Jujur dan amanah ilmu, legasi sebenar warga universiti

Tanggal 23 Julai 2026, bersamaan 8 Safar 1448 Hijrah, terpahat sebagai satu tarikh bermakna buat seluruh keluarga Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). Pada hari tersebut, warga universiti diraikan atas pencapaian dan sumbangan sepanjang tahun menerusi penganugerahan Anugerah Bitara Kirana, sebuah pengiktirafan yang bukan sekadar mengangkat kecemerlangan individu, malah mencerminkan penghargaan terhadap budaya kerja, integriti dan kesungguhan warga dalam menjayakan amanah institusi ilmu.

Namun, di sebalik kemeriahan majlis, kilauan anugerah dan penghargaan yang diterima, terdapat sesuatu yang jauh lebih bernilai untuk dibawa pulang iaitu pesanan berkaitan ‘amanah ilmu.’ Bagi seorang yang sentiasa dahagakan ilmu, amanat tersebut bukan sekadar ucapan perasmian. Ia merupakan renungan yang mengajak kita melihat kembali makna sebenar kecemerlangan, nilai perkhidmatan dan legasi yang ingin ditinggalkan.

Atas kesedaran bahawa sesuatu ilmu dan nasihat yang baik wajar dikongsi, nukilan ini dizahirkan agar pesanan tersebut tidak terhenti di ruang dewan, sebaliknya terus hidup sebagai bahan renungan dan pedoman seluruh warga institusi ilmu.

 

Jujur dan amanah ilmu

Antara ungkapan yang paling mencuri perhatian ialah “Jujur dan amanah ilmu.” Ringkas susunan katanya, namun luas maknanya. Dua nilai ini seharusnya menjadi nadi kepada setiap warga yang berada dalam ekosistem pendidikan tinggi.

Pengiktirafan sebenar bukan semata-mata tentang apa yang diterima, tetapi tentang apa yang dihargai. Apabila sesebuah organisasi memilih untuk menghargai kejujuran, organisasi tersebut sebenarnya sedang membina budaya integriti. Budaya inilah yang menjadi asas kepada kecemerlangan sesebuah institusi.

Dalam konteks universiti, kejujuran tidak boleh hanya menjadi nilai yang disebut dalam dokumen atau slogan organisasi. Ia mesti diterjemahkan dalam setiap tindakan, daripada bilik kuliah, makmal penyelidikan, urusan pentadbiran hinggalah kepada setiap bentuk perkhidmatan yang diberikan kepada mahasiswa dan masyarakat.

Integriti juga tidak dibina ketika seseorang berada di atas pentas menerima anugerah. Sebaliknya, ia terbentuk ketika tiada siapa yang melihat bagaimana seseorang melaksanakan amanah.

Bagi seorang ahli akademik, pesanan ini amat dekat dengan tanggungjawab hakiki seorang pendidik. Amanah pertama seorang ilmuwan ialah menyampaikan ilmu dengan penuh kejujuran. Setiap sesi pengajaran dan pembelajaran bukan sekadar memenuhi jadual kuliah, tetapi merupakan satu bentuk tanggungjawab intelektual yang turut menentukan masa depan seorang insan.

Pensyarah yang jujur akan mengajar dengan sepenuh hati, berkongsi ilmu tanpa berkira, membimbing dengan ikhlas dan menilai secara adil. Barangkali pelajar tidak mengingati setiap slaid yang dipaparkan atau setiap teori yang diterangkan, tetapi mereka mungkin akan terus mengingati seorang pensyarah yang pernah mengajar dengan hati.

Di situlah letaknya keberkatan ilmu.

Namun, kecemerlangan universiti tidak pernah digalas oleh golongan akademik semata-mata. Di sebalik setiap kejayaan, terdapat ribuan tangan yang bekerja dalam diam termasuklah staf pentadbiran, juruteknik, pembantu operasi, pegawai keselamatan, petugas kebersihan serta seluruh warga sokongan yang memastikan ekosistem universiti sentiasa kondusif sebagai medan pencarian dan penyebaran ilmu.

Mereka mungkin tidak berdiri di hadapan dewan kuliah, namun setiap tugas yang dilaksanakan dengan jujur turut menyumbang kepada lahirnya graduan yang berkualiti.

Kejayaan seorang graduan pada hakikatnya ialah kejayaan seluruh keluarga universiti. Inilah wajah sebenar amanah ilmu, setiap tugas, walau sekecil mana, mempunyai kaitan dengan amanah besar universiti terhadap mahasiswa, masyarakat dan negara.

 

Ilmu membina keupayaan, nilai membina keperibadian

Penulis turut mengajak warga universiti melihat kecemerlangan melalui tiga asas yang saling melengkapi, iaitu ilmu, nilai dan khidmat.

Ilmu membina keupayaan. Namun ilmu yang sebenar bukan sekadar menambah pengetahuan atau kepakaran. Ilmu seharusnya memberi manfaat, menyelesaikan masalah dan membawa kesejahteraan kepada masyarakat.

Dalam dunia yang bergerak pantas akibat perubahan teknologi, kecerdasan buatan dan transformasi digital, penguasaan ilmu sememangnya semakin penting. Namun, semakin tinggi ilmu yang dimiliki, semakin besar pula tanggungjawab untuk memastikan ilmu tersebut digunakan dengan benar dan beretika.

Di sinilah pentingnya nilai.

“Ilmu yang tinggi tanpa nilai yang baik akan kehilangan arah.”

