Refleksi Pendidik: Menyampaikan ilmu atau memberi makna?

Bayangkan anda berada di dalam sebuah dewan kuliah. Pensyarah di hadapan sedang menelusuri puluhan slaid yang sarat dengan tulisan, dibaca satu per satu dengan intonasi mendatar dan syarahnya pantas bak halilintar. Anda pula berperang di antara cubaan memahami teori yang padat dan mengantuk yang amat dahsyat. Apabila kuliah ini berlanjutan sehingga berjam-jam tanpa henti, semangat mulai luntur dan fikiran pasti melayang.

Senario ini bukanlah rekaan semata-mata, malah inilah realiti dan pengalaman yang disuarakan oleh pelajar menerusi penilaian pengajaran staf akademik dan kursus. Pelajar berpendapat bahawa kaedah pengajaran yang terlalu laju, mendatar dan terlalu panjang menyukarkan mereka menghayati kandungan pembelajaran yang disampaikan.

Pada masa yang sama, pelajar juga menyuarakan penghargaan yang tinggi terhadap pengajar yang menyediakan bahan pengajaran berkualiti, mengaplikasikan kaedah Pembelajaran Berpusatkan Pelajar (Student-Centered Learning, SCL) secara aktif di dalam kelas, di samping mengintegrasi ilmu pengajaran dengan aplikasi dunia nyata seperti keperluan industri dan komuniti.

Ruang penambahbaikan, bukan medan mencari kesalahan

Di universiti, lazimnya penilaian pengajaran ini dilaksanakan melalui sistem pada minggu-minggu terakhir setiap semester. Sistem penilaian pengajaran diwujudkan bukanlah sebagai medan untuk mencari kesalahan staf akademik. Sebaliknya, ia adalah platform yang ampuh untuk mengenal pasti ruang Penambahbaikan Kualiti Berterusan (CQI) dan menyerlahkan amalan-amalan terbaik staf akademik dalam pelaksanaan kursus agar dapat menjadi rujukan untuk diteladani bersama.

Setiap maklum balas ini adalah peluang untuk staf akademik mengenal pasti kekuatan dan kelemahan, membuat refleksi kendiri, seterusnya merangka semula proses pengajaran agar lebih berkesan, berimpak, dan menepati objektif pembelajaran kursus agar sejajar dengan keperluan standard dan aspirasi universiti.

Dalam satu perkongsian pakar, Prof. Dr. Karim Alias melalui sesi “AI Integrated Pedagogy for Meaningful Learning,” beliau ada menekankan kepentingan pembelajaran bermakna (meaningful learning) dalam mendepani era AI yang sangat mencabar. Pembelajaran bermakna terhasil apabila pelajar itu secara sendiri mempunyai hasrat untuk mendalami sesuatu pembelajaran dengan menghubungkan ilmu baharu dengan pengetahuan sedia ada. Pembelajaran bermakna merupakan kunci utama dalam mengatasi isu etika dan integriti akademik seperti plagiat atau meniru. Oleh itu, tugas utama pengajar dalam konteks ini adalah menjadi jambatan yang menghubungkan pembelajaran itu dengan minda pelajar agar mereka menghayati dan berfikir tentang ilmu yang disampaikan. Kaedah dan pendekatan pengajaran sedia ada perlu dilihat semula agar ilmu yang disampaikan terpahat dalam diri pelajar.

Pembelajaran bermakna boleh dicapai melalui kaedah Pembelajaran Berpusatkan Pelajar (Student Centered Learning, SCL).  Kaedah SCL mendorong pelajar melibatkan diri secara aktif dalam proses pembelajaran, menggalakkan mereka berfikir dan menumpukan perhatian.

Membudayakan Pendekatan 6C dalam PdP

Bagi menaik taraf penyampaian pembelajaran bermakna melalui SCL, kita boleh mengambil inspirasi 6C yang dikongsikan oleh pakar pendidikan Joe Ruhl. Ianya terdiri daripada 5C bagi mewujudkan persekitaran SCL yang berkesan, dan disempurnakan dengan 1C yang menjadikan keseluruhan pengalaman pembelajaran itu bermakna. Elemen 6C untuk SCL adalah seperti berikut:

  1. Choice (Pilihan) iaitu memberikan autonomi kepada pelajar. Hal ini termasuk pelajar boleh menentukan cara mereka belajar, masalah yang mereka ingin selesaikan, atau cara mempersembahkan hasil tugasan.
  2. Collaboration (Kolaborasi) iaitu menggalakkan kerja berpasukan secara aktif agar pelajar dapat membina hubungan interpersonal dan saling menyokong antara satu sama lain.
  3. Communication (Komunikasi) iaitu menyediakan ruang yang selamat untuk pelajar menyuarakan idea dan berinteraksi secara berkesan di dalam kelas seperti pitching, wacana dan forum. Medium komunikasi boleh dipelbagaikan termasuk secara verbal, bertulis mahupun dalam talian.
  4. Critical Thinking (Pemikiran Kritis) iaitu pelajar dibimbing untuk merungkai masalah yang kompleks dan berfikir secara analitikal, dan bukan sekadar menghafal. Pelajar perlu diberikan peluang untuk mendalami sesuatu permasalahan agar mereka dapat menghubungkaitkannya dengan kandungan pembelajaran.
  5. Creative Thinking (Pemikiran Kreatif) iaitu menggalakkan pelajar berfikir di luar kotak supaya mereka dapat meneroka dan menghasilkan jalan penyelesaian inovatif. Kemahiran berfikir secara metakognitif boleh disesuaikan untuk tujuan ini.
  6. Caring (Prihatin) pula adalah elemen pelengkap iaitu keprihatinan terhadap kesejahteraan pelajar. Pensyarah seharusnya menyantuni permasalahan, situasi dan beban kerja pelajar. Penyesuaian akademik (academic accommodation) boleh dipertimbangkan bagi pelajar yang memerlukan seperti masalah kesihatan, berkeperluan khas dan sebagainya.

