Keadaan ekonomi global yang semakin tidak menentu sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah memberi tekanan besar kepada mata wang negara-negara membangun, khususnya di rantau Asia Tenggara. Salah satu perkembangan yang mendapat perhatian ialah penyusutan nilai rupiah Indonesia berbanding dolar Amerika Syarikat (USD) dan juga berbanding ringgit Malaysia (MYR).
Berdasarkan data semasa di platform tukaran asing, nilai rupiah Indonesia dilaporkan mencecah sekitar Rp4,506.62 berbanding ringgit Malaysia, sekali gus melepasi paras psikologi sekitar Rp4,500. Secara keseluruhan, dari awal tahun hingga kini, mata wang Indonesia telah menunjukkan kelemahan sekitar 9.56 peratus berbanding ringgit.
Penyusutan nilai rupiah ini bukan sekadar isu domestik Indonesia, tetapi turut memberi implikasi kepada negara jiran, termasuk Malaysia. Ini kerana Indonesia merupakan antara rakan dagang utama Malaysia dalam ASEAN, dengan hubungan ekonomi yang sangat rapat merangkumi sektor perdagangan, pelaburan, pelancongan, tenaga kerja, makanan dan komoditi.
Sebarang ketidaktentuan ekonomi di Indonesia berpotensi memberi kesan langsung dan tidak langsung kepada aliran perdagangan dan kestabilan ekonomi serantau. Dalam konteks ini, Malaysia perlu mempunyai strategi yang jelas dan proaktif bagi menghadapi kemungkinan kesan daripada kejatuhan rupiah Indonesia supaya kestabilan ekonomi negara terus kekal kukuh.
Kejatuhan rupiah Indonesia boleh memberi impak kepada Malaysia dalam beberapa aspek penting. Pertama ialah dari sudut perdagangan dua hala. Apabila rupiah lemah, harga barangan eksport Malaysia menjadi lebih mahal kepada pengguna dan syarikat di Indonesia. Ini boleh menyebabkan permintaan terhadap produk Malaysia menurun dan memberi kesan kepada syarikat tempatan yang bergantung kepada pasaran Indonesia.
Malaysia dan Indonesia mempunyai hubungan perdagangan yang besar dalam sektor makanan, minyak sawit, bahan kimia, petroleum, automotif dan produk elektrik. Jika kuasa beli pengguna Indonesia merosot akibat kelemahan rupiah, eksport Malaysia berpotensi terjejas. Situasi ini boleh memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara terutama kepada PKS yang aktif menjalankan perdagangan dengan Indonesia.
Selain perdagangan, sektor pelancongan turut boleh menerima kesan. Nilai rupiah yang lemah menjadikan kos melancong ke luar negara lebih mahal bagi rakyat Indonesia termasuk ke Malaysia. Ini boleh menyebabkan pengurangan jumlah pelancong Indonesia yang datang ke Malaysia untuk tujuan pelancongan, membeli-belah dan rawatan kesihatan. Indonesia merupakan antara penyumbang utama pelancong asing ke Malaysia setiap tahun.
Dalam masa yang sama, kejatuhan rupiah boleh meningkatkan persaingan harga dalam sektor pelancongan dan eksport. Produk Indonesia menjadi lebih murah di pasaran antarabangsa berbanding produk Malaysia. Ini memberi cabaran kepada syarikat tempatan untuk bersaing dari sudut harga terutama dalam sektor pembuatan, tekstil, makanan dan produk pengguna.
Sektor tenaga kerja juga berpotensi menerima kesan. Malaysia mempunyai ramai pekerja Indonesia dalam sektor pembinaan, perladangan, perkilangan dan perkhidmatan. Apabila nilai rupiah jatuh, ramai pekerja Indonesia akan kekal bekerja di Malaysia kerana nilai kiriman wang ke negara asal menjadi lebih tinggi. Pada satu sudut, keadaan ini membantu sektor tertentu di Malaysia yang memerlukan tenaga kerja asing. Namun, ia juga menimbulkan cabaran berkaitan pengurusan pekerja asing, kos sosial dan kebergantungan kepada tenaga kerja luar.
Bagi menghadapi cabaran ini, Malaysia perlu melaksanakan strategi ekonomi yang menyeluruh dan bersepadu. Antara langkah penting ialah memperkukuh asas ekonomi domestik. Kestabilan ekonomi dalaman amat penting bagi memastikan Malaysia mampu menghadapi ketidaktentuan ekonomi serantau dan global. Kerajaan perlu memastikan dasar fiskal dan monetari negara kekal stabil serta mesra pelabur.
Bank Negara Malaysia memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan nilai ringgit dan sistem kewangan negara. Pengurusan kadar faedah, kawalan inflasi dan kecairan pasaran perlu dilakukan secara berhati-hati supaya ekonomi Malaysia terus berdaya tahan. Dalam masa yang sama, Malaysia perlu meningkatkan keyakinan pelabur asing terhadap ekonomi negara melalui tadbir urus yang baik, kestabilan politik dan dasar ekonomi yang jelas.
Malaysia juga perlu memperluaskan pasaran eksport ke negara lain supaya tidak terlalu bergantung kepada pasaran tertentu termasuk Indonesia. Diversifikasi pasaran eksport penting untuk mengurangkan risiko sekiranya berlaku kelembapan ekonomi di sesebuah negara rakan dagang. Negara-negara seperti India, Timur Tengah, Afrika dan Asia Tengah mempunyai potensi besar untuk diterokai oleh syarikat Malaysia.
Selain itu, Malaysia perlu memperkukuh daya saing industri tempatan terutamanya PKS. Syarikat tempatan perlu meningkatkan produktiviti, automasi dan penggunaan teknologi digital supaya mampu bersaing walaupun berhadapan tekanan harga daripada negara jiran. Penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan, automasi dan analitik data boleh membantu syarikat meningkatkan kecekapan operasi serta mengurangkan kos pengeluaran.
Kerajaan juga boleh menyediakan insentif kepada syarikat tempatan untuk meningkatkan eksport bernilai tinggi dan mengurangkan kebergantungan kepada produk berasaskan kos murah. Pendekatan ini penting supaya Malaysia dapat bergerak ke arah ekonomi berpendapatan tinggi dan berasaskan inovasi.
Dalam sektor pelancongan, Malaysia perlu memperkukuh strategi promosi pelancongan domestik dan antarabangsa. Walaupun pelancong Indonesia mungkin berkurangan akibat kelemahan rupiah, Malaysia perlu menarik lebih ramai pelancong dari negara lain seperti China, India dan Timur Tengah. Industri pelancongan perlu lebih kreatif menawarkan pakej pelancongan berkualiti tinggi, pelancongan kesihatan, ekopelancongan dan pelancongan pendidikan.
Selain itu, kerjasama ekonomi serantau dalam ASEAN perlu terus diperkukuh. Malaysia dan Indonesia sebagai negara anggota ASEAN perlu bekerjasama memastikan kestabilan ekonomi serantau diperkukuh. Kerjasama dalam perdagangan, pelaburan, keselamatan makanan dan kestabilan kewangan amat penting dalam menghadapi cabaran ekonomi global yang semakin kompleks.
Dari sudut jangka panjang, Malaysia perlu memperkukuh pembangunan modal insan dan kemahiran tenaga kerja tempatan. Dunia ekonomi masa depan bergantung kepada teknologi dan inovasi. Oleh itu, rakyat Malaysia perlu dilengkapi dengan kemahiran baharu yang relevan dengan Revolusi Industri 4.0 termasuk kemahiran digital, analitik data, automasi dan kecerdasan buatan.
Institusi pendidikan tinggi dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) perlu memainkan peranan penting melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi keperluan industri masa depan. Dengan tenaga kerja yang berkualiti, Malaysia akan lebih berdaya saing dan mampu menghadapi sebarang ketidaktentuan ekonomi global.
Kesimpulannya, kejatuhan rupiah Indonesia bukan sekadar isu dalaman negara tersebut, malah turut memberi implikasi kepada Malaysia sebagai rakan ekonomi utama di rantau ASEAN. Malaysia perlu mengambil langkah strategik dan proaktif bagi mengurangkan risiko serta memastikan ekonomi negara terus stabil dan berdaya tahan. Malaysia perlu sentiasa bersedia menghadapi perubahan dan cabaran global dengan pendekatan yang holistik, fleksibel dan berpandangan jauh demi memastikan kesejahteraan rakyat serta kemakmuran negara terus dikekalkan.

Profesor Madya Ts. Dr. Md Fauzi Ahmad
Pensyarah dan Penyelidik Kanan Pengurusan Teknologi Pengeluaran
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
