Program Kelestarian Alam Sekitar PKKA perkasa kesedaran 3R, semarakkan semangat patriotisme

BATU PAHAT, 7 Ogos 2026 – Program Kelestarian Alam Sekitar dan Khidmat Komuniti anjuran Pusat Kemajuan Kerjaya dan Alumni (PKKA), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bersama Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Gading bukan sahaja memperkukuh kesedaran generasi muda terhadap kepentingan kelestarian alam sekitar, malah turut diselitkan dengan Pelancaran Bulan Kebangsaan 2026 sebagai wadah menyemai semangat patriotisme dan kecintaan kepada negara.

Program yang melibatkan 35 staf PKKA bersama 514 murid dan guru SK Seri Gading itu memberi pendedahan secara langsung kepada para murid mengenai kepentingan menjaga kebersihan, mengurus sisa secara bertanggungjawab serta mengamalkan gaya hidup yang lebih lestari.

Penganjuran program tersebut disempurnakan oleh Pengarah PKKA, Ts. Dr. Norfaniza Mokhtar, dan turut dihadiri Guru Besar, Bakti @ Mohd Bakti Ahmad serta Penolong Pegawai Penguat Kuasa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Cawangan Batu Pahat, Mohd Faiz Abu Yamin.

Selain itu, YB Nor Rashidah Haji Ramli, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Raja dan Prof. Ts. Dr. Abdul Rasid Abdul Razzaq, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UTHM turut hadir menyertai aktiviti kelestarian dan khidmat komuniti bersama warga sekolah.

Menurut Dr. Norfaniza, program yang berlangsung di Dewan Semarak Budi itu merupakan manifestasi komitmen UTHM untuk terus memperkukuh peranan universiti dalam pembangunan masyarakat melalui pendekatan pendidikan, kesukarelawanan dan kelestarian.

”Kelestarian alam sekitar bukan sekadar tanggungjawab institusi atau agensi tertentu, sebaliknya merupakan amanah bersama yang perlu dipupuk sejak usia muda.

”Melalui program seperti ini, UTHM berhasrat membentuk generasi yang bukan sahaja peka terhadap alam sekitar, malah memiliki nilai tanggungjawab sosial, semangat kesukarelawanan dan kecintaan kepada negara,” katanya.

Antara pengisian utama ialah slot kesedaran kelestarian alam sekitar dan pameran pengurusan sisa pepejal oleh SWCorp, pertandingan mewarna bagi murid tahap satu, aktiviti gotong-royong kawasan sekolah bersama murid tahap dua, simbolik penanaman pokok serta aktiviti pengasingan sisa pepejal.

Melalui taklimat dan pameran interaktif yang disampaikan oleh SWCorp, para murid turut diperkenalkan kepada amalan 3R (Reduce, Reuse, Recycle) sebagai langkah mudah yang boleh diamalkan dalam kehidupan seharian bagi mengurangkan penghasilan sisa dan memupuk budaya pengurusan sisa yang lebih bertanggungjawab.

Inisiatif itu turut memperlihatkan kepentingan jaringan strategik antara institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan, institusi pendidikan dan komuniti dalam memperluas pelaksanaan program tanggungjawab sosial yang berimpak serta menyokong agenda kelestarian secara bersama.

Dalam pada itu, penglibatan wakil rakyat, pihak universiti dan agensi kerajaan dalam aktiviti berkenaan mencerminkan sinergi pelbagai pihak dalam memperkasa usaha pembangunan masyarakat, khususnya melalui pendidikan alam sekitar dan pembudayaan amalan lestari dalam kalangan generasi muda.

Lebih istimewa, program turut disemarakkan dengan Pelancaran Bulan Kebangsaan 2026 melalui nyanyian lagu Jalur Gemilang sambil mengibarkan Jalur Gemilang oleh warga sekolah dan para peserta.

Pengisian tersebut menjadi simbolik bahawa agenda kelestarian alam sekitar dan semangat patriotisme mempunyai nilai yang saling melengkapi dalam membentuk generasi yang bertanggungjawab, berintegriti, cintakan negara serta mempunyai kesedaran terhadap persekitaran.

Untuk rekod, penganjuran program berkenaan turut menerima penajaan daripada Pejabat ADUN Parit Raja, Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), Marrybrown Cawangan Taman Sri Jaya, Batu Pahat, McDonald’s Cawangan Taman Universiti serta Ziegers Printing (Alumni UTHM).

”Sokongan daripada pelbagai pihak membuktikan bahawa agenda kelestarian dan khidmat komuniti memerlukan penglibatan kolektif serta kerjasama strategik antara universiti, kerajaan, industri, alumni dan masyarakat bagi menghasilkan impak yang lebih bermakna dan berpanjangan,” tambah Dr. Faniza.

Artikel Berkaitan

Terkini