Setiap tahun, ramai umat Islam di Malaysia menyimpan impian besar untuk menunaikan ibadah haji di Mekah sebagai pelengkap rukun Islam kelima. Impian ini bukan perkara kecil kerana ia melibatkan persediaan kewangan, fizikal dan mental yang panjang. Namun begitu, di sebalik niat yang suci ini, wujud satu ancaman yang semakin membimbangkan iaitu penipuan pakej haji yang menyasarkan bakal jemaah. Berdasarkan laporan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), kerugian akibat penipuan haji dan umrah mencecah jutaan ringgit setiap tahun. Malah, ramai mangsa bukan sahaja kehilangan wang simpanan, tetapi juga sanggup menjual atau menggadaikan harta demi mengejar peluang ke Tanah Suci.
Jerat Visa Furada dan janji manis kuota ekspres
Antara taktik paling biasa digunakan oleh penipu adalah dengan memperdaya orang ramai menggunakan istilah “Visa Furada.” Ramai yang percaya visa ini adalah jalan mudah untuk ke haji tanpa perlu melalui giliran Lembaga Tabung Haji. Penipu pula ambil peluang ini dengan menawarkan pakej ‘VIP’ atau ‘ekspres’ kepada mereka yang tidak sanggup menunggu lama. Realitinya, tempoh menunggu haji di Malaysia memang panjang, malah boleh mencecah puluhan tahun. Disebabkan tekanan ini, ramai yang mula mencari jalan pintas. Di sinilah penipu masuk dengan janji manis kononnya mereka ada ‘connection’ untuk mempercepatkan proses. Hakikat sebenar, tiada jalan mudah seperti itu dan kebanyakan tawaran ini hanyalah perangkap.
Rekod kerugian dan statistik laporan polis
Kes penipuan haji semakin meningkat, terutama selepas pembukaan sempadan selepas pandemik. Dalam satu musim haji sahaja, ratusan laporan polis telah dibuat oleh mangsa yang terkandas, termasuk di lapangan terbang seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Ada mangsa yang sudah siap berpakaian ihram dan menunggu penerbangan, tetapi akhirnya dimaklumkan bahawa tiket dan visa tidak wujud. Jumlah kerugian pula bukan kecil, ada yang kehilangan antara puluhan ribu ringgit seorang. Bila dikumpulkan, jumlah keseluruhan boleh mencecah jutaan ringgit dalam satu musim. Ini menunjukkan penipuan ini bukan kes terpencil, tetapi satu sindiket yang terancang.
Manipulasi emosi dan imej keagamaan
Apa yang buat penipuan ini lebih menyedihkan adalah cara penipu memainkan emosi mangsa. Mereka tidak sekadar menjual pakej, tetapi menjual harapan untuk ke Tanah Suci. Ada yang menggunakan imej keagamaan, berpakaian seperti ustaz atau individu alim untuk nampak lebih dipercayai. Mereka juga gunakan testimoni palsu dan cerita kejayaan yang direka-reka. Lebih teruk, ada kes di mana mereka anjurkan majlis doa selamat untuk meyakinkan mangsa bahawa semuanya berjalan lancar. Bila mangsa sudah yakin sepenuhnya, bayaran dibuat tanpa ragu. Tetapi pada hari berlepas, penipu hilang begitu sahaja.
Ciri-Ciri Syarikat Pengelola yang Meragukan
Sebenarnya, tanda-tanda penipuan ini boleh nampak dari awal, cuma ramai yang abaikan. Antara ciri paling jelas adalah syarikat tersebut tidak mempunyai lesen sah sebagai Pengelola Jemaah Haji daripada Tabung Haji. Ada juga yang hanya ada lesen umrah tetapi berani tawarkan pakej haji. Dari segi bayaran pula, jika diminta masukkan duit ke akaun peribadi atau akaun yang mencurigakan, itu sudah cukup untuk rasa was-was. Selain itu, harga pakej yang terlalu murah atau terlalu ‘cantik’ berbanding harga pasaran juga patut dipersoalkan. Dalam kebanyakan kes, mangsa hanya sedar selepas semuanya terlambat.
Kesedaran masyarakat sebagai benteng utama
Masalah utama bukan sekadar penipu yang licik, tetapi juga kurangnya kesedaran dalam kalangan masyarakat. Ramai yang masih percaya bahawa ada jalan pintas untuk menunaikan haji dengan cepat. Hakikatnya, urusan haji dikawal ