Oleh Prof. Ts. Dr. Asmarashid Ponniran, Prof. Madya Dr. Khairul Anuar Mohamad

ISKANDAR PUTERI – Seramai 14 alumni Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya membina kerjaya di Altek Medical Sdn. Bhd. (Altek Medical) dengan tawaran gaji premium melebihi RM4,000 dalam tempoh kurang setahun, sekali gus mencerminkan tahap kebolehpasaran dan pengiktirafan industri terhadap graduan universiti itu.

Mereka terdiri daripada enam graduan Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE), enam graduan Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP) dan dua graduan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP).

Penglibatan graduan daripada pelbagai disiplin dalam sebuah syarikat peranti perubatan berteknologi tinggi memperlihatkan kekuatan pendekatan multidisiplin UTHM dalam memenuhi keperluan tenaga kerja industri moden.

Perkembangan ini menjadi lebih signifikan apabila Altek Medical sedang memperluas operasi dan kilangnya di Malaysia, sekali gus meningkatkan permintaan terhadap bakat baharu.

Sebagai kesinambungan kepada pengambilan graduan sebelum ini, seramai 16 calon UTHM kini sedang dimuktamadkan untuk sesi temu duga bagi pengambilan tahun 2026.

Dekan FKEE, Profesor Ts. Dr. Asmarashid Ponniran berkata pencapaian tersebut membuktikan graduan UTHM bukan sahaja memiliki pengetahuan teknikal yang kukuh, malah berupaya menyesuaikan diri dengan keperluan industri berteknologi tinggi.

“Kejayaan alumni ini membuktikan pendekatan pendidikan berteraskan industri yang dilaksanakan UTHM berada pada landasan tepat.

“Kami komited memperkukuh ekosistem pembangunan bakat melalui kerjasama strategik dengan industri agar graduan terus relevan, kompetitif dan bersedia memimpin transformasi teknologi negara,” katanya.

Beliau menambah, hubungan erat antara universiti dan industri perlu dilihat sebagai platform pembangunan bakat jangka panjang yang merangkumi latihan industri, projek tahun akhir, penyelidikan gunaan dan inovasi teknologi.

Perbincangan antara FKEE dan Altek Medical turut meneroka kerjasama dalam pembangunan bakat, kebolehpasaran graduan, perkongsian kepakaran serta penglibatan industri dalam aktiviti akademik.

Program FKEE PRO-FIT serta program sarjana dan PhD berorientasikan industri diketengahkan sebagai platform yang dapat menghubungkan pembangunan profesional dan penyelidikan dengan keperluan sebenar industri.

Kedua-dua pihak juga membincangkan potensi pembangunan Industry lab sebagai platform kolaboratif yang menghubungkan pelajar, pensyarah dan jurutera industri melalui projek penyelidikan, pembangunan teknologi dan penyelesaian masalah industri.

Dalam aspek inovasi, beberapa produk telah dikenal pasti untuk diterokai bersama dengan menggabungkan kepakaran penyelidik UTHM dan pengalaman Altek Medical dalam industri peranti perubatan termaju.

Antara teknologi yang terlibat dalam persekitaran pengeluarannya ialah blood glucose meter, single-use endoscope dan AI-based fall detection untuk pasaran global.

Bidang pembangunan produk, Industry lab dan kerjasama akademik berorientasikan industri kini sedang diperincikan oleh kedua-dua pihak dan dijangka diterjemahkan melalui Memorandum Persefahaman (MoU) antara UTHM dan Altek Medical sebagai landasan kepada kerjasama yang lebih berstruktur dan berterusan.

Perkembangan itu memperlihatkan bagaimana kejayaan alumni dalam industri mampu berkembang daripada peluang pekerjaan kepada jaringan strategik universiti-industri yang menghubungkan pembangunan bakat, kepakaran, penyelidikan dan inovasi demi manfaat masyarakat, industri dan negara.