Ungkapan ini sewajarnya menjadi bahan muhasabah buat seluruh warga institusi ilmu. Ilmu boleh menjadikan seseorang bijaksana, tetapi nilai yang baik menjadikan seseorang dihormati. Kepakaran boleh membuka ruang dan peluang, tetapi kejujuranlah yang mengekalkan kepercayaan. Setinggi manapun kedudukan seseorang, sebesar mana pun jawatan yang disandang dan sebanyak mana pun pencapaian yang diraih, tanpa amanah dan integriti, segala penghormatan akhirnya boleh terhakis.

Justeru, amanah, kejujuran, disiplin dan rasa tanggungjawab hendaklah menjadi pedoman dalam setiap keputusan dan tindakan. Kerana manusia tidak hanya diingati kerana kebijaksanaannya, tetapi juga kerana akhlak dan nilai yang ditinggalkannya.

 

Berkhidmat membina legasi

Persoalan seterusnya ialah apakah yang akan kita tinggalkan setelah selesai melaksanakan tugas dan meninggalkan sesuatu jawatan?

Jawatan akan silih berganti dan masa akan terus berlalu. Namun, manfaat yang ditinggalkan kepada organisasi, masyarakat dan negara akan terus hidup.

Itulah legasi yang sebenar.

Legasi bukan sekadar nama yang terukir pada papan penghargaan, gambar yang tergantung di dinding pejabat atau pencapaian yang tercatat dalam laporan tahunan. Legasi ialah doa daripada anak didik yang pernah dibimbing. Legasi ialah senyuman masyarakat yang pernah menerima manfaat. Legasi ialah budaya kerja yang terus subur kerana teladan yang pernah ditinggalkan. Legasi juga ialah ilmu yang terus dikembangkan oleh mereka yang pernah menerima manfaat daripada kita.

Seperti ungkapan:

“Tinggalkan kesan yang baik di tempat kerja. Setiap hari kita meninggalkan kesan kepada orang di sekeliling. Pastikan kehadiran kita membawa manfaat, bukan mudarat. Walaupun tugas selesai, akhlak dan sikap akan terus diingati.” – Azmi

Pesanan ini mengingatkan kita bahawa setiap hari sebenarnya kita sedang meninggalkan legasi. Sama ada baik atau sebaliknya, pilihan itu terletak pada cara kita bekerja, melayani manusia dan melaksanakan amanah.

 

Kecemerlangan tidak lahir dalam sekelip mata

Kecemerlangan pula bukan sesuatu yang hadir secara tiba-tiba. Ia dibentuk oleh masa, diperkukuh oleh pengalaman dan disempurnakan oleh nilai yang dipegang sepanjang perjalanan kehidupan.

Dalam konteks universiti, kecemerlangan tidak seharusnya hanya diukur melalui pencapaian individu atau kedudukan institusi dalam penarafan. Lebih utama daripada itu ialah sejauh mana universiti berjaya membina manusia yang berilmu, berkemahiran, berakhlak dan mampu memberikan manfaat kepada masyarakat.

Universiti bukan sekadar kilang melahirkan graduan. Universiti ialah institusi yang memikul amanah besar untuk membentuk manusia dan mengembangkan ilmu demi kesejahteraan sejagat.

Seperti yang ditegaskan :

“Institusi pengajian tinggi bukan sekadar pusat aktiviti melahirkan graduan semata-mata, sebaliknya satu amanah akan dipersoalkan kelak, melalui nilai ilmu, kejujuran terhadap ilmu dan keadilan dalam memberi ilmu.” – Azmi

Maka, amanah pendidikan tinggi tidak boleh dipandang ringan. Setiap ilmu yang disampaikan, setiap keputusan yang dibuat dan setiap peluang yang diberikan kepada mahasiswa mempunyai nilai moral yang tersendiri. Jujur dan amanah terhadap ilmu bukan sekadar pilihan, tetapi kewajipan.

 

Legasi yang melangkaui kerusi jawatan

Kesimpulannya, kepada seluruh keluarga UTHM dan warga institusi ilmu, pesanan ini wajar diterjemahkan dalam bentuk tindakan, bukan sekadar disimpan sebagai kata-kata yang indah. Jadikalah kejujuran dan amanah sebagai asas dalam setiap langkah. Kejayaan mahasiswa hendaklah sentiasa menjadi keutamaan kerana merekalah amanah terbesar universiti kepada masyarakat dan negara.

Dalam keghairahan mengejar penarafan, penerbitan, pencapaian, petunjuk prestasi dan pelbagai ukuran kecemerlangan, jangan sesekali kita melupakan hakikat paling asas tentang sebuah universiti iaitu menyampaikan ilmu, membina insan dan melahirkan generasi yang berakhlak serta berintegriti.

Kerana universiti yang hebat bukan hanya diukur melalui bangunannya yang megah, teknologi yang dimilikinya atau kedudukannya dalam ranking dunia. Universiti yang benar-benar hebat diukur melalui manusia yang dilahirkannya dan manfaat yang ditinggalkannya.

Ilmu membina keupayaan.
Nilai membina keperibadian.
Khidmat membina legasi.

Apabila ilmu disampaikan dengan kejujuran, amanah dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab serta khidmat diberikan dengan ikhlas, maka lahirlah legasi yang tidak mudah terhapus oleh masa. Jawatan akan berakhir, pentas akan ditinggalkan dan nama mungkin dilupakan. Namun, ilmu yang bermanfaat, akhlak yang baik dan manfaat yang ditinggalkan akan terus hidup.

Itulah legasi sebenar warga universiti. Mudah-mudahan legasi yang dibina atas dasar jujur dan amanah ilmu bukan sahaja terpahat dalam lipatan sejarah, malah menjadi bekalan menuju kehidupan yang abadi.

 

 

Penulis:

Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara

Pro-Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Profesor Ts. Dr. Rabiah Ahmad, FASc

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi)

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Artikel Berkaitan

Terkini