Festival Edutourism UTHM 2026 angkat kampus sebagai destinasi pembelajaran, budaya dan kelestarian

Oleh Suriayati Baharom

BATU PAHAT, 30 Sept 2026 – Festival Edutourism UTHM 2026 yang berlangsung sempena Penutupan Sambutan Bulan Kebangsaan Ke-69 dan Hari Malaysia 2026 peringkat Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menjadi pentas pelancaran pelbagai inisiatif penting universiti, sekali gus memperkukuh peranan universiti sebagai destinasi pembelajaran berasaskan pengalaman, budaya dan kelestarian.

Program anjuran Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat dan Pejabat Kampus Lestari yang menghimpunkan warga universiti, pelajar, agensi kerajaan dan komuniti itu menyaksikan pelancaran dua inisiatif strategik utama universiti iaitu Dekarbonisasi UTHM dan UTHM Edutourism, selaras dengan aspirasi universiti ke arah pembangunan mampan dan kecemerlangan pendidikan.

Perasmian festival yang disempurnakan oleh Haji Kamalludin Haji Jamal, Pegawai Daerah Batu Pahat itu diserikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan seperti tarian Wau Bulan, persembahan ukulele lagu patriotik, tarian etnik serta Konsert Perpaduan Malaysia.

Naib Canselor UTHM, Profesor Ts. Dr. Mas Fawzi Mohd Ali dalam ucapan aluannya berkata Pelan Strategik UTHM 2026-2030 menetapkan tiga mantera utama universiti iaitu Dekarbonisasi, Keusahawanan dan Pendigitalan sebagai pemacu transformasi universiti.

“Melalui agenda dekarbonisasi, UTHM menyasarkan pengurangan pelepasan karbon sebanyak 40 peratus dan peningkatan kawasan hijau sebanyak 30 peratus menjelang tahun 2030.

“Sasaran ini mencerminkan komitmen universiti untuk menjadi Kampus Karbon Neutral yang bukan sahaja mengutamakan kecemerlangan akademik, malah bertanggungjawab terhadap kelestarian alam sekitar,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa usaha tersebut memerlukan penglibatan menyeluruh warga kampus, meliputi aspek pengurusan tenaga, air, sisa, penghijauan dan pembudayaan amalan lestari dalam kehidupan harian.

Pada majlis yang sama, UTHM turut melancarkan EduTourism@UTHM, sebuah inisiatif yang memanfaatkan kekuatan akademik, penyelidikan, biodiversiti serta kemudahan teknologi universiti sebagai produk pelancongan berasaskan pendidikan.

Menurut beliau, konsep edutourism yang dibangunkan mampu membuka ruang pembelajaran yang lebih luas kepada masyarakat.

“Kampus ini bukan sekadar gedung ilmu untuk warganya, tetapi sebuah ruang pembelajaran terbuka kepada masyarakat.

“Kami mahu setiap pengunjung yang datang ke UTHM bukan sahaja melihat kemudahan yang ada, tetapi turut mengalami sendiri proses pembelajaran, inovasi dan amalan kelestarian yang dilaksanakan di universiti,” katanya.

Tambah beliau, pelbagai inisiatif seperti UNESCO EcoHydrology Demonstration Site, Edutrail@UTHM, Green Learning Hub, Living Lab dan EcoTrail@UTHM mampu menjadi platform pembelajaran interaktif yang memberi pengalaman bermakna kepada pelajar sekolah, komuniti serta pelawat dari dalam dan luar negara.

Sementara itu, Kamalludin dalam ucapan perasmiannya berkata UTHM mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai antara destinasi edutourism negara berasaskan kekuatan pendidikan, teknologi dan kelestarian.

“UTHM memiliki pelbagai aset unik yang boleh diketengahkan sebagai produk edutourism termasuk ekosistem kampus hijau, kemudahan teknologi dan kejuruteraan, elemen TVET, inovasi penyelidikan, biodiversiti serta kepelbagaian budaya warganya.

“Kelebihan ini menjadikan UTHM sebuah destinasi pembelajaran yang menawarkan pengalaman yang berbeza kepada pelawat,” katanya.

Menurut beliau lagi, pendekatan yang menggabungkan ilmu, teknologi, alam sekitar dan budaya mampu memperkasakan hubungan antara universiti dengan masyarakat serta menyokong pembangunan modal insan negara.

“Universiti perlu terus dekat dengan masyarakat, makanya program seperti Edutourism@UTHM membuka peluang kerjasama yang lebih luas melibatkan sekolah, komuniti, industri, agensi kerajaan dan rakan strategik.

“Melalui pendekatan ini, ilmu yang dihasilkan universiti dapat dikongsi dan dimanfaatkan oleh masyarakat secara lebih berkesan,” tambah beliau.

Antara kemuncak program ialah pelancaran rasmi UTHM Edutourism dan Monumen KLCC, selain lawatan imersif ‘Journey Through UTHM Edutourism’yang membawa tetamu kehormat meneroka lima zon pengalaman serta pavilion yang mengetengahkan kekuatan universiti dalam bidang pendidikan, teknologi, biodiversiti dan inovasi.

Festival tersebut turut menjadi platform untuk mempromosikan konsep pembelajaran sepanjang hayat serta memperkenalkan UTHM sebagai hab pendidikan yang menghubungkan komuniti, industri dan institusi pendidikan dalam ekosistem yang lebih inklusif dan mampan.

Hadir sama ke program itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr. Afandi Ahmad; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Rabiah Ahmad, FASc; Provost UTHM Pagoh, Profesor Ts. Dr. Abdul Mutalib Leman; Pendaftar/Ketua Pegawai Operasi, Sheeren Sabrina Abd Shukor; Bendahari/Ketua Pegawai Kewangan, Ismail Haron dan Penolong Naib Canselor (Strategik dan Kualiti), Profesor Dr. Nik Hisyamudin Muhd Nor.

Penganjuran festival itu mencerminkan usaha berterusan UTHM dalam mendukung aspirasi negara melalui pengukuhan budaya patriotisme, pemerkasaan pendidikan berasaskan pengalaman serta pembangunan kampus lestari yang memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.

 

Berita ini juga diterbitkan di:

1. Sinar Varsity (sinarvarsity.my), 9 Oktober 2026: Festival Edutourism UTHM angkat kampus lestari

https://www.sinarvarsity.my/article/803/campus-today/festival-edutourism-uthm-angkat-kampus-lestari

 

2. Kosmo (muka surat: 24), 12 Oktober 2026: EduTourism@UTHM perkukuh budaya, perkasa pendidikan

Artikel Berkaitan

Terkini