193 projek inovasi sertai IIICe2026, serlah daya tarikan platform inovasi UTHM

Oleh PM Dr. Nurmiza Othman, Suriayati Baharom

BATU PAHAT, 5 Ogos 2026 – Sebanyak 193 projek inovasi dari dalam dan luar negara menyertai International Innovation & Invention Competition 2026 (IIICe2026) anjuran Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), sekali gus mencerminkan sambutan menggalakkan terhadap usaha universiti memperkasa budaya inovasi dan kolaborasi global.

Daripada jumlah tersebut, 166 penyertaan diterima secara dalam talian manakala 27 penyertaan secara fizikal, dengan 31 peratus daripada keseluruhan penyertaan melibatkan peserta luar negara.

Jumlah penyertaan yang memberangsangkan itu memperlihatkan daya tarikan IIICe2026 sebagai wadah untuk mengetengahkan idea, ciptaan dan hasil penyelidikan inovatif di peringkat tempatan serta antarabangsa.

Bertemakan “Co-creating Tomorrow: Collaborative Innovations for Global Challenges”, IIICe2026 berlangsung di Dewan Banquet, Dewan Sultan Ibrahim (DSI), kampus induk dengan memberi penekanan kepada penghasilan inovasi secara kolaboratif bagi menangani cabaran global.

Penganjuran itu turut menjadi platform kepada peserta untuk berkongsi hasil inovasi, memperluas jaringan kerjasama serta meneroka potensi pengkomersialan dan penerapan hasil penyelidikan dalam menangani keperluan semasa masyarakat dan industri.

Program turut menampilkan dua syarahan utama yang mengangkat perkembangan teknologi dan pendidikan masa hadapan.

Profesor Dr. Nafarizal Nayan, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC), UTHM, membincangkan inovasi kolaboratif dalam teknologi plasma dan kejuruteraan semikonduktor, manakala Profesor Dr. Wu Longkai dari Central China Normal University berkongsi mengenai transformasi pembelajaran masa hadapan menerusi pemerkasaan kecerdasan buatan (AI).

Sementara itu, majlis perasmian pula telah disempurnakan oleh Naib Canselor UTHM, Profesor Ts. Dr. Mas Fawzi Mohd Ali.

Menurut beliau, penganjuran IIICe2026 mencerminkan komitmen UTHM untuk terus membangunkan ekosistem inovasi yang dinamik, inklusif dan berdaya saing, selain memperluas jaringan kolaborasi di peringkat global.

“Selaras dengan aspirasi Pendidikan Tinggi MADANI dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), inisiatif ini turut menyokong usaha memperkasa daya cipta, penyelidikan dan inovasi, di samping membentuk graduan profesional, berintegriti serta berkeupayaan menghasilkan penyelesaian kreatif terhadap cabaran masa hadapan,” katanya.

 

Artikel Berkaitan

Terkini