Bayangkan kita hidup dalam satu lingkaran yang tidak pernah terputus dan terpisah. Setiap hari, kita bergantung antara satu sama lain. Misalnya, guru mendidik pelajar, pelajar menjadi tenaga kerja, tenaga kerja menggerakkan ekonomi, ekonomi menyumbang kepada pembangunan negara dan pembangunan itu kembali memberi manfaat kepada masyarakat. Dalam lingkaran ini, tiada siapa yang bergerak secara bersendirian atau berasingan. Kita saling melengkapi antara satu sama lain sebagai satu ekosistem yang akan menentukan kemajuan atau kegagalan sesebuah negara. Hakikatnya, kemajuan yang kita nikmati hari ini sering dikaitkan dengan hubungan saling bergantung dalam kehidupan seharian, namun persoalannya, sejauh manakah hubungan ini benar-benar disedari, difahami dan dimanfaatkan?

Ramai yang melihat pentadbiran awam sebagai sesuatu yang terhad kepada kerajaan semata-mata. Misalnya, apabila berlaku isu berkaitan pendidikan, pengangkutan awam, ekonomi atau kemudahan masyarakat, perhatian lazimnya diberikan kepada peranan kerajaan sebagai pihak yang dianggap bertanggungjawab sepenuhnya dalam menyelesaikan isu ini. Namun hakikatnya, pentadbiran awam bukan sekadar soal dasar dan pelaksanaan oleh pihak kerajaan semata-mata, tetapi merangkumi satu sistem yang bergantung kepada kerjasama dalam masyarakat bagi memastikan keberkesanannya. Dalam konteks masyarakat Malaysia yang majmuk dan dinamik, kemajuan negara ditunjangi oleh jaringan usaha sama yang saling memperkukuh antara kerajaan, penjawat awam, sektor swasta, institusi pendidikan dan rakyat sebagai satu unit yang saling melengkapi.

Konsep saling bergantung ini bukanlah sesuatu yang baharu dalam bidang sains politik dan pentadbiran awam. Sarjana barat, iaitu Robert D. Putnam menekankan kepentingan modal sosial iaitu jaringan kepercayaan, kerjasama dan penglibatan masyarakat dalam menentukan keberkesanan institusi awam. Menurut beliau, negara yang mempunyai tahap kepercayaan sosial yang tinggi akan menikmati pentadbiran yang lebih cekap. Hal ini kerana rakyat dan institusi bergerak menuju arah yang sama. Selain itu, idea ini turut disokong oleh Elinor Ostrom yang menegaskan bahawa pengurusan masyarakat dan pembangunan negara tidak boleh hanya bergantung kepada satu pihak sahaja, sebaliknya memerlukan tindakan kolektif dan perkongsian tanggungjawab antara kerajaan dan masyarakat.

Dalam konteks Malaysia contohnya, hubungan saling bergantung ini dapat dilihat dalam pelbagai aspek kehidupan harian. Sebagai contoh, pembangunan dalam sistem pendidikan negara bukan hanya bergantung kepada dasar yang dirangka oleh kerajaan, tetapi turut dipengaruhi oleh komitmen guru, sokongan ibu bapa, kesediaan pelajar serta kerjasama komuniti. Sekiranya salah satu elemen ini lemah dan tidak berjaya, maka keseluruhan sistem akan terjejas. Ini akan menyebabkan guru yang komited tanpa sokongan ibu bapa akan menghadapi kesukaran membentuk golongan pelajar. Begitu juga, andaian bahawa dasar pendidikan yang baik akan gagal tanpa sokongan masyarakat perlu diperhalusi kerana keberkesanannya turut bergantung kepada kualiti pelaksanaan, kecekapan institusi, serta sejauh mana dasar tersebut responsif terhadap realiti sosial yang pelbagai. Ini menunjukkan bahawa pentadbiran awam sering digambarkan sebagai jaringan yang saling bergantung dan sifat kebergantungan ini secara automatik menuntut kepercayaan semua pihak. Namun demikian, tidak dapat dinafikan juga bahawa jaringan hubungan ini turut dipengaruhi oleh ketidakseimbangan kuasa, kepentingan yang bercanggah dan tahap akauntabiliti yang berbeza.

