Pelaksanaan Hari Bekerja Hibrid (HBH) sebagai norma baharu Perkhidmatan Awam mulai 1 Ogos 2026 dijangka membawa perubahan besar terhadap budaya kerja sektor awam negara. Persoalan utama kepada rakyat ialah sama ada perubahan ini akan menjadikan perkhidmatan kerajaan lebih pantas, mudah dan berkualiti.
Melalui HBH, pegawai yang memenuhi syarat bekerja tiga hari di pejabat dan dua hari secara Bekerja Dari Rumah (BDR) atau di lokasi lain yang diluluskan oleh Ketua Jabatan. Pelaksanaannya tidak mengurangkan waktu bekerja dan tanggungjawab pegawai. Namun disebabkan dasar ini melibatkan sejumlah besar penjawat awam maka kesannya dijangka merentasi keseluruhan sistem pentadbiran negara.
Rasional pelaksanaan HBH
Dunia pekerjaan masa kini telah berubah. Kemajuan teknologi digital membolehkan penyediaan laporan, analisis data, pengurusan dokumen dan mesyuarat dilakukan di mana-mana sahaja. Tanpa memerlukan pegawai sentiasa berada di pejabat. HBH menjadi sebahagian usaha pemodenan perkhidmatan awam melalui pengaturan kerja anjal, berorientasikan hasil dan memanfaatkan teknologi digital.
Dasar ini mampu mengalihkan penekanan berlebihan terhadap kehadiran fizikal. Berada di pejabat tidak semestinya menjadikan seseorang produktif. Manakala bekerja dari rumah tidak seharusnya dianggap kurang bekerja. Persoalan sebenar ialah sama ada tugasan diselesaikan mengikut tempoh, pelanggan dilayani dan masalah rakyat diselesaikan?
Fleksibiliti yang dinikmati penjawat awam harus berkadar dengan manfaat dirasai rakyat. Sebagai contoh, masa pemprosesan dipendekkan, pertanyaan dijawab dengan cepat, urusan dalam talian dipermudah dan aduan diselesaikan secara berkesan. Tanpa hasil tersebut, HBH dilihat sekadar kemudahan kepada penjawat awam dan bukannya pembaharuan Perkhidmatan Awam.
Manfaat kepada pegawai dan organisasi
Dikatakan manfaat HBH ialah keseimbangan lebih baik antara pekerjaan dengan kehidupan peribadi. Pengurangan perjalanan ke pejabat dapat menjimatkan masa, bahan api, tol, kesesakan dan perbelanjaan harian. Masa perjalanan ditukar menjadi tenaga dan tumpuan untuk menyelesaikan tugasan. Sekali gus berpotensi meningkatkan kesejahteraan, motivasi dan kepuasan bekerja.
HBH juga seharusnya mempercepat pendigitalan kerajaan. Jabatan tidak perlu terlalu bergantung pada fail fizikal, tandatangan manual atau penyampaian maklumat secara bersemuka. Dokumen mudah dicapai, proses kelulusan dipermudah dan komunikasi disusun secara sistematik. Penggunaan ruang pejabat termasuk pelbagai kemudahan juga berpotensi menjadi lebih cekap jika tata kelola nya di rancang baik.
Lebih penting, HBH adalah kemuncak pembentukan budaya pengurusan berasaskan kepercayaan dan tanggungjawab. Pegawai diberikan fleksibiliti dan ia dibalas dengan disiplin, integriti dan pencapaian yang lebih baik oleh para pegawai.
Pengalaman agensi melaksanakan HBH
Beberapa kementerian, jabatan dan badan berkanun telah pun merintis pelaksanaan HBH berdasarkan kelayakan pegawai, kesesuaian fungsi dan keperluan perkhidmatan. Antaranya ialah Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM). Banyak urusan percukaian kini dilaksanakan secara digital. Oleh itu, tugas menganalisis, pemprosesan, menyediakan laporan dan pengurusan data dilaksanakan secara hibrid. Kejayaannya harus diukur melalui tempoh pemprosesan, kecekapan bayaran balik cukai, penyelesaian pertanyaan dan kepuasan pembayar cukai.
Majlis Amanah Rakyat (MARA), Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) turut telah menyediakan panduan pelaksanaan masing-masing. Begitu halnya dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang sentiasa mengingatkan warganya supaya mengimbangi kesejahteraan di tempat kerja dengan tahap kebertanggungjawaban yang tinggi. Peringatan ini relevan kepada universiti awam dan institusi pendidikan tinggi yang mempunyai pelbagai kategori tugas. Sebahagian urusan pentadbiran, penyelidikan dan penyediaan dokumen boleh dilakukan secara kaedah kerja campuran, manakala kuliah, kerja makmal, penyeliaan pelajar serta perkhidmatan kampus masih memerlukan kehadiran fizikal.
Dalam kata lain HBH tidak boleh menggunakan pendekatan satu kaedah untuk semua. Dalam organisasi yang sama, kelayakan berbeza mengikut skop tugas. Bagi badan berkanun, pihak berkuasa tempatan dan perkhidmatan awam negeri, pemakaian dasar tertakluk kepada penerimaan pihak berkuasa masing-masing.
Dilema yang perlu ditangani
Pertama ialah keadilan antara pegawai. Petugas kaunter dan barisan hadapan perlu terus berada di tempat kerja. Perbezaan ini boleh menimbulkan rasa tidak puas hati jika tidak diterangkan dengan baik. Keadilan tidak semestinya bermaksud semua pegawai mendapat kemudahan sama, tetapi setiap orang dipertimbangkan secara objektif berdasarkan tugas dan keperluan perkhidmatan.
