Oleh Radzi Ambar, Mahathir Mohd Akhar, Suriayati Baharom
BATU PAHAT – Enam mahasiswa Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mengharumkan nama universiti apabila berjaya menamatkan University Leadership Development Programme (ULDP) Cohort 16 tajaan penuh Yayasan Axiata, malah dua daripada mereka turut meraih anugerah utama sepanjang program kepimpinan berprestij itu yang berlangsung di Espira Kinrara, Puchong dari 18 hingga 31 Julai 2026.
Muhamad Amir Luqman Mohamad Alwi telah dipilih sebagai antara Best 25 Performers, manakala Mahathir Mohd Akhar muncul antara peserta paling cemerlang apabila merangkul dua anugerah, iaitu Best Physical Team dan Juara Overall Best House, sekali gus membuktikan kecemerlangan mahasiswa UTHM di pentas kebangsaan.
Keenam-enam mahasiswa turut menerima tajaan penuh bernilai RM12,000 seorang daripada Yayasan Axiata, menjadikan jumlah keseluruhan tajaan sebanyak RM72,000.
Mereka terdiri daripada Muhamad Amir Luqman Mohamad Alwi, Mahathir Mohd Akhar, Haziq Daniel Asrul dan Nazrul Saiful Haziq Samsuaripin dari Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), Muhammad Adib Jamiruddin dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), serta Nur Imanina Abdul Ghani dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK).
Penyertaan mereka merupakan pencapaian yang membanggakan apabila berjaya melepasi proses pemilihan yang amat kompetitif.
Daripada lebih 900 permohonan di seluruh negara, hanya 95 peserta dipilih menyertai program tersebut, dengan UTHM berjaya menempatkan enam peserta daripada 15 calon yang dicalonkan.
ULDP merupakan program pembangunan kepimpinan anjuran Yayasan Axiata yang bertujuan melahirkan “CEO of Tomorrow” melalui pendedahan kepada modul kepimpinan strategik, pengurusan organisasi, pemikiran kritis, komunikasi, kolaborasi, literasi digital serta aplikasi teknologi seperti Generative AI.
Program itu turut merangkumi simulasi perniagaan, bimbingan mentor profesional dan cabaran kepimpinan bersama tokoh korporat.
Kejayaan itu mencerminkan keberkesanan usaha UTHM dalam membangunkan bakat kepimpinan mahasiswa menerusi inisiatif Lab Kepimpinan UTHM, selaras dengan aspirasi universiti melahirkan graduan berteraskan DNA GRITT (Global, Resilient, Innovative, Trustworthy, Talent) yang bersedia memimpin, berinovasi dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat serta negara.



