SERDANG, 25 Jun 2026 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) memeterai pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) bersama tiga syarikat gergasi teknologi dan penerbangan, selain menjalinkan kerjasama strategik melibatkan syarikat terbitannya ketika berlangsungnya MyAERO Summit 2026 bersempena Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS).

Persidangan Malaysia Low Altitude Economy (LAE) Conference 2026 tersebut telah dirasmikan oleh Dato’ Dr. Haji Mohammad Yusof Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Majlis pertukaran dokumen pula telah disempurnakan oleh Profesor Ts. Dr. Mas Fawzi Mohd Ali, Naib Canselor UTHM sambil disaksikan oleh barisan kepimpinan tertinggi universiti, Dato’ Sri Ibrahim Ahmad, Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM; Profesor Ts. Dr. Rabiah Ahmad, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan & Inovasi UTHM; Profesor Dr. Erween Abd Rahim, Ketua Pegawai Eksekutif Pejabat Pengurusan UTHM Tanjung Laboh dan Profesor Ts. Dr. Amir Khalid, Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, UTHM.

Kerjasama strategik UTHM bersama industri Galaxy Helicopters Sdn. Bhd. akan berfokuskan kepada penerokaan potensi perkhidmatan Penyelenggaraan, Pembaikan dan Overhaul (MRO), Organisasi Latihan Diperakui (ATO) Helikopter, serta inisiatif penubuhan Teaching Factory di UTHM.

Manakala kerjasama bersama MAB Academy Sdn. Bhd. pula akan berfokuskan kepada usaha memperkukuh pembangunan kerjaya pelajar Program Penerbangan Profesional UTHM melalui program pengambilan kadet juruterbang oleh Malaysia Aviation Group (MAG) serta latihan industri berimpak tinggi.

Kerjasama juga dijalinkan bersama AB Technology (M) Sdn. Bhd. pula melibatkan pemacuan pembangunan penyelesaian pembuatan termaju (advanced manufacturing solutions) bersandarkan teknologi acuan suntikan magnesium (magnesium injection molding technology).

Lebih membanggakan, Avitex Solution Syarikat Terbitan/Spin-off UTHM turut menjalinkan kerjasama dengan Zeitgeist Inspira Technologies Sdn. Bhd. bagi memfokuskan kepada penerokaan potensi untuk variasi Remote Pilot Training Organisation (RPTO) UTHM dalam memperkasa bidang latihan teknologi dron tanah.

Momentum besar itu adalah selari dengan pelaksanaan RPTM 2026-2035 yang meletakkan agenda pemerkasaan TVET maju sebagai ‘game changer’ negara menerusi kurikulum responsif berteraskan AI, automasi dan konsep Advanced Manufacturing & Digital Innovation.

Langkah proaktif itu sekali gus menyokong aspirasi Malaysia Aerospace Industry Blueprint 2030 dalam melonjakkan UTHM sebagai peneraju utama TVET bagi sektor aeroangkasa negara.

3