Kedua, BDR ditanggapi sebagai hari rehat tambahan. Kefahaman salah ini jika membudaya akan menjadi bencana. Ini kerana BDR bukan cuti! Pegawai tetap tertakluk kepada waktu bekerja, perlu merekodkan kehadiran, boleh dihubungi dan bertanggungjawab menyelesaikan output. Jangan sampai timbul masalah panggilan tidak dijawab, e-mel tidak dibalas atau keputusan menjadi lambat pada hari BDR.
Ketiga, tidak semua rumah mempunyai persekitaran kerja kondusif. Capaian internet, ruang terhad dan kekurangan peralatan boleh menjejaskan produktiviti. Risiko keselamatan siber serta kerahsiaan dokumen turut meningkat jika rangkaian atau peranti tidak selamat. Dalam hal ini pegawai seharusnya terus dibenarkan bekerja di pejabat.
Keempat, HBH mencabar keupayaan penyelia. Ketua Jabatan perlu menetapkan output yang khusus, munasabah, boleh diukur dan mempunyai tempoh penyelesaian jelas.
Kelima, kerja hibrid boleh mengurangkan interaksi sosial dan pembelajaran tidak formal. Pegawai baharu mungkin kehilangan peluang memperoleh bimbingan melalui pemerhatian dan tunjuk ajar langsung.
Kelima-lima cabaran tersebut datang dengan cabaran koordinasi Ketua Jabatan dalam mengenal pasti tugas yang benar-benar sesuai dilaksanakan dari rumah serta tugas yang memerlukan kehadiran fizikal. Perlu ada saluran komunikasi rasmi, tatacara serahan kerja dan pelan kesinambungan operasi. Pegawai perlu memahami bahawa arahan hadir ke pejabat pada hari BDR wajib dipatuhi apabila terdapat keperluan perkhidmatan. Jangan sampai ada tanggapan hari BDR yang dibatalkan boleh diganti. Jangan ada prinsip kepentingan organisasi dan rakyat lebih rendah dan mengatasi keselesaan individu.
Tanpa penyelarasan yang rapi, fleksibiliti boleh bertukar menjadi kekeliruan, pertindihan tugas, silo pekerjaan dan kelewatan keputusan yang akhirnya menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap keupayaan perkhidmatan awam negara.
Harapan kerajaan, negara dan rakyat
Kerajaan mengharapkan HBH melahirkan Perkhidmatan Awam yang tangkas, moden, responsif dan berorientasikan hasil. Ukuran sebenarnya ialah produktiviti, kepantasan proses, kualiti keputusan dan pengurangan aduan. Negara juga mengharapkan penjawat awam yang memiliki disiplin kendiri tinggi. Apabila pengawasan fizikal berkurang, integriti menjadi semakin penting. Kerajaan perlu memastikan prasarana digital, keselamatan siber, garis panduan dan keupayaan penyeliaan mencukupi. Keanjalan tanpa sistem sokongan dan mekanisme akauntabiliti akan membuka ruang kepada kelemahan.
Rakyat sebenarnya tidak terlalu mempersoalkan dari mana seseorang pegawai bekerja. Syaratnya mereka mahu telefon dijawab, permohonan diproses, aduan diberi perhatian dan keputusan tidak tertangguh. HBH sepatutnya menjadikan kerajaan lebih mudah dihubungi, bukannya semakin jauh daripada rakyat. Teknologi mesti merapatkan hubungan dan bukan membina tembok birokrasi baharu dalam bentuk digital.
Kejayaan HBH mesti dibuktikan
Selepas suatu tempoh, keberkesanan HBH perlu dinilai secara telus berdasarkan data. Setiap organisasi perlu mempunyai “dashboard” meliputi tempoh penyelesaian permohonan dan aduan, jumlah tunggakan, pencapaian output, kualiti dokumen, kadar respons, penggunaan perkhidmatan digital, kos operasi, kesejahteraan pegawai dan kepuasan rakyat. Prestasi sebelum dan selepas HBH perlu dibandingkan supaya manfaat atau kelemahannya dikenal pasti secara objektif.
Pegawai yang gagal mencapai output, yang sukar dihubungi atau yang mempunyai masalah kehadiran adalah tidak layak lagi dipertimbangkan untuk HBH dan BDR. Sebaliknya, pegawai yang menunjukkan prestasi cemerlang wajar diiktiraf kerana membuktikan fleksibiliti dan produktiviti boleh bergerak seiring.
Dalam konteks ini, pelaksanaan HBH adalah tentang amanah dan keadilan sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa’, ayat 58 yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya, dan apabila kamu menjalankan hukum antara manusia, Allah menyuruh kamu menghukum dengan adil.”
Kini, rakyat menunggu hasilnya. Jika perkhidmatan menjadi lebih pantas, mudah dan berkualiti, HBH akan dikenang sebagai pembaharuan penting. Namun, jika hanya tempat bekerja berubah sedangkan kelewatan dan birokrasi kekal, matlamat sebenar dasar ini masih belum tercapai.

Profesor Madya. Dr. Lutfan Jaes
Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Berita ini juga diterbitkan di:
1. Bernama (bernama.com), 14 September 2026: Rakyat Menunggu Hasil Kerja Hibrid Penjawat Awam



