Malaysia sedang berada pada satu persimpangan sejarah yang penting. Perubahan teknologi yang pantas, globalisasi ekonomi, cabaran perubahan iklim, serta transformasi pasaran pekerjaan dunia menuntut pendekatan pembangunan yang lebih inklusif dan mampan. Dalam konteks ini, gagasan Masyarakat Madani muncul sebagai kerangka nilai dan pembangunan yang menekankan keseimbangan antara kemajuan ekonomi, kesejahteraan sosial, pembangunan insan, serta kelestarian moral dan budaya. Namun, persoalan utama yang sering timbul ialah: bagaimana ekonomi masyarakat madani boleh dibina secara praktikal dan berkesan? Jawapannya, pembelajaran sepanjang hayat merupakan asas paling kritikal untuk memperkukuh daya tahan ekonomi rakyat dan negara.
Memahami konsep ‘Masyarakat Madani’ dalam konteks ekonomi
Masyarakat madani merujuk kepada masyarakat yang berteraskan nilai kemanusiaan, keadilan sosial, tanggungjawab bersama, serta penyertaan aktif rakyat dalam pembangunan negara. Ia bukan sekadar konsep sosial atau politik, tetapi juga satu model ekonomi yang menekankan keseimbangan antara pertumbuhan dan kesejahteraan. Dalam ekonomi masyarakat madani:
- Pembangunan ekonomi mesti memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.
- Peluang mobiliti sosial perlu terbuka luas.
- Rakyat mempunyai keupayaan untuk berdikari melalui ilmu dan kemahiran.
- Institusi sosial, pendidikan dan ekonomi saling memperkukuh antara satu sama lain.
Ekonomi yang hanya menghasilkan pertumbuhan angka tanpa meningkatkan kapasiti manusia tidak mampu bertahan lama. Sebaliknya, ekonomi yang dibina melalui pembangunan ilmu akan melahirkan masyarakat yang adaptif dan inovatif. Di sinilah pembelajaran sepanjang hayat memainkan peranan strategik sebagai mekanisme membina modal insan secara berterusan.
Perubahan landskap pekerjaan dan cabaran masa depan
Revolusi Industri Keempat yang mula berkembang pada tahun 2011 telah mengubah struktur pekerjaan secara drastik. Dengan adanya teknologi digital, automasi, kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital dan teknologi hijau membolehkan peningkatan produktiviti dan memacu pertumbuhan ekonomi. Dalam masa yang sama menyebabkan banyak pekerjaan tradisional menjadi berkurangan, sementara pekerjaan baharu muncul dengan pantas. Beberapa realiti baharu yang sedang berlaku termasuk:
- Kemahiran menjadi usang dalam tempoh yang lebih singkat
- Graduan memerlukan kemahiran tambahan selepas memasuki alam pekerjaan.
- Pekerja perlu menukar kerjaya beberapa kali sepanjang hayat.
- Ekonomi gig dan pekerjaan fleksibel semakin berkembang.
Situasi ini mencabar model pendidikan tradisional yang berasaskan pembelajaran secara berstruktur atau istilah “belajar sekali untuk seumur hidup.” Sebaliknya, masyarakat kini memerlukan model pembelajaran sepanjang hayat (PSH) untuk kekal relevan. Tanpa sistem pembelajaran berterusan, jurang kemahiran akan melebar dan ketidaksamaan ekonomi akan meningkat. Golongan yang gagal menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi akan berisiko terpinggir daripada arus ekonomi.
Pembelajaran sepanjang hayat sebagai pemangkin ekonomi
Pembelajaran sepanjang hayat merangkumi semua bentuk pembelajaran sama ada formal, tidak formal atau tidak formal yang berlaku sepanjang kehidupan seseorang individu. Apabila pembelajaran menjadi budaya nasional, kesannya terhadap ekonomi sangat besar, antaranya :
- Meningkatkan produktiviti tenaga kerja
Pekerja yang sentiasa meningkatkan kemahiran lebih mudah menyesuaikan diri dengan teknologi baharu. Produktiviti meningkat kerana mereka bukan sahaja melaksanakan tugas, tetapi memahami proses dan mampu melakukan inovasi.ekonomi yang berasaskan kemahiran tinggi menghasilkan nilai tambah yang lebih besar berbanding ekonomi berintensif buruh rendah.
- Menggalakkan keusahawanan
PSH membuka peluang kepada rakyat untuk mencipta pekerjaan sendiri. Individu yang mempelajari kemahiran digital, pengurusan kewangan, pemasaran dalam talian dan inovasi produk mampu membangunkan perusahaan kecil dan sederhana. Keusahawanan berasaskan ilmu ini memperkukuh ekonomi tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerjaan tradisional.
- Mengurangkan ketidaksamaan ekonomi
Akses kepada PSH memberi peluang kedua kepada individu yang tercicir daripada sistem pendidikan formal. Golongan B40, pekerja luar bandar, wanita dan warga emas boleh meningkatkan kemahiran dan pendapatan melalui program latihan yang fleksibel. Ini membantu mengurangkan jurang pendapatan dan meningkatkan mobiliti sosial.
Peranan pendidikan dalam membentuk ekonomi Madani
Bagi mempastikan matlamat ekonomi Masyarakat Madani ini dicapai, sistem pendidikan di Malaysia juga perlu di transformasikan daripada model linear kepada model ekosistem pembelajaran berterusan dan fleksible. Beberapa transformasi penting termasuk:
- Pendidikan fleksibel dan modular
Program pendidikan perlu ditawarkan dalam bentuk modul pendek yang boleh diikuti secara berperingkat. Individu boleh belajar sambil bekerja tanpa perlu meninggalkan pekerjaan sepenuh masa. Pendekatan ini membolehkan lebih ramai rakyat menyertai pembelajaran tanpa halangan masa atau kewangan.
