Inovasi ialah sesuatu yang baru diperkenalkan, sama ada berbentuk produk, kaedah, model ataupun sistem. Faktor penting dalam menggalakkan inovasi ialah pembangunan bakat dan pemupukan daya kreativiti individu bagi menghasilkan idea, produk atau penyelesaian yang inovatif. Hal ini sekali gus dapat memberi manfaat kepada kehidupan sejagat seterusnya menyumbang kepada kelestarian kehidupan dunia. Seiring dengan era globalisasi yang kian pantas dengan pelbagai teknologi, inovasi penting dalam keperluan strategik bagi produktiviti dan membina daya saing negara. Pembudayaan inovasi dapat menjadi pemacu dalam sektor pendidikan dan penyelidikan seterusnya memperkukuhkan pasaran bagi pengkomersialan. Malahan itu juga, ia dapat menjadi teras dan pemangkin dalam merealisasikan Agenda TVET Negara 2030 untuk melahirkan bakat yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara dalam pelbagai aspek.
Umumnya, elemen penting dalam merealisasikan idea adalah melalui gabungan pelbagai kriteria antaranya teori, kemahiran dan kolaborasi bersepadu. Pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) adalah inisiatif tepat dan sewajarnya mampu memberi peluang menterjemahkan idea kepada penyelesaian sebenar. Penekanan TVET kepada pembelajaran secara amali mempercepatkan inovasi dihasilkan secara berperingkat sehingga menjadi produk yang berfungsi. Pada peringkat awalnya, TVET membantu mencorakkan idea melalui penguasaan kemahiran teknikal dan pemikiran reka bentuk. Seawal pendidikan sama ada sekolah rendah atau menengah, terdapat pelbagai program diadakan dalam mencari dan mengembangkan bakat sebagai seorang pereka cipta. Hal ini secara tidak langsung dapat merangsang pemikiran kreatif dan kritis, penyelesaian masalah dan inovasi dari usia muda. Pembudayaan elemen ini perlu dipupuk seawal usia sebagai dorongan dan pencetus pada penyelesaian sebenar. Pendekatan ini membolehkan projek-projek pelajar yang berpotensi dapat dibangunkan sebagai produk komersial. Pelaksanaan inovasi bermula melalui idea kreatif, penyelidikan, pembangunan, pemasaran dan menyumbang impak kepada masyarakat.
Selain itu, penyelidikan yang dilaksanakan sama ada di kolej-kolej atau institusi pengajian tinggi juga memerlukan suntikan dan perancangan tersusun dalam menterjemah hasil penyelidikan. Sokongan kerajaan dan industri berkaitan amat penting dalam mewujudkan ekosistem yang membantu pengkomersialan berlangsung dengan baik. Keterbukaan pelbagai pihak dalam menyambut kerjasama dan kolaborasi membantu menjana idea yang sesuai. Usahasama dan kerjasama antara kerajaan, industri dan institusi adalah penting bagi memastikan ekosistem TVET negara seiring dengan perkembangan teknologi dunia. TVET melatih pereka cipta atau penyelidik untuk menterjemahkan reka bentuk dalam bentuk teknikal, lukisan kejuruteraan dan penggunaan perisian reka bentuk bagi tujuan verifikasi dan validasi reka bentuk yang optimum. Dengan kecanggihan teknologi dan penggunaan pelbagai sistem, contohnya kecerdasan buatan (AI), setiap idea dapat direalisasikan dalam tempoh masa yang cepat dan mampu memberikan asas teknikal yang kukuh dan realistik untuk dibangunkan.
Pembangunan makmal dan kemudahan bengkel yang menyokong ekosistem TVET membantu mengembangkan idea menjadi prototaip. Proses ini memberi ruang untuk pembelajaran melalui proses pengujian secara berterusan untuk penambahbaikan, sekali gus meningkatkan kefahaman serta kemahiran teknikal. Aktiviti penyelesaian masalah dan analisis punca kegagalan membantu memastikan produk yang dihasilkan berfungsi dengan baik dan memenuhi keperluan pengguna. Melalui pendekatan ini, idea asal dapat direalisasikan dalam bentuk prototaip, seterusnya menyumbang kepada penghasilan produk sebenar.
Seharusnya, produk yang dihasilkan dapat dipasarkan ke pasaran global. Elemen keusahawanan turut diterapkan dalam TVET. Elemen-elemen tersebut antaranya ialah pengetahuan asas berkaitan perniagaan, penjenamaan, perlindungan harta intelek dan lain-lain. Pengetahuan keusahawanan ini penting bagi kelestarian perniagaan dan produk yang dibangunkan. Malahan itu, TVET juga menyumbang kepada jalinan kerjasama dengan industri. Hal ini dapat membantu pembangunan produk yang memenuhi dan mematuhi piawaian tertentu. Selain itu, industri juga dapat membantu memberikan dapatan penghasilan produk yang berdaya saing, dan berpotensi untuk dikomersialkan.
Pengukuhan inovasi bukan hanya teori, tetapi perancangan dan penglibatan pemegang-pemegang taruh amat penting bagi menjelmakan inovasi menjadi realiti. Usaha ini juga disokong dengan pelbagai inisiatif yang diwujudkan oleh kerajaan dan seharusnya dimanfaatkan sebaik mungkin. Usaha-usaha yang diadakan oleh pihak-pihak tertentu dalam mewujudkan pelbagai dana, seharusnya disambut baik oleh penyelidik-penyelidik tempatan. Pendekatan ini dapat mengatasi usaha pengkomersialan menemui jalan buntu.
Kesimpulannya, TVET berfungsi sebagai pemangkin yang menghubungkan idea, kemahiran dan realiti pasaran. Melalui pembelajaran amali, pembangunan prototaip, kerjasama industri dan sokongan keusahawanan, TVET membolehkan idea diterjemahkan kepada produk sebenar yang berimpak tinggi. Pendekatan ini membuktikan bahawa TVET bukan hanya melahirkan tenaga kerja berkemahiran, juga menjadi pemacu utama inovasi yang praktikal dan mampan. Pemerkasaan TVET merealisasikan idea, dan melahirkan bakat pembangun inovasi tinggi.

Prof. Madya Ts. Dr. Ahmad Mubarak Bin Tajul Arifin
Ketua Jabatan,
Keusahawanan, Daya Usaha dan Inovasi dan Sastera Liberal,
Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Rencana ini juga diterbitkan di:
1. Bernama (bernama.com), 2 Julai 2026: Pemerkasaan TVET, Hasilkan Bakat Inovasi Negara
https://www.bernama.com/bm/tintaminda/news.php?id=2572452#abc
