Oleh Siti Fauziah Ambiah, Dr. Muhammad Ammar Shafi

BATU PAHAT, 20 Ogos 2026 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus membuktikan kecemerlangan dalam pengurusan tadbir urus data pengajian tinggi apabila berjaya meraih pencapaian 100 peratus Penarafan Bintang Kualiti Data MyMoheS bagi Cut-off Date 30 Jun 2026.

Kejayaan meraih taraf lima bintang penuh di bawah penilaian Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu membuktikan komitmen berterusan universiti dalam memastikan ketepatan, kebolehpercayaan, serta kecekapan integriti data organisasi.

Sistem MyMoheS merupakan platform data berpusat yang dibangunkan oleh KPT bagi mengumpul, menyelaras dan mengurus maklumat dari universiti awam, politeknik dan kolej komuniti.

Data yang dikumpulkan adalah terdiri daripada data pelajar, data staf, data penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan (R&D&C), maklumat institusi, modul kewangan, modul Hospital Pengajar Universiti (HPU) dan modul keusahawanan.

Pencapaian sempurna 100 peratus itu mencerminkan keberkesanan sistem pengurusan data dalaman UTHM yang sentiasa dikemas kini secara teliti serta mematuhi piawaian ketat yang ditetapkan oleh pihak kementerian.

Integriti dan kualiti data yang dicapai menerusi MyMoheS amat penting kerana ia menjadi sumber rujukan utama bagi pelbagai agensi kerajaan dan pihak berkepentingan negara.

Contohnya melalui KPT, pemantauan prestasi institut pengajian tinggi (IPT) boleh dibuat secara berpusat, termasuk perancangan dasar pendidikan tinggi negara serta pengagihan peruntukan dan bajet yang berimpak tinggi.

Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) pula memudahkan proses penjaminan kualiti, akreditasi program pengajian dan pemantauan piawaian akademik IPT secara telus dan tepat.

Sementara itu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menyediakan maklumat sahih mengenai penawaran graduan, kebolehpasaran graduan, serta penjajaran kursus mengikut keperluan tenaga kerja industri berasaskan data sebenar.

Agensi Penyelidikan dan Pembiaya seperti Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pula membolehkan mengakses berkaitan data penyelidikan, penerbitan dan harta intelek untuk tujuan pemetaan dana penyelidikan dan pembangunan (R&D) negara.

Manakala bagi industri dan pelabur, dapat menjadi rujukan keupayaan kepakaran, fasiliti dan bakat modal insan yang dikeluarkan oleh IPT tempatan bagi tujuan kolaborasi strategik.

Pengurusan data yang cekap dan telus menerusi MyMoheS bukan sahaja memenuhi keperluan penarafan kementerian, malah menjadi asas utama dalam pembuatan keputusan strategik, perancangan akademik, serta pemantauan pencapaian petunjuk prestasi utama (KPI) universiti di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Pencapaian cemerlang itu melengkapi siri kejayaan berterusan UTHM yang sebelum ini turut melakar pelbagai pengiktirafan berprestij, antaranya sebagai Global Technopreneur University 2030, Ahli Rangkaian UNESCO-UNEVOC, Anugerah TVET dan Pendidikan Malaysia 2025, serta pelbagai anugerah kecemerlangan keusahawanan dan kelestarian.

.