- Pengiktirafan pembelajaran berasaskan pengalaman
Ramai pekerja memiliki kemahiran hasil pengalaman kerja tetapi tidak mempunyai sijil formal. Sistem pengiktirafan pembelajaran terdahulu dapat mengiktiraf kemahiran ini dan meningkatkan peluang kerjaya mereka.
- Integrasi kemahiran insaniah
Ekonomi madani bukan sekadar ekonomi teknologi. Ia memerlukan nilai empati, etika kerja, kepimpinan komuniti dan tanggungjawab sosial. Oleh itu, pembelajaran sepanjang hayat mesti merangkumi pembangunan karakter dan nilai.
Teknologi digital sebagai pemudahcara pembelajaran
Kemajuan teknologi digital juga membuka peluang besar untuk memperluas akses pembelajaran. Platform pembelajaran dalam talian membolehkan individu di kawasan luar bandar mengikuti kursus daripada institusi terbaik tanpa perlu berhijrah ke bandar. Video pembelajaran, kursus mikro, simulasi digital dan kecerdasan buatan menjadikan pembelajaran lebih interaktif dan diperibadikan.
Namun, cabaran jurang digital masih wujud. Akses internet, literasi digital dan kemampuan peranti perlu diperkukuh agar pembelajaran digital tidak hanya dinikmati oleh golongan tertentu. Pelaburan dalam infrastruktur digital sebenarnya merupakan pelaburan ekonomi jangka panjang kerana ia meningkatkan kapasiti pembelajaran rakyat.
Peranan industri dan majikan
Industri dan majikan kini tidak lagi boleh melihat latihan pekerja sebagai kos semata-mata, tetapi sebagai pelaburan strategik. Syarikat yang menggalakkan pembelajaran berterusan biasanya menikmati:
- Produktiviti lebih tinggi
- Kadar pertukaran pekerja lebih rendah
- Inovasi organisasi yang lebih kuat
Budaya tempat kerja perlu berubah kepada budaya pembelajaran. Ini termasuk menyediakan latihan berkala, peluang peningkatan kemahiran, serta laluan kerjaya yang fleksibel. Kerjasama antara industri dan institusi pendidikan juga penting bagi memastikan latihan yang ditawarkan selari dengan keperluan sebenar pasaran kerja.
Peranan kerajaan dalam membina ekosistem pembelajaran
Kerajaan memainkan peranan penting dalam menyediakan dasar, insentif dan infrastruktur yang menyokong pembelajaran sepanjang hayat. Antara langkah strategik yang boleh diperkukuh termasuk:
- Insentif cukai bagi latihan pekerja.
- Dana latihan semula untuk pekerja sektor terjejas.
- Sistem akaun pembelajaran individu sepanjang hayat.
- Pusat pembelajaran komuniti di setiap daerah.
- Polisi pembelajaran fleksibel untuk pekerja dewasa.
Pendekatan seluruh negara diperlukan agar pembelajaran sepanjang hayat menjadi gerakan nasional, bukan sekadar program terasing.
Pembelajaran sepanjang hayat dan kelestarian ekonomi
Ekonomi madani juga menekankan kelestarian alam sekitar. Peralihan kepada ekonomi hijau memerlukan kemahiran baharu seperti teknologi tenaga boleh baharu, pertanian mampan dan pengurusan sumber. Tanpa latihan semula tenaga kerja, peralihan ini boleh menyebabkan kehilangan pekerjaan. Namun dengan pembelajaran sepanjang hayat, pekerja boleh beralih kepada sektor ekonomi hijau dengan lebih lancar. Ini menunjukkan bahawa pembelajaran bukan sahaja menyokong pertumbuhan ekonomi, tetapi juga transformasi ekonomi yang mampan.
Adakah kita bersedia?
Walaupun manfaatnya pembelajaran sepanjang hayat ini jelas, beberapa cabaran utama masih perlu diatasi: Antaranya
- Persepsi bahawa pembelajaran hanya untuk golongan muda.
- Kekangan masa pekerja dewasa.
- Kos latihan.
- Kurangnya kesedaran tentang peluang pembelajaran.
- Ketidaksepadanan antara latihan dan keperluan industri.
Mengatasi cabaran ini memerlukan perubahan budaya nasional, daripada melihat pendidikan sebagai fasa kehidupan kepada melihatnya sebagai gaya hidup. Keluarga, media, komuniti dan institusi sosial memainkan peranan penting dalam menormalisasikan pembelajaran sepanjang hayat.
Kesimpulannya membina ekonomi masyarakat madani bukan sekadar meningkatkan pertumbuhan ekonomi, tetapi membina manusia yang berdaya fikir, beretika dan berkeupayaan menghadapi perubahan. Malaysia mempunyai potensi besar untuk menjadi negara contoh dalam pembangunan ekonomi berasaskan pembelajaran sepanjang hayat. Dengan masyarakat majmuk yang kreatif, sistem pendidikan yang berkembang, serta ekonomi digital yang pesat, asas untuk transformasi ini sudah wujud. Apa yang diperlukan ialah penyelarasan usaha antara kerajaan, industri, institusi pendidikan dan masyarakat. Ekonomi masa depan bukan lagi ekonomi yang dimiliki oleh mereka yang paling kuat, tetapi oleh mereka yang paling cepat belajar.

Profesor Dr. Wan Fauziah Wan Yusoff
Pengarah UTHM Bitara (Advanced Centre for Continuing Education)
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
