BELGIUM, 14 September 2026 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus memperkukuh jaringan akademik di peringkat antarabangsa menerusi pemeteraian Erasmus+ KA171 Inter-Institutional Agreement (IIA) bersama VIVES University of Applied Sciences, Belgium, bagi memperluas peluang mobiliti akademik serta kerjasama strategik antara kedua-dua institusi.
Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Naib Canselor UTHM, Profesor Ts. Dr. Mas Fawzi Mohd Ali dan Presiden VIVES, Kathy Dewitte, dalam satu majlis yang turut disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTHM, Profesor Dr. Afandi Ahmad, serta Ketua Global Engagement Office VIVES, Tine Ternest.
Pada majlis yang sama, kedua-dua institusi turut memeterai dan bertukar dokumen Memorandum Persefahaman (MoU), sekali gus menandakan satu lagi perkembangan penting dalam hubungan akademik dan institusi yang semakin berkembang antara UTHM dan VIVES.
Pemeteraian IIA itu susulan kelulusan geran Erasmus+ KA171 yang akan menyokong pelaksanaan mobiliti antara kedua-dua institusi bagi tempoh tiga tahun.
Inisiatif tersebut dijangka membuka lebih banyak peluang kepada warga akademik dan pelajar untuk memperoleh pengalaman pendidikan serta pendedahan antarabangsa melalui program pertukaran dan aktiviti akademik bersama.
Kerjasama UTHM dan VIVES mula berkembang hasil pertemuan pada persidangan European Association for International Education (EAIE) 2025 sebelum diteruskan melalui pelbagai inisiatif mobiliti dan penglibatan akademik.
Perkembangan tersebut turut menyaksikan UTHM menerima pelajar pertama dari VIVES, Robbe Ryckeboer, pada Mac 2026 bagi mengikuti program pertukaran semester dan latihan penyelidikan di UTHM.
Delegasi UTHM ke VIVES turut disertai Pengarah Pejabat Antarabangsa, Profesor Dr. Muhammad Ramlee Kamarudin, serta Ketua Pegawai Eksekutif Pejabat Pengurusan UTHM Tanjung Laboh, Profesor Dr. Erween Abd Rahim.
Dengan termeterainya IIA dan MoU serta kelulusan geran Erasmus+ KA171, UTHM dan VIVES komited untuk memperluas peluang mobiliti antarabangsa, memperkukuh jaringan akademik serta meneroka bidang kerjasama baharu yang dapat memberi nilai tambah kepada pembangunan pendidikan tinggi dan pengantarabangsaan kedua-dua institusi.




