“Takut harga naik semula minggu depan.”

Ayat ini mungkin sedang bermain dalam fikiran ramai ketika ini. Apabila harga emas menunjukkan penurunan atau pembetulan berbanding beberapa bulan sebelumnya, ramai mula berpusu-pusu ke kedai barang kemas atau melayari platform jualan dalam talian untuk merebut peluang yang dianggap terbaik.

Ada yang mengambil kesempatan menambah pegangan sedia ada, manakala ada juga yang baru mahu memulakan simpanan buat kali pertama. Dalam kalangan masyarakat, khususnya wanita, emas bukan lagi sekadar perhiasan, tetapi semakin dilihat sebagai satu bentuk simpanan dan pelindung nilai untuk jangka panjang.

Namun persoalannya, adakah keputusan membeli ini dibuat berdasarkan perancangan kewangan yang betul, atau sekadar dipengaruhi oleh fenomena psikologi yang semakin menular dalam era digital hari ini, iaitu FOMO (Fear of Missing Out)?

FOMO merujuk kepada perasaan takut terlepas peluang yang dianggap menguntungkan atau bermanfaat. Dalam dunia hari ini, media sosial memainkan peranan besar dalam membentuk cara masyarakat berfikir dan membuat keputusan kewangan. Setiap hari, pengguna disajikan dengan pelbagai perkongsian mengenai pelaburan, simpanan dan gaya hidup kewangan individu lain. Apabila melihat rakan, kenalan atau pempengaruh media sosial berkongsi pembelian emas, ada yang mula berasa bimbang jika diri sendiri belum bertindak.

Tanpa disedari, situasi ini mewujudkan tekanan sosial untuk “ikut sama”, walaupun keadaan kewangan setiap individu adalah berbeza. Pemikiran seperti “kalau tak beli sekarang, nanti harga naik dan rugi” sering muncul. Nampak logik, tetapi ia boleh mendorong keputusan terburu-buru tanpa menilai kemampuan kewangan sebenar.
Hakikatnya, membeli emas bukanlah satu pertandingan. Setiap orang mempunyai pendapatan, komitmen dan matlamat kewangan yang berbeza.

Emas sememangnya mempunyai kelebihan tersendiri. Sejak dahulu lagi, ia dianggap sebagai aset yang mampu mengekalkan nilai dalam jangka panjang dan sering dijadikan pelindung terhadap inflasi. Namun begitu, emas bukanlah aset yang memberikan keuntungan segera. Apa yang sering tidak difahami oleh pembeli ialah wujudnya perbezaan antara harga beli dan harga jual semula.

Bagi barang kemas, perbezaan ini boleh mencecah sekitar 15% hingga 25%, bergantung kepada reka bentuk, upah dan polisi kedai. Manakala bagi emas pelaburan seperti jongkong atau dinar, jurang harga biasanya lebih rendah, sekitar 5% hingga 10%. Ini bermakna walaupun harga emas di pasaran naik sedikit, pembeli belum tentu memperoleh keuntungan jika menjual dalam tempoh singkat kerana kos “spread” ini masih perlu ditanggung.

Lebih membimbangkan apabila ada individu yang membeli emas menggunakan wang simpanan kecemasan, mengabaikan komitmen bulanan, atau lebih buruk, membuat pinjaman semata-mata kerana takut harga akan naik semula.

Keputusan seperti ini boleh memberi kesan besar kepada kestabilan kewangan peribadi. Berdasarkan laporan Bank Negara Malaysia (BNM), sekitar 61% rakyat Malaysia didapati sukar menyediakan RM1,000 secara tunai apabila berlaku kecemasan. Ini menunjukkan ramai isi rumah masih tidak mempunyai simpanan kecemasan yang kukuh.

Dalam situasi ini, pakar kewangan termasuk Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menekankan kepentingan mempunyai dana kecemasan sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan perbelanjaan bulanan sebelum mula membuat pelaburan atau simpanan tambahan. Tanpa asas ini, sebarang aset seperti emas tidak banyak membantu ketika kecemasan yang memerlukan wang tunai segera.

Bayangkan jika sebahagian besar simpanan ditukar kepada emas, kemudian berlaku situasi tidak dijangka seperti kehilangan pekerjaan, masalah kesihatan atau kecemasan keluarga. Dalam keadaan tersebut, keperluan utama ialah wang tunai yang boleh digunakan segera. Walaupun emas mempunyai nilai, ia tidak boleh terus digunakan seperti wang di bank dan proses mencairkannya juga boleh mengambil masa. Dalam keadaan terdesak, pemilik mungkin terpaksa menerima harga yang lebih rendah daripada nilai asal.

Situasi “aset ada, tetapi tunai tiada” ini bukanlah sesuatu yang ideal dari sudut pengurusan kewangan peribadi.

Ini tidak bermaksud masyarakat perlu mengelakkan pembelian emas sepenuhnya. Sebaliknya, ia boleh menjadi satu langkah yang baik jika dilakukan secara berhemah dan mengikut kemampuan. Pembelian secara konsisten dalam jumlah kecil lebih selamat berbanding membeli dalam jumlah besar secara tiba-tiba kerana dipengaruhi emosi atau trend semasa.

Selain itu, tujuan pembelian perlu jelas sama ada untuk simpanan jangka panjang, pendidikan anak-anak atau sekadar perhiasan. Apabila tujuan jelas, keputusan kewangan menjadi lebih rasional dan tidak mudah dipengaruhi emosi atau trend media sosial. Apa yang dilihat di media sosial juga tidak semestinya menggambarkan keadaan sebenar seseorang kerana setiap individu mempunyai latar belakang kewangan yang berbeza.

Kesimpulannya, penurunan harga emas boleh menjadi peluang, tetapi hanya jika disertai dengan perancangan kewangan yang baik. Membeli kerana strategi kewangan adalah berbeza dengan membeli kerana FOMO atau tekanan emosi.

Emas boleh dibeli pada bila-bila masa apabila kewangan mengizinkan, tetapi kestabilan kewangan yang terganggu akibat keputusan terburu-buru mungkin mengambil masa bertahun-tahun untuk dipulihkan. Jangan kerana terlalu takut terlepas peluang hari ini, kita akhirnya mengorbankan keselamatan kewangan untuk masa depan.

 

Norain Ahmad Nordin

Pensyarah Kanan

Pusat Pengajian Diploma

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

 

 

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 3 Julai 2026: Harga emas turun, perlukah kita ikut membeli? oleh Norain Ahmad Nordin dan Nuramirah Juma’at, Pusat Pengajian Diploma (PPD), UTHM

Harga emas turun, perlukah kita ikut membeli?

 

2. Harian Metro (muka surat: 14), 7 Julai 2026: Pelaburan dek FOMO tak bijak 

 

3. MyMetro (hmetro.com.my), 7 Julai 2026: Pelaburan dek FOMO tak bijak 

https://www.hmetro.com.my/rencana/2026/07/1380487/pelaburan-dek-fomo-tak-bijak