Ketagihan bekerja adalah salah satu isu yang jarang dibincangkan di tempat kerja namun ia jelas wujud. Budaya sentiasa sibuk sering dianggap sebagai suatu lambang kepada sifat dedikasi dan profesionalisme. Mesyuarat demi mesyuarat perlu dihadiri, bengkel dan kursus mencuri masa di hujung minggu, email yang perlu disantuni hingga lewat malam, tuntutan KPI dan SKT, sasaran penerbitan dan penyelidikan serta pelbagai tugasan adhoc yang kian mengganggu waktu rehat sehingga menjadi punca terjejasnya kesejahteraan mental secara senyap. Kadang kala kita rasa bangga digelar “si rajin” atau “tulang belakang organisasi,” namun adakah kita sedar wujudnya garis halus yang membezakan antara kerja keras dan ketagihan bekerja. Budaya bekerja tanpa henti ini jika tidak dikawal akan menjadikan ia suatu keperluan yang wajib dipenuhi dan bukan lagi suatu pilihan.
Fakta ketagihan bekerja
- Bekerja sebagai hobi baharu
Ketagihan bekerja adalah keadaan di mana seseorang merasa terpaksa untuk bekerja secara berlebihan sehingga menjejaskan kesihatan fizikal dan mental. Ia bukan lagi tentang mengejar KPI tetapi tentang melarikan diri daripada realiti atau rasa bersalah jika tidak memegang laptop atau menghadap tugasan. Ketagihan bekerja seakan-akan menjadi hobi baharu. Tanda jelas individu telah mengalami ketagihan bekerja adalah mudah berasa gelisah, cemas atau rasa kosong jika tidak menyentuh kerja walaupun pada hari cuti.
- Kesejahteraan diri tergugat
Ketagihan bekerja bukan tiket kejayaan untuk jangka panjang tetapi ia adalah punca kesejahteraan diri tergugat. Tekanan, keresahan dan kemurungan sering bersembunyi di sebalik timbunan fail, tarikh akhir, projek dan sebagainya. Hubungan kekeluargaan menjadi retak bila kita ibarat penumpang di rumah sendiri kerana minda sentiada berada di pejabat. Kesihatan fizikal semakin merosot dengan kehadiran isu tekanan darah tinggi dan masalah jantung.
- Ia suatu budaya
Budaya masyarakat tentang ketagihan bekerja seolah-olah menerima kepenatan adalah lazim dalam bekerja atau rasa tidak produktif jikalau berehat. Pandangan negatif lebih memihak kepada jika berehat kualiti kerja akan merosot dan kreativiti akan pudar.
Punca berlaku ketagihan bekerja
Selalunya ketagihan bekerja bukan bermula kerana kita cintakan kerja kita. Tetapi ia boleh dikaitkan dengan sistem ganjaran dalaman dan mekanisma mempertahankan diri. Berikut adalah penjelasan lebih terperinci yang boleh dikupas dalam aspek psikologi.
- Limpahan hormon dopamin
Bayangkan setiap kali kita berjaya menyiapkan tugasan yang diberi dan mendapat pujian, otak akan melepaskan hormon dopamin iaitu hormon rasa gembira. Masalah bermula apabila kita mula mengejar dopamin ini secara berlebihan. Kita mula rasa gelisah jika tidak melakukan kerja bukan kerana kerja itu penting tetapi kerana otak sudah mula dahagakan rasa kepuasan yang datangnya daripada aktiviti menyiapkan kerja tersebut.
- Mekanisma melarikan diri dan pengelakkan
Ada orang menjadikan kerja tempat untuk menyorok daripada masalah peribadi, sunyi atau konflik rumah tangga. Di pejabat mereka berasa berkuasa tetapi di rumah mereka rasa gagal. Mereka merasakan pejabat adalah tempat paling selamat untuk melarikan diri daripada masalah yang dihadapi dan melakukan kerja tanpa henti boleh melupakan segala masalah.
- Ketakutan atau rasa tidak selamat
Melakukan kerja tanpa had kerana takut jawatan diambil orang, terlepas maklumat penting, terlepas projek yang boleh melonjakkan kerjayanya, takut dianggap tidak produktif atau takut jika berlaku krisis kewangan. Keadaan ini menyebab mereka rasa mereka patut bekerja dan terus bekerja.
- Trauma masa lalu
Ini adalah isu paling dalam dan biasanya berkait dengan zaman kanak-kanak. Mungkin dahulu ibu bapa mereka hanya memberi perhatian atau kasih sayang apabila mendapat gred A atau menang pertandingan. Ini membentuk kepercayaan dalam otak bahawa mereka layak dihargai jika mereka bekerja keras. Ada orang bekerja keras sebab pernah melalui kehidupan yang sukar atau sering dikritik semasa kecil jadi mereka bekerja keras kerana takut kemiskinan itu akan datang semula jika mereka berehat walau sesaat.
- Normalisasi budaya
Budaya kerja masa kini mengiktiraf kesibukan. Kita diajar bahawa berehat hanya untuk orang yang lemah dan membazir masa. Budaya ini menyebabkan kita mudah mempunyai perasaan bersalah yang teramat jika kita hanya duduk diam walaupun hanya untuk 10 minit.
Mengurus ketagihan bekerja
Ketagihan bekerja sukar untuk diberhentikan seperti menarik brek kereta. Jangan buat perubahan yang drastik tetapi mulakan dengan langkah kecil yang realistik.
- Teknik “hand break”
Jangan berhenti kerja hanya bila terasa penat. Teknik ini bertujuan untuk menetapkan sempadan mental yang jelas antara waktu pejabat dan waktu peribadi. Tanpa melakukan teknik ini otak akan terus memikirkan hal kerja walaupun kita sudah berada di meja makan bersama keluarga. Tetapkan masa sebagai waktu tamat dan peruntukan 10 minit sebelumnya untuk mula menutup semua fail, tiada istilah satu e-Mel lagi atau sikit lagi nak siap. Tujuannya untuk melatih diri agar lebih berdisiplin dengan menyemat di dalam otak bahawa kerja tidak pernah habis dan tenaga ada hadnya.
- Teknik penutup kerja
Ia adalah tindakan fizikal yang memberi isyarat kepada otak bahawa tugas hari ini sudah selesai. Kemas meja dengan menyusun fail dan simpan alat tulis. Meja yang bersepah akan membuatkan otak masih berfikir tentang kerja. Senaraikan tiga tugas utama yang perlu dibuat pada esok hari. Menulis dapat memindahkan beban ingatan tentang kerja dari otak ke kertas. Tutup peranti sambal hati berbisik perlahan “kerja untuk hari ini dah selesai dan sekarang masa untuk saya dan keluarga”.
- Peraturan lima minit
Ramai orang tidak boleh berhenti melakukan kerja kerana mereka merasakan kerja itu belum sempurna. Pastikan lima minit sebelum balik kerja jangan buat atau cipta kerja baharu. Sebaliknya ambil sekeping kertas kecil dan tulis isu yang paling besar yang kita risaukan sekarang dan akan diselesaikan pada esok hari jam 9 pagi.
- Jadualkan aktiviti tidak produktif
Bagi mereka yang mengalami ketagihan bekerja waktu lapang dianggap suatu dosa. Melalui kaedah ini kita akan memasukkan waktu lapang di dalam jadual. Semasa waktu lapang ini kita tidak melakukan sebarang aktiviti produktif seperti tiada telefon, tiada e-Mel dan tiada tugasan kerja. Yang ada hanya kita dan persekitaran. Blokkan di dalam kalendar janji temu dengan diri sendiri tanpa gangguan manusia atau fizikal. Duduk bersendirian tanpa ditemani apa-apa peranti teknologi. Kaedah ini membantu kita menukar mod fokus dan stres kepada tenang.
- Wujudkan akauntabiliti sosial
Ketagihan bekerja selalu berlalu dalam diam dan secara perlahan. Kita perlukan orang lain untuk menarik kita keluar dari pejabat. Cuba aturkan janji temu dengan orang lain yang tidak boleh dibatalkan seperti janji temu rawatan muka, janji temu makan malam atau temu janji menonton wayang. Kita mungkin sanggup untuk menghampakan diri sendiri demi kerja tetapi kita akan merasa lebih bersalah untuk menghampakan orang lain.
Kesimpulannya, mempunyai sikap dedikasi itu mulia tetapi biarlah bertempat. Jangan sampai kita mengejar pangkat sehingga hilang nikmat melihat anak membesar atau hilang kewarasan untuk menghargai diri sendiri. Ingat kita hanyalah seorang manusia. Sentiasa perhatikan apa yang berlaku pada tubuh badan. Jika berasa sesak nafas atau cemas yang melampau setiap kali tidak bekerja itu petanda kita perlukan bantuan profesional kerana ketagihan bekerja ini sama seriusnya dengan ketagihan yang lain. Menguruskan ketagihan kerja tidak semudah yang disangka. Untuk menjadi pekerja yang produktif kita perlu lebih bijak mengurus sempadan dan keutamaan diri. Mulai hari ini tarik nafas dan pulang ke hakikat kehidupan yang sebenar.

Dr. Noraishah Daud
Pengarah Pusat Kaunseling Universiti
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Rencana ini juga diterbitkan di:
1. Bernama (bernama.com), 15 Jun 2026: Ketagihan Bekerja: Dedikasi Atau Penyakit Minda
https://www.bernama.com/bm/tintaminda/news.php?id=2567618#abc
2. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 10 Julai 2026: Ketagihan bekerja: Dedikasi atau penyakit minda?
