy Sabtu, Ahmad Khirul Nizam Ali, Muhammad Firdaus Hafiz Hisham
MEDAN, INDONESIA – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus memperkukuh jaringan antarabangsa menerusi misi penyampaian bantuan dan program khidmat masyarakat kepada komuniti pejuang kanser di Sumatera Utara, Indonesia.
Misi itu direalisasikan melalui penganjuran program Retreat Komuniti Kanser Antarabangsa 2026 (REKKA ’26) yang berlangsung pada 9 hingga 12 Ogos lalu.
Program berkenaan telah memberi manfaat kepada lebih 100 kanak-kanak pejuang kanser yang ditempatkan secara sementara di rumah singgah Yayasan Onkologi Anak Medan (YOAM) semasa dalam tempoh sesi rawatan.
Antara aktiviti yang diadakan termasuklah pertandingan melukis dan mewarna selain penyampaian bantuan berbentuk barangan keperluan sekolah dan wang tunai kepada ahli.
Turut diadakan, sesi pertukaran ilmu dan pengalaman secara dua hala antara pihak UTHM dengan YOAM mengenai amalan terbaik penjagaan kebajikan sosial dan sokongan kepada pejuang kanser kanak-kanak, selain perencanaan aktiviti dan program yang boleh dianjurkan bersama bagi meningkatkan pendanaan untuk yayasan berkenaan.
Menurut Ketua YOAM, Atika Rahmi program seperti itu sangat bermakna buat mereka kerana selain dapat bertukar-tukar idea dan pengalaman, mereka juga dapat meluaskan lagi jaringan hubungan di antara komuniti pejuang kanser di Indonesia dan Malaysia.
“Pihak kami sangat berbesar hati menerima kunjungan seperti ini dan berharap dapat melaksanakan pelbagai bentuk kerjasama pada masa akan datang untuk manfaat bersama,” katanya.
Selain YOAM, delegasi REKKA ’26 juga melaksanakan beberapa siri lawatan akademik dan program pemindahan ilmu yang lain.
Antara lokasi yang dilawati termasuklah Fakultas Keperawatan, Fakultas Kesehatan Masyarakat, Fakultas Ilmu Sosial dan Ilmu Politik, Universitas Sumatera Utara (USU) serta Yayasan Kanker Indonesia (YKI) Sumatera Utara.
Pihak UTHM turut berkongsi ilmu berkaitan pemerkasaan penjaga tidak formal sebagai ekosistem sokongan bagi pesakit kanser selain pemeteraian surat hasrat (Letter of Intent) sebagai pemula kepada beberapa siri program kerjasama lanjutan yang dianjurkan sepanjang tahun 2026 dan 2027 antara UTHM dengan USU, YKI dan YOAM.
Kerjasama itu bagi memperkukuhkan lagi peranan universiti sebagai penyedia kepada penyelesaian teknikal untuk keperluan komuniti termasuklah komuniti antarabangsa.
Untuk rekod, REKKA ’26 dianjurkan oleh Sekretariat Sukarelawan Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor (SYKTLJ) UTHM dengan kerjasama Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor (TLJCF), Yayasan UTHM, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTHM serta Johor i-Care Society (JICS).







