Dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini, kemerosotan kualiti udara bukan sahaja menyebabkan langit kembali diselubungi asap. Lebih membimbangkan, keadaan ini berlaku ketika rantau Asia Tenggara berhadapan cuaca kering dan risiko kebakaran hutan yang tinggi.
Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) pada ogos lalu telah mengaktifkan Tahap Amaran 3 bagi selatan ASEAN susulan peningkatan aktiviti titik panas dan jerebu asap dalam keadaan kering berpanjangan. Bagi masyarakat umum, nasihat ketika jerebu lazimnya mudah iaitu kurangkan aktiviti luar dan kekal berada di dalam bangunan. Namun, bagaimana pula dengan pekerja yang mata pencarian mereka memerlukan mereka terus berada di luar?
Pekerja pembinaan, penyelenggaraan jalan, pertanian dan perladangan, landskap, penghantaran makanan dan barangan, pengawal keselamatan, pekerja utiliti serta pekerja pelabuhan merupakan antara kumpulan yang sukar mengelakkan pendedahan.Bagi mereka, jerebu bukan sekadar isu alam sekitar tetapi bahaya pekerjaan yang perlu dikenal pasti, dinilai dan dikawal.
El Niño dan kebakaran hutan memburukkan keadaan
Situasi semasa tidak boleh dipisahkan daripada keadaan cuaca serantau. El Niño meningkatkan kemungkinan keadaan lebih panas dan kering di sebahagian rantau Asia Tenggara. Apabila hujan berkurangan dan tempoh kering berpanjangan, hutan dan tanah gambut menjadi lebih mudah terbakar.
Kebakaran tanah gambut amat membimbangkan kerana api boleh terus membara di bawah permukaan dan sukar dipadamkan sepenuhnya. Asap daripada kebakaran hutan dan tanah gambut pula mengandungi zarah halus yang boleh bergerak ratusan kilometer mengikut arah angin.
Inilah yang menjadikan jerebu rentas sempadan atau ”transboundary haze” suatu cabaran serantau. Situasi semasa menunjukkan asap daripada kelompok titik panas di Kalimantan boleh bergerak merentasi sempadan ke Malaysia. Dalam tempoh Monsun Barat Daya, arah tiupan angin turut memainkan peranan membawa asap dari kawasan kebakaran ke negara ini.
Malah, MetMalaysia menjangkakan risiko jerebu boleh berterusan sehingga penghujung September, bergantung kepada keadaan cuaca, arah angin dan sejauh mana kebakaran hutan di negara jiran dapat dikawal.
PM2.5 ancaman kepada pekerja luar
Antara komponen yang paling membimbangkan ketika jerebu ialah PM2.5(Particulate matter) iaitu partikel halus berdiameter 2.5 mikrometer atau lebih kecil. Saiznya membolehkan partikel ini memasuki jauh ke dalam sistem pernafasan.
Pendedahan boleh menyebabkan iritasi mata dan tekak, batuk, kesukaran bernafas, sakit kepala dan ketidakselesaan dada. Risiko menjadi lebih tinggi kepada mereka yang mempunyai masalah pernafasan atau penyakit kardiovaskular. Pekerja luar pula berhadapan keadaan berbeza daripada orang awam kerana mereka boleh berada di luar selama berjam-jam sambil melakukan aktiviti fizikal.
Contohnya pekerja luar bagunan seperti pekerja di tapak pembinaan, pemandu penghantaran, pekerja kebersihan dan lain-lain yang melakukan aktiviti mengangkat bahan binaan, menggali, memotong rumput atau melakukan kerja berat yang mengakibatkan kadar pernafasan meningkat. Ini bermakna lebih banyak udara bersama bahan pencemar di dalamnya disedut semasa bernafas.
Jerebu dan tekanan haba, ancaman berganda
Keadaan semasa turut menimbulkan satu lagi persoalan penting dalam keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) iaitu pendedahan serentak kepada jerebu dan tekanan haba. Cuaca panas menyebabkan tubuh bekerja lebih keras untuk mengawal suhu badan. Apabila digabungkan dengan kerja fizikal berat, dehidrasi dan pendedahan kepada udara tercemar, beban fisiologi pekerja boleh meningkat.
