Oleh Dr. Zainab Zainal, Ts. Dr. ‘Aisyah Mohamed Rehan, Suriayati Baharom
BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus membantu perkukuh pendidikan inklusif melalui penganjuran ‘Karnival Kebolehpasaran Future Digital Maker Tech Skill Pendidikan Khas Peringkat Kebangsaan 2026’ yang berlangsung di kampus induk pada 18 Ogos lalu.
Karnival yang julung kali diadakan itu merupakan anjuran Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), dengan Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Batu Pahat sebagai pengelola dan UTHM sebagai rakan strategik.
Program itu menghimpunkan 138 murid pendidikan khas bersama 85 guru pengiring daripada 31 sekolah seluruh negara.
Empat pertandingan iaitu Makerobot, Stick-It-Right, IdeaReka dan STEM Got Talent menjadi platform kepada peserta mengembangkan kreativiti, kemahiran teknikal, penyelesaian masalah, kerja berpasukan serta keyakinan diri.
Makerobot menguji kemahiran kawalan robot, strategi dan koordinasi, manakala Stick-It-Right mencabar peserta membina jambatan yang diuji ketahanannya.
IdeaReka pula memberi ruang kepada peserta menghasilkan model kreatif, sementara STEM Got Talent mengetengahkan bakat serta kebolehan peserta.
Lebih daripada sebuah pertandingan, karnival ini menyediakan pengalaman pembelajaran praktikal yang membantu peserta membina kemahiran komunikasi, memahami arahan, bekerjasama, membuat keputusan, mengurus emosi dan berani mencuba.
Pendekatan tersebut selari dengan usaha UTHM menghubungkan pendidikan khas dengan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), teknologi dan kebolehpasaran, khususnya dalam membentuk kemahiran yang diperlukan untuk kehidupan serta dunia pekerjaan.
Sebagai rakan strategik, sokongan UTHM turut melibatkan ekosistem universiti iaitu Pusat Kesihatan Universiti yang memberikan bantuan kecemasan sepanjang program, manakala Pusat Perumahan Pelajar menyediakan penginapan di kolej kediaman kepada peserta dari luar kawasan.
Komitmen itu turut disokong oleh pengalaman UTHM dalam bidang TVET melalui jaringan UNESCO-UNEVOC, yang telah menyenaraikan UTHM sebagai salah satu daripada tiga pusat UNESCO-UNEVOC di Malaysia sejak 1999.
Kepakaran tersebut diperkukuh menerusi Institut Penyelidikan Pendidikan dan Latihan Vokasional Malaysia (MyRIVET) serta Kursi UNESCO dalam Pendidik TVET.
Profesor Dr. Badaruddin Ibrahim, Pengarah MyRIVET yang hadir mewakili Naib Canselor UTHM, dalam ucapannya menekankan kepentingan masyarakat memberikan ruang dan peluang kepada anak-anak pendidikan khas untuk berkembang serta menunjukkan potensi mereka.
“UTHM melihat program seperti ini sebagai satu platform penting untuk membina keyakinan, kemahiran dan kebolehpasaran murid pendidikan khas, di samping membuka ruang kepada lebih banyak kolaborasi bersama sekolah dan industri pada masa hadapan.
“Karnival ini membuktikan bahawa apabila diberi ruang dan peluang, murid pendidikan khas juga mampu mencuba, mencipta, bersaing dan menunjukkan kebolehan mereka dalam bidang teknologi serta kemahiran,” katanya.







Berita ini juga diterbitkan di:
1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 22 Ogos 2026: UTHM buka ruang murid pendidikan khas serlah potensi
https://malaysiagazette.com/2026/08/22/uthm-buka-ruang-murid-pendidikan-khas-serlah-potensi/
2. Berita Harian (muka surat: 22), 7 September 2026: Murid pendidikan khas serlah bakat teknologi, kemahiran di UTHM