Dari sudut sektor ekonomi pula, kita dapat melihat peranan kerajaan dalam menyediakan dasar fiskal, insentif pelaburan dan kemudahan infrastruktur, manakala sektor swasta memainkan peranan sebagai penggerak aktiviti ekonomi tersebut. Pada masa yang sama, rakyat sebagai tenaga kerja dan juga pengguna menjadi pemacu utama terhadap pertumbuhan ekonomi. Tanpa kerjasama antara ketiga-tiga komponen ini, boleh membantutkan pertumbuhan ekonomi negara. Keadaan ini membuktikan bahawa kemajuan Malaysia bukanlah hasil daripada sumbangan sebelah pihak sahaja, tetapi terbina daripada interaksi berterusan pelbagai pihak dalam pentadbiran awam. Di samping itu, keberkesanan pentadbiran awam juga memerlukan kesefahaman dan kepercayaan antara rakyat dan institusi yang dibentuk melalui ketelusan, kecekapan dan akauntabiliti institusi. Kepercayaan ini menjadi asas kepada kerjasama yang berkesan. Apabila rakyat mempercayai institusi awam, mereka lebih cenderung untuk mematuhi dasar, menyokong program kerajaan dan terlibat dalam inisiatif pembangunan. Sebaliknya, pelaksanaan dasar akan menghadapi cabaran kerana wujudnya sikap skeptikal serta ketidakyakinan rakyat untuk turut sama bergandingan menjayakan dasar dan polisi kerajaan. Justeru, membina kepercayaan sosial menjadi tanggungjawab bersama, bukan hanya terletak pada institusi kerajaan semata-mata. Ini bagi memastikan sesebuah program dilaksanakan dengan jayanya dan mencapai matlamat yang diharapkan.

Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum juga memerlukan pendekatan saling bergantung ini demi memperkukuh perpaduan. Sebenarnya, kepelbagaian budaya, agama dan latar belakang sosial menjadi kekuatan sekiranya dapat diuruskan diuruskan dengan baik. Dalam konteks ini, pentadbiran awam memainkan peranan menyediakan untuk dasar yang inklusif, manakala masyarakat perlu mengamalkan sikap toleransi dan saling menghormati. Tanpa kerjasama kedua-dua belah pihak, usaha memperkasa perpaduan akan pastinya berhadapan dengan cabaran selain memerlukan tempoh yang panjang bagi mencapai sesuatu objektif.

Kesimpulannya, pentadbiran awam di Malaysia bukanlah satu sistem yang bergerak secara terasing, tetapi merupakan jaringan yang bergantung kepada kerjasama pelbagai pihak. Setiap pihak mempunyai peranan masing-masing, yang mana pihak kerajaan sebagai penggubal dasar, dilaksanakan oleh penjawat awam, manakala sektor swasta pula menjadi penggerak ekonomi. Peranan institusi pendidikan pula sebagai agen pembentuk modal insan dan seterusnya rakyat menyokong serta menyumbang kepada pembangunan. Kesemua komponen ini saling berkait sebagai satu unit yang tidak boleh dipisahkan. Apabila setiap individu memahami bahawa kita saling bergantung antara satu sama lain, maka pembangunan negara akan bergerak dengan lebih mampan, inklusif dan berterusan.

“Seorang mukmin dengan mukmin yang lain seperti sebuah bangunan, sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 481 & Muslim, no. 2585).

 

 

Dr. Nazreena binti Mohammed Yasin
Pensyarah Kanan Jabatan Sains Sosial
Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

&

Hanisah Md Idris (Penulis bebas)

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Bernama (bernama.com), 26 Jun 2026: Pentadbiran Awam: Cerminan Kolektif Kemajuan Malaysia

https://www.bernama.com/bm/tintaminda/news.php?id=2572319#abc