Apabila kita bercakap tentang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), persoalan yang sering diketengahkan ialah: Adakah pelajar kita sudah bersedia untuk memasuki dunia pekerjaan? Namun, ada satu persoalan yang tidak kurang penting untuk kita tanyakan kepada diri sendiri: Adakah kita benar-benar bersedia menjadi pengajar TVET?
Persoalan ini penting kerana kejayaan TVET bukan hanya bergantung kepada pelajar, kurikulum atau kemudahan bengkel semata-mata. Di tengah-tengah ekosistem tersebut ialah pengajar yang bertanggungjawab menterjemahkan ilmu, kemahiran dan keperluan industri kepada pengalaman pembelajaran sebenar.
Malaysia memerlukan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi menyokong perkembangan pesat industri dan teknologi. Justeru, kita bukan sekadar perlu melahirkan lebih ramai graduan TVET, tetapi perlu memastikan mereka benar-benar memiliki kompetensi yang ditagih oleh majikan. Di sinilah peranan pengajar menjadi sangat kritikal.
Pengajar TVET tidak boleh berhenti belajar
Dunia industri berubah dengan pantas. Automasi, robotik, Internet Benda (IoT), kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital sedang mengubah landskap alam pekerjaan secara drastik. Apa yang dianggap sebagai kemahiran relevan lima atau sepuluh tahun lalu mungkin tidak lagi mencukupi untuk hari ini.
Justeru, persoalan wajar yang perlu ditanya: Sejauh manakah pengalaman industri yang dimiliki oleh pengajar TVET kita? Data daripada pelan induk TVET Masterplan memberikan gambaran yang menarik. Berdasarkan kajian tersebut, 27 peratus pengajar TVET mempunyai kurang daripada satu tahun pengalaman industri, manakala 54 peratus mempunyai pengalaman lebih daripada tiga tahun.
Angka ini tidak bermakna pengajar TVET kita tidak kompeten. Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa tahap pengalaman industri dalam kalangan pengajar adalah berbeza. Sebahagian besar daripada mereka mungkin memerlukan pendedahan yang lebih dekat dan berterusan kepada dunia pekerjaan sebenar.
Pengalaman industri bukan sekadar pernah bekerja di syarikat atau menyertai lawatan sambil belajar ke kilang. Pengalaman bermakna bermaksud pengajar memahami teknologi terkini, prosedur kerja, standard keselamatan, budaya organisasi, serta proses penyelesaian masalah yang benar-benar dicari majikan.
Gabungan kemahiran teknikal dan pedagogi
Jika pengajar tidak mengikuti perkembangan tersebut, berisiko wujud jurang besar antara apa yang diajar di institusi dengan apa yang diperlukan di tempat kerja. Kajian terhadap pakar industri di Malaysia turut mengenal pasti kompetensi tenaga pengajar sebagai cabaran utama dalam memperkukuh ekosistem TVET.
Dapatan menunjukkan pengajar bukan sahaja perlu mempunyai kemahiran teknikal, tetapi juga memerlukan kompetensi pedagogi dan pengurusan yang mantap. Menjadi pakar dalam sesuatu bidang tidak semestinya menjadikan seseorang itu pengajar yang baik.
Seseorang mungkin sangat mahir mengendalikan mesin atau sistem automasi. Namun, kemahiran tersebut perlu diterjemahkan kepada kaedah pengajaran yang mudah difahami dan dikuasai pelajar. Maka, pengajar TVET memerlukan gabungan kemahiran teknikal, kemahiran mengajar yang berkesan dan pengalaman sebenar di industri.
Dasar sudah bergerak, tetapi cukupkah?
Isu ini bukan sekadar perbincangan akademik. Pelan Tindakan 2026–2028 bagi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia turut menggariskan usaha memperkukuh kualiti pengajar. Antara inisiatif dirancang ialah program sangkutan industri, dengan sasaran lima peratus pensyarah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menyertainya setiap tahun dari 2026 hingga 2028.
Pendekatan Industry Co-Teaching and Guest Fellowship turut diperkenalkan, yang melibatkan pakar industri mengajar bersama pensyarah, menyasarkan penglibatan 3,000 pakar industri menjelang 2028. Langkah progresif ini wajar disambut baik. Namun, adakah pendedahan berkala ini sudah mencukupi untuk memastikan pengajar sentiasa kekal relevan?
Kita perlu melihat pengalaman industri bukan sebagai aktiviti tambahan, tetapi sebagai satu kewajipan dalam pembangunan profesional berterusan pengajar TVET.
Daripada “saya tahu” kepada “saya boleh buat”
TVET mempunyai keistimewaan yang membezakannya daripada sistem pendidikan berorientasikan teori. Pelajar TVET perlu bergerak daripada tahap “saya tahu” kepada “saya boleh buat.” Sebagai contoh, pelajar tidak sekadar perlu menghafal teori litar elektronik, tetapi mesti mampu mendiagnosis kod ralat pada sistem automasi sebenar dan membaikinya di lantai kilang. Dalam erti kata lain, tangan perlu bekerja dan minda perlu berfikir secara kritis.
Pengajar perlu mampu menilai bukan sahaja kefahaman konsep pelajar, tetapi keupayaan mereka mengaplikasikan pengetahuan tersebut dalam situasi krisis sebenar. Cabaran ini menjadi semakin kompleks dengan kemunculan AI yang membolehkan pelajar mencari maklumat dan menghasilkan penyelesaian dengan pantas. Pengajar perlu membimbing pelajar menilai sama ada jawapan tersebut tepat, relevan dan selamat untuk diguna pakai.
Dalam bidang teknikal, kesilapan bukan sekadar merendahkan markah, malah boleh menyebabkan kerosakan peralatan, kecacatan produk atau lebih burut, menggugat nyawa manusia.
Kesediaan menghadapi masa depan
Apabila kita bertanya sama ada pelajar bersedia menghadapi cabaran kerjaya, kita wajib berani bertanya soalan yang sama kepada diri kita sebagai pengajarnya. Bersediakah kita?
- Bersedia untuk belajar semula.
- Bersedia untuk kembali ke industri.
- Bersedia menguasai teknologi baharu.
- Bersedia meninggalkan kaedah lama apabila ia tidak lagi relevan.
Yang paling penting, bersedia untuk mengakui bahawa dalam dunia yang sentiasa pantas berubah, seorang pengajar juga tidak akan pernah selesai menuntut ilmu. TVET yang berimpak tinggi tidak dibina sekadar dengan bengkel moden, mesin canggih dan kurikulum yang tersusun. Ia dibina oleh barisan pengajar yang kompeten, relevan dan berani berubah. Jika kita mahu melahirkan tenaga kerja yang bersedia untuk masa hadapan, pastikan pengajar yang berdiri di hadapan mereka hari ini melangkah keluar dari zon selesa terlebih dahulu.

Dr. Basirah Fauzi
Pensyarah Kanan
Pusat Pengajian Diploma
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Rencana ini juga diterbitkan di:
1. Harian Metro (muka surat: 14), 22 September 2026: Pengajar perlu keluar zon selesa

2. MyMetro (hmetro.com.my), 22 September 2026: Pengajar perlu keluar zon selesa
https://www.hmetro.com.my/rencana/2026/09/1413680/pengajar-perlu-keluar-zon-selesa
3. Utusan Malaysia (muka surat: 25), 29 September 2026: Pengajar TVET tidak boleh ketinggalan

4. Utusan (utusan.com.my), 29 September 2026: Pengajar TVET tidak boleh ketinggalan



