BATU PAHAT, 15 Jun 2026 – Dua atlet Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Chan Yu Xuan dan Nur Durratul Iffah dinobat Olahragawan dan Olahragawati UTHM 2025 semasa berlangsungnya Majlis Anugerah Sukan UTHM 2025 pada 15 Jun 2026 lalu di Dewan Sultan Ibrahim, kampus induk.
Chan Yu Xuan dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE) yang mewakili sukan mendayung telah dinobat sebagai Olahragawan UTHM 2025, manakala Nur Durratul Iffah Yazit dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) yang mewakili sukan petanque pula dinobat sebagai Olahragawati UTHM 2025.
Bagi kategori pasukan terbaik, anugerah Pasukan Individu Lelaki Terbaik telah dimenangi oleh pasukan Mendayung, manakala Pasukan Individu Wanita Terbaik disandang oleh pasukan Petanque.
Sementara itu, pasukan Bola Tampar telah dipilih sebagai Pasukan Berpasukan Lelaki Terbaik, dan pasukan Kabaddi menerima anugerah Pasukan Berpasukan Wanita Terbaik.
Dalam kategori pengurusan pasukan, Mohd Irfan Salim dari FKEE telah dinobatkan sebagai Pengurus Pasukan Lelaki Terbaik bagi sukan bola tampar, manakala Nurul Athirah Mohd Ali dari Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP) menerima anugerah Pengurus Pasukan Wanita Terbaik bagi sukan catur.
Majlis turut menyaksikan Kejohanan Kabaddi Intervarsiti “Porkkalam 3.0” UTHM 2025 menerima pengiktirafan sebagai Program Sukan Terbaik atas kejayaan penganjurannya yang memberi impak positif kepada pembangunan sukan universiti.
Selain itu, beberapa pihak dan individu turut menerima Anugerah Khas sebagai penghargaan atas sumbangan dan komitmen mereka dalam memperkasakan pembangunan sukan UTHM.
Penerima anugerah tersebut adalah Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat (PPKK), Majlis Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Majlis Pengetua Kolej-Kolej Kediaman, Dr. Azli Puddin dan Seri Amisha Haslindarinshah.
Untuk rekod, majlis anjuran Pusat Sukan dan Kebudayaan Universiti (PSKU) itu sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan kepada atlet, pasukan sukan serta individu yang telah mengharumkan nama universiti sepanjang tahun 2025.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Profesor Ts. Dr. Mas Fawzi Mohd Ali, Naib Canselor UTHM yang turut menyampaikan anugerah kepada para penerima sebagai simbol penghargaan atas komitmen, dedikasi dan pencapaian cemerlang mereka dalam bidang sukan.
Turut hadir, Sr. Dr. Anuar Mohd Salleh, Pengarah PSKU; Profesor Madya Ts. Dr. Khalid Isa, Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar; Profesor Ts. Dr. Mohd Halim Irwan Ibrahim, Pengarah Pusat Perumahan Pelajar; Khairuddin Alias, Pengarah Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni serta Timbalan-timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni).
Dr. Anuar berkata penganjuran Majlis Anugerah Sukan UTHM 2025 mencerminkan komitmen universiti dalam menghargai kecemerlangan atlet serta memperkukuh budaya sukan yang cemerlang dan berdaya saing dalam kalangan warga kampus.
”Pengiktirafan yang diberikan diharap dapat menjadi pemangkin kepada atlet dan pasukan sukan UTHM untuk terus mencipta kejayaan pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
”Tahniah kepada semua penerima anugerah dan warga UTHM yang telah menyumbang kepada kejayaan sukan universiti sepanjang tahun 2025,” katanya.



