Prospek kerjaya jadi tarikan, 1073 pelajar pilih program diploma TVET UTHM

Oleh Suriayati Baharom

PAGOH – Prospek kerjaya yang luas serta pendekatan pembelajaran berasaskan industri terus menjadi tarikan apabila 1,073 pelajar baharu memilih Program Diploma TVET di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bagi Semester Khas Sesi 2026/2027.

Penerimaan memberangsangkan itu membuktikan keyakinan berterusan masyarakat terhadap keupayaan UTHM melahirkan graduan TVET berkualiti tinggi yang memenuhi keperluan industri masa kini dan masa hadapan.

Bagi menyambut ketibaan para pelajar pada 12 Julai lalu, Naib Canselor UTHM, Profesor Ts. Dr. Mas Fawzi Mohd Ali hadir menyantuni pelajar baharu bersama ibu bapa dan keluarga yang mengiringi mereka sepanjang proses pendaftaran serta penempatan kolej kediaman.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Profesor Ts. Dr. Abdul Rasid Abdul Razzaq; Provost UTHM Kampus Cawangan Pagoh, Profesor Dr. Abdul Mutalib Leman; Pengarah Pusat Pengurusan Akademik, Shereen Sabrina Abd. Shukor; Pengarah Pejabat Pentadbiran Kampus Pagoh, Mohd. Faisalluddin Abdul Aziz serta Dekan Pusat Pengajian Diploma, Dr. Muhammad Faizal Ismail.

Dalam lawatan tersebut, Prof. Mas Fawzi turut meninjau sendiri kelancaran proses pendaftaran dan kemudahan yang disediakan kepada mahasiswa baharu.

Beliau turut beramah mesra dengan ibu bapa serta penjaga bagi mendapatkan maklum balas mengenai pengalaman mereka sepanjang proses pendaftaran.

Menurut beliau, pendaftaran pada hari tersebut merupakan permulaan kepada perjalanan membina masa depan.

“Saya berharap setiap pelajar memanfaatkan sepenuhnya peluang yang diberikan untuk menimba ilmu, membentuk sahsiah, memperkukuh nilai integriti serta membangunkan potensi diri agar menjadi graduan yang mampu menyumbang kepada masyarakat dan negara.

“UTHM akan sentiasa komited menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif serta menyokong kebajikan dan kesejahteraan setiap mahasiswa,” katanya.

Menerusi Pusat Pengajian Diploma, UTHM menawarkan tujuh program diploma berteraskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang memenuhi keperluan industri, iaitu Diploma Kejuruteraan Awam, Diploma Kejuruteraan Elektrik, Diploma Kejuruteraan Mekanikal, Diploma Teknologi Kejuruteraan Kimia, Diploma Teknologi Maklumat, Diploma Teknologi Animasi dan Diploma Sains Gunaan.

Program-program itu memberi penekanan kepada pembelajaran berasaskan amali, inovasi serta pembangunan kompetensi bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Sepanjang pengajian di UTHM Kampus Cawangan Pagoh, mahasiswa menikmati pelbagai kemudahan moden termasuk kolej kediaman yang selesa, makmal dan bengkel berteknologi tinggi, perpustakaan, pusat kesihatan, kemudahan sukan dan rekreasi, kafeteria, ruang pembelajaran kondusif, capaian internet kampus serta pelbagai perkhidmatan sokongan akademik dan pembangunan pelajar.

Dalam memastikan tiada pelajar tercicir daripada melanjutkan pengajian atas faktor kewangan, UTHM turut menyediakan pelbagai bentuk bantuan dan inisiatif kebajikan kepada pelajar yang layak, termasuk bantuan zakat, Dana Ihsan, skim bantuan kewangan pelajar, Food Bank Siswa, Menu Siswa Rahmah, peluang pekerjaan sambilan dalam kampus serta pelbagai kemudahan pembiayaan dan biasiswa melalui agensi kerajaan dan rakan strategik universiti.

Selaras dengan aspirasi Global Technopreneur University 2030 (GTU2030), UTHM komited menyediakan ekosistem pembelajaran yang menyeluruh melalui gabungan kecemerlangan akademik, penguasaan kemahiran TVET, pembentukan sahsiah, nilai kepimpinan dan budaya inovasi bagi melahirkan graduan yang holistik, berdaya tahan dan mampu menerajui pembangunan negara pada masa hadapan.

Kemasukan 1,073 pelajar baharu itu bukan sahaja menandakan permulaan sebuah perjalanan akademik, malah memperkukuh peranan UTHM sebagai institusi TVET yang terus menjadi pilihan masyarakat dalam melahirkan modal insan berkualiti, berintegriti dan berimpak tinggi untuk negara.

 

Berita ini juga diterbitkan di:

1. Kosmo (muka surat: 23), 20 Julai 2026: Diploma TVET UTHM terus dapat sambutan masyarakat

Artikel Berkaitan

Terkini