Oleh Dr. Muhammad Ammar Shafi, Siti Fauziah Ambiah, Suriayati Baharom

KUALA LUMPUR, 20 Ogos 2026 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus mengukuhkan kecemerlangan dalam aspek pengurusan dan kualiti data apabila menerima Penarafan Lima Bintang Penghantaran Data MyMoheS sempena Majlis Peluncuran Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan (PSKG) 2026–2030 yang berlangsung di World Trade Centre Kuala Lumpur.

Anugerah telah disampaikan oleh Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi kepada Profesor Ts. Dr. Mas Fawzi Mohd Ali, Naib Canselor UTHM yang mewakili universiti.

Pengiktirafan sebanyak tiga siri berturut-turut (Jun 2025, Disember 2025 dan Jun 2026) yang diberikan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu merupakan penghargaan terhadap kecemerlangan UTHM dalam aspek pengurusan, ketepatan, kesempurnaan dan kualiti data MyMoheS.

Universiti ini merupakan antara lima institusi pendidikan tinggi yang menerima Anugerah MyMoheS pada majlis tersebut.

Turut menerima pengiktirafan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kolej Komuniti Hulu Selangor, Kolej Komuniti Hulu Langat dan Kolej Komuniti Kuala Langat.

Pencapaian itu mencerminkan komitmen berterusan UTHM dalam memperkukuh tadbir urus universiti melalui pengurusan data yang cekap, tepat dan berintegriti.

Kualiti data yang baik bukan sahaja penting bagi memenuhi keperluan pelaporan, malah menjadi asas dalam menyokong perancangan strategik, pemantauan prestasi serta pembuatan keputusan di peringkat institusi.

Pengiktirafan tersebut turut menyerlahkan usaha kolektif warga UTHM dalam memastikan data universiti yang dikemukakan memenuhi standard kualiti yang ditetapkan, sekali gus menyumbang kepada penghasilan maklumat yang lebih tepat dan boleh dipercayai bagi menyokong perancangan pendidikan tinggi negara.

Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan 2026–2030 yang diluncurkan pada majlis berkenaan merupakan antara usaha strategik KPT dalam memperkukuh agenda kebolehpasaran graduan agar lebih responsif terhadap perubahan landskap pekerjaan serta keperluan industri semasa dan masa hadapan.

Selaras dengan agenda tersebut, UTHM komited untuk terus memperkukuh ekosistem pembangunan kerjaya dan kebolehpasaran graduan melalui kolaborasi strategik bersama industri, alumni dan pelbagai pemegang taruh.

Menurut Prof. Mas Fawzi, usaha ini penting bagi memastikan graduan UTHM bukan sahaja memiliki ilmu dan kemahiran teknikal, malah mempunyai kompetensi, daya saing dan kesiapsiagaan kerjaya yang memenuhi kehendak pasaran pekerjaan.

“Penerimaan Anugerah MyMoheS ini menjadi satu pengiktirafan bermakna terhadap komitmen warga UTHM dalam memperkukuh pengurusan data dan tadbir urus institusi, di samping menjadi pemangkin kepada universiti untuk terus meningkatkan kecemerlangan dalam mendukung agenda pendidikan tinggi negara,” katanya.

Sementara itu, Penolong Naib Canselor (Strategik dan Kualiti) UTHM, Profesor Dr. Nik Hisyamudin Muhd Nor pula berkata kecekapan sistem kawalan kualiti menjadi tulang belakang kepada pengiktirafan itu.

“Pencapaian ini mencerminkan keberkesanan sistem pengurusan kualiti dan penyelarasan data secara menyeluruh di UTHM.

“Pejabat Strategik dan Kualiti akan terus memperkasa kawalan kualiti, pemantauan piawaian, serta ketepatan data institusi bagi memastikan UTHM sentiasa bersedia menyokong Pelan Strategik Universiti 2026-2030 selari dengan hala tuju universiti iaitu ke arah Global Technopreneur University 2030 (GTU2030),” katanya.

Hadir sama, Prof. Dr. Afandi Ahmad, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Prof. Ts. Dr. Abdul Rasid Abdul Razzaq, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Ts. Dr. Norfaniza Mokhtar, Pengarah, Pusat Kemajuan Kerjaya dan Alumni dan Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Mohd Azahari Razali, Ketua Jabatan Kerjaya Pelajar.