Jerebu juga mengurangkan jarak penglihatan. Keadaan ini boleh menimbulkan risiko kepada pekerja penyelenggaraan jalan raya, pemandu, operator kren dan jentera berat serta mereka yang bekerja di tapak pembinaan. Justeru, jerebu bukan sahaja isu kesihatan awam. Ia adalah isu keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
Akta 514: Majikan perlu menilai risiko
Tanggungjawab menguruskan risiko ini selari dengan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) yang diperkukuhkan menerusi pindaan 2022 dan berkuat kuasa pada 1 Jun 2024.
Seksyen 15 menetapkan kewajipan am majikan untuk memastikan, setakat yang praktik, keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja ketika bekerja.
Lebih penting, Seksyen 18B memperuntukkan kewajipan menjalankan pentaksiran risiko berkaitan keselamatan dan kesihatan terhadap individu yang mungkin terjejas oleh aktiviti di tempat kerja serta melaksanakan kawalan risiko apabila diperlukan.
Dalam situasi jerebu semasa, prinsip ini amat relevan. Majikan yang mempunyai pekerja luar tidak sepatutnya menunggu sehingga pekerja mengalami sesak nafas, pening atau masalah kesihatan sebelum bertindak.
Jangan sekadar beri pelitup muka
Memberikan pelitup muka semata-mata bukanlah strategi pengurusan risiko yang mencukupi. Majikan perlu memantau IPU dan maklumat kualiti udara secara berkala serta menjadikannya sebahagian daripada keputusan operasi harian. Apabila kualiti udara merosot, kerja berat di luar perlu dikurangkan atau dijadualkan semula.
Tempoh pendedahan boleh diminimumkan, penggiliran tugas dilaksanakan, waktu rehat ditambah dan tempat rehat dengan udara lebih bersih disediakan. Kerja luar yang tidak kritikal juga perlu dipertimbangkan untuk ditangguhkan apabila keadaan mencapai tahap yang boleh membahayakan kesihatan.
Jika penilaian risiko menunjukkan perlindungan pernafasan diperlukan, peralatan yang sesuai perlu dipilih dan digunakan dengan betul. Peralatan perlindungan diri harus menjadi sebahagian daripada kawalan, bukan satu-satunya penyelesaian.
Jadikan jerebu sebahagian pelan kesiapsiagaan tempat kerja
Jerebu tidak lagi wajar dianggap sebagai kejadian terpencil yang hanya memerlukan tindakan apabila IPU meningkat. El Niño, kebakaran hutan dan tanah gambut, pencemaran rentas sempadan serta faktor atmosfera menunjukkan risiko terhadap kualiti udara boleh menjadi lebih kompleks dan berpanjangan.
Organisasi yang mempunyai pekerja luar perlu mempunyai pelan kesiapsiagaan menghadapi jerebu dan cuaca panas sebagai sebahagian daripada sistem pengurusan KKP.
Kita tidak mampu mengawal arah angin, menghentikan El Niño atau menentukan bila hujan akan turun. Malaysia juga tidak boleh menyelesaikan kebakaran hutan rentas sempadan secara bersendirian. Namun, kita boleh menentukan bagaimana pekerja dilindungi apabila udara di tempat mereka mencari rezeki menjadi tidak selamat.
Justeru, dalam menghadapi ancaman El Niño, jerebu rentas sempadan dan pencemaran udara yang semakin kompleks, melindungi pekerja luar bukan sekadar tanggungjawab keselamatan dan kesihatan pekerjaan, tetapi cerminan keprihatinan kita terhadap mereka yang terus bekerja ketika udara yang dihirup sendiri menjadi suatu bahaya.
Jerebu mungkin datang dan pergi, tetapi tanggungjawab melindungi pekerja tidak pernah bermusim.

Dr. Zuritah A.Kadir
Pensyarah Kanan
Program Sarjana Muda Teknologi Kesemalatan dan kesihatan Pekerjaan Dengan Kepujian
Jabatan Teknologi Kejuruteraan Kimia
Fakulti Teknologi Kejuruteraan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)



