BATU PAHAT – Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus memperkukuh agenda pemerkasaan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta pembangunan komuniti menerusi pelaksanaan pelbagai program di bawah inisiatif NADI Komuniti FKMP 2026.
Sepanjang tempoh April hingga Jun 2026, sebanyak 36 program telah berjaya dilaksanakan di sekitar kawasan Parlimen Batu Pahat melibatkan kerjasama strategik antara FKMP, sekolah-sekolah, agensi kerajaan, industri dan komuniti setempat.
Inisiatif tersebut turut menyaksikan penglibatan aktif lebih 300 staf dan mahasiswa FKMP yang berperanan sebagai penyelaras program, fasilitator, urus setia, penceramah serta pengendali aktiviti dan pertandingan STEM.
Antara program utama yang mendapat perhatian ialah International STEM X-Plorace 2026 (ISX26) yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Syed Esa pada 22 hingga 24 Mei 2026.
Program anjuran SMK Dato’ Syed Esa dengan kerjasama Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Johor dan UTHM itu telah menghimpunkan kira-kira 1,500 peserta dari Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura.
Dalam program tersebut, pensyarah dan mahasiswa FKMP memainkan peranan penting dalam merancang serta melaksanakan pelbagai pertandingan STEM seperti Cabaran Lumba Drone, Cabaran Jambatan Mampan, Kotak Misteri dan Glider, Labirin Pantulan Laser Optik, Litar Bio Bateri Voltan serta Kenderaan Solar Buggy.
Siri program NADI Komuniti FKMP 2026 diteruskan melalui penganjuran Program Eksplorasi STEM dan Komuniti Digital Senggarang yang berlangsung pada 16 Jun 2026 di SMK Senggarang dan Dewan Senggarang.
Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh YB Onn Abu Bakar, Ahli Parlimen Batu Pahat dan turut dihadiri wakil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), pemimpin masyarakat setempat, guru-guru dan warga UTHM.
Melalui program itu, FKMP telah menyelaras sembilan pertandingan STEM yang memberi pendedahan kepada pelajar sekolah dalam bidang sains, teknologi dan kejuruteraan melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman.
Antara pertandingan yang dijalankan ialah Kenderaan Solar Buggy, Cabaran Jambatan Mampan, Kincir Angin Tenaga, Reka Bentuk Glider, Marshmallow Spaghetti, Cabaran Kotak Misteri Bateri, Cabaran Pantulan Laser, Cabaran Rekabentuk Catapult dan Cabaran Kereta Robotik.
Selain pertandingan, mahasiswa FKMP turut mengendalikan pameran STEM interaktif yang memberi peluang kepada pelajar dan komuniti meneroka aplikasi teknologi serta inovasi kejuruteraan secara hands-on.
Program itu turut menampilkan Kempen Internet Selamat yang dikendalikan bersama MCMC bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keselamatan siber, literasi digital dan penggunaan internet secara bertanggungjawab.
Menurut Dekan FKMP, Prof. Ts. Dr. Amir Khalid, pelaksanaan NADI Komuniti FKMP 2026 mencerminkan komitmen fakulti dalam memperluaskan pemindahan ilmu, memperkasakan pendidikan STEM dan mengukuhkan hubungan antara universiti dengan masyarakat.
Beliau berkata penglibatan staf dan mahasiswa dalam 36 program yang dilaksanakan sepanjang tempoh tiga bulan membuktikan peranan aktif warga FKMP dalam menyokong agenda pembangunan komuniti serta melahirkan generasi muda yang kreatif, inovatif dan berdaya saing.
“Pelaksanaan NADI Komuniti FKMP 2026 sekali gus mengukuhkan peranan UTHM sebagai universiti yang sentiasa komited dalam menyumbang kepakaran dan manfaat kepada masyarakat melalui pendidikan, inovasi dan penglibatan komuniti,” katanya.



