Setiap kali tibanya tahun baharu Hijrah, umat Islam diajak untuk menghayati semangat perubahan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW menerusi peristiwa hijrah dari Makkah ke Madinah. Hijrah bukan sekadar perpindahan tempat, tetapi transformasi cara berfikir, cara bertindak dan cara memimpin. Semangat inilah yang seharusnya diterjemahkan dalam budaya kerja kita pada hari ini.
Dalam dunia pekerjaan, masih terdapat kecenderungan untuk bekerja hanya apabila diarahkan. Tugas dilaksanakan kerana adanya arahan daripada ketua, tarikh akhir yang menghampiri atau pemantauan yang berterusan. Apabila tiada arahan, produktiviti mula menurun. Apabila tiada pemantauan, kualiti kerja turut merosot. Keadaan ini menggambarkan budaya kerja yang bergantung kepada kawalan luaran, bukan didorong oleh kesedaran dalaman.
Sedangkan dalam Islam, bekerja bukan sekadar memenuhi kontrak pekerjaan, tetapi merupakan satu amanah. Amanah membawa maksud tanggungjawab yang akan dipersoalkan, bukan sahaja oleh majikan, bahkan di hadapan Allah SWT. Justeru, seorang pekerja yang memahami nilai amanah akan berusaha memberikan yang terbaik walaupun tiada siapa yang melihat atau menilai hasil kerjanya.
Hakikatnya, organisasi yang benar-benar cemerlang tidak bergantung sepenuhnya kepada sistem pemantauan yang ketat. Sebaliknya, ia dibina atas kepercayaan, integriti dan rasa tanggungjawab dalam kalangan setiap warganya. Apabila setiap individu bekerja kerana amanah, organisasi tidak perlu terlalu bergantung kepada prosedur yang berlapis-lapis sematamata untuk memastikan sesuatu tugas disempurnakan.
Budaya bekerja kerana amanah juga melahirkan pekerja yang proaktif. Mereka tidak menunggu arahan untuk menyelesaikan masalah, bahkan sentiasa mencari ruang penambahbaikan. Mereka melihat setiap cabaran sebagai peluang untuk menyumbang, bukan alasan untuk mengelak daripada bertindak. Dalam konteks pendidikan tinggi misalnya, budaya ini amat penting bagi memastikan universiti terus relevan, inovatif dan berdaya saing dalam menghadapi perubahan yang pantas.
Lebih membimbangkan apabila budaya kerja berasaskan arahan akhirnya melahirkan sikap “ini bukan tugas saya”. Pemikiran sebegini menyebabkan banyak peluang penambahbaikan terlepas begitu sahaja. Sedangkan dalam organisasi yang menghayati amanah, setiap warga melihat kejayaan organisasi sebagai tanggungjawab bersama. Mereka bersedia membantu walaupun di luar skop tugas rasmi, selagi tindakan tersebut membawa manfaat kepada organisasi dan masyarakat.
Islam turut memperkenalkan konsep ihsan, iaitu melakukan sesuatu pekerjaan dengan sebaik-baiknya kerana menyedari bahawa Allah sentiasa melihat setiap usaha yang dilakukan. Nilai ihsan menjadikan seseorang bukan sekadar memenuhi petunjuk prestasi utama (KPI), tetapi berusaha menghasilkan impak yang lebih besar kepada organisasi dan masyarakat. Pekerja yang berjiwa ihsan tidak mengejar pujian atau pengiktirafan semata-mata, sebaliknya terdorong oleh keikhlasan untuk menyempurnakan amanah.
Dalam era kecerdasan buatan (AI), automasi dan pendigitalan, banyak tugasan rutin boleh digantikan oleh teknologi. Namun, nilai amanah, integriti, empati, hikmah dan kebijaksanaanmembuat pertimbangan tetap tidak dapat digantikan oleh mesin. Oleh itu, kelebihan sebenar sesebuah organisasi pada masa hadapan bukan hanya bergantung kepada teknologi yang dimiliki, tetapi kepada nilai yang dihayati oleh warganya.
Pemimpin organisasi pula mempunyai tanggungjawab besar dalam membentuk budaya ini. Budaya amanah tidak boleh dibina melalui slogan yang dipamerkan di dinding pejabat atau ucapan pada majlis rasmi semata-mata. Ia mesti diterjemahkan melalui contoh teladan pemimpin sendiri. Apabila pemimpin menunjukkan integriti, berlaku adil, menunaikan janji dan sanggup memikul tanggungjawab, budaya tersebut akan meresap ke seluruh organisasi. Sebaliknya, jika pemimpin sendiri mengabaikan amanah, sukar untuk mengharapkan warga organisasi menghayatinya.
Sempena tahun baharu Hijrah 1448H ini, marilah kita melakukan penghijrahan yang lebih bermakna dalam dunia pekerjaan. Hijrah daripada budaya menunggu arahan kepada budaya mengambil tanggungjawab. Hijrah daripada bekerja untuk memenuhi waktu pejabat kepada bekerja untuk memberi nilai. Hijrah daripada mengejar penilaian manusia kepada mengejar keredaan Allah SWT.
Sesungguhnya, kemajuan organisasi tidak hanya diukur melalui bangunan yang megah, teknologi yang canggih atau kedudukan dalam pelbagai penarafan. Kemajuan sebenar bermula apabila setiap individu memahami bahawa setiap tugas yang dipikul adalah amanah yang perlu dilaksanakan dengan penuh integriti, profesionalisme dan keikhlasan.
Jika semangat hijrah mampu mengubah sebuah masyarakat sehingga lahir sebuah tamadun yang unggul, maka semangat yang sama juga mampu mengubah budaya kerja organisasi kita. Perubahan itu tidak semestinya bermula dengan dasar yang besar, tetapi bermula dengan perubahan niat dan sikap setiap individu. Daripada bekerja kerana arahan, kepada bekerja kerana amanah.

Shafry Salim
Pengarah Pusat Islam
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Rencana ini juga diterbitkan di:
1. Bernama (bernama.com), 3 Julai 2026: Hijrah Budaya Kerja: Lakukan Kerana Arahan Atau Amanah?
https://www.bernama.com/bm/tintaminda/news.php?id=2575832#abc