Aplikasi 6C: Kajian Kes Kursus Internet of Things (IoT)

Berdasarkan pengalaman penulis dalam mengendalikan kursus teknologi kejuruteraan seperti Internet of Things and Application, elemen 6C ini boleh diterapkan secara menyeluruh dalam pelbagai aspek penyampaian dan penilaian kursus. Kursus ini telah direka bentuk sejak awal (by design) dengan memberi ruang kepada pelajar untuk memilih isu dan permasalahan dunia sebenar sebagai platform pembelajaran. Sesi kuliah, tugasan dan makmal lazimnya dipenuhi dengan aktiviti kolaborasi, perbincangan, serta sesi percambahan idea yang memerlukan kesemua elemen 5C yang disebutkan tadi.

Dalam sesi Makmal Pembelajaran Berasaskan Masalah (Problem-Based Learning), pelajar ditugaskan untuk menyediakan prototaip berserta kaedah dan langkah pembangunannya. Mereka tidak lagi sekadar terikat kepada senarai arahan dalam lembaran kerja amali (lab sheet) semata-mata, sebaliknya pelajar diberikan kebebasan untuk berbincang dan membuat keputusan secara berkumpulan bagi mendapatkan kepelbagaian pandangan, pendekatan  dan idea dalam menghasilkan prototaip tersebut.

Untuk projek, pendekatan Pembelajaran Berasaskan Masalah Berorientasikan Projek (Project-Oriented Problem-Based Learning, POPBL) pula diambil dengan memberikan permasalahan dunia nyata sebagai tema. Contohnya, inisiatif SULAM (Service Learning Malaysia) menerusi latihan IoT kepada komuniti, penyelesaian isu biodiversiti, dan yang terkini, penyelesaian teknologi untuk penganjuran program larian (running event). Berdasarkan senario atau tema yang diberikan, pelajar bebas mengutarakan permasalahan dan menterjemahkan pendekatan penyelesaian masing-masing. Malah, kredit tambahan turut diberikan apabila mereka berjaya menganjurkan program bagi menguji lari sistem IoT yang dibangunkan di lapangan. Contohnya, pelajar menganjurkan acara larian sebenar untuk menguji lari sistem pengesanan peserta dan sebagainya.

Anjakan paradigma ini turut dilakukan pada fasa pentaksiran akhir. Menggantikan kaedah peperiksaan akhir konvensional, kursus ini mengadaptasi pentaksiran akhir berkonsepkan ‘hackathon’. Dalam tempoh 24 jam, pelajar diberikan senario dunia sebenar dan perlu menyediakan satu laporan lengkap merangkumi pernyataan masalah, idea, pendekatan penyelesaian, reka bentuk dan prototaip. Pelajar bebas merujuk pelbagai sumber ilmiah termasuk kecerdasan buatan (AI). Kaedah pentaksiran sumatif (summative assessment) ini memerlukan pelajar berfikir secara analitikal, kreatif dan kritis dalam menyediakan prototaip tersebut. Berdasarkan laporan yang disediakan pelajar, penilaian terhadap tahap pengetahuan dan kemahiran teknikal yang mereka pelajari sepanjang semester dapat dibuat.

Hasil tinjauan pada penghujung semester mendapati, majoriti pelajar mengakui bahawa walaupun kaedah pembelajaran ini menuntut kemahiran berfikir yang tinggi, mereka mendapati lebih menghayati kepentingan ilmu yang dipelajari, terutamanya melalui aplikasi kepada dunia sebenar. Terdapat juga maklum balas yang menyatakan bahawa kaedah ini melonjakkan semangat mereka untuk belajar dengan lebih jujur dan bersungguh-sungguh (earnest). Barangkali, inilah inti pati sebenar yang dimaksudkan dengan ‘pembelajaran bermakna’.

Langkah ke hadapan bagi warga pendidik

Bagi memastikan kelestarian kualiti pengajaran, warga pendidik diseru untuk memberi tumpuan kepada tiga perkara asas. Pertama, menilai semula pelaksanaan PdP dengan menyemak pendekatan penyampaian dan penilaian kursus untuk menjamin kualiti dan impak pembelajaran terhadap pelajar pada zaman ini. Kedua, pembelajaran bermakna melalui integrasi SCL bagi menghidupkan ruang pembelajaran dengan interaksi dua hala antara pelajar dan pendidik, peluang berfikir secara kreatif dan kritis serta memberikan kebebasan kepada pelajar dalam pemberdayaan pembelajaran mereka sendiri. Ketiga, pendidik seharusnya mengambil berat dan menjadi inspirasi kepada pelajar. Terapkan sifat prihatin dan ambil peduli. Selain ilmu yang diberikan, kesungguhan dan empati andalah yang akan menjadi ingatan dan memberikan impak mendalam serta berpanjangan kepada pelajar, walaupun mereka sudah bergraduat.

 

 

Dr. Faiz Asraf Saparudin

 Ketua Jabatan Perancangan Dasar dan Kualiti Akademik

Pusat Pembangunan Akademik dan TVET

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Artikel Berkaitan

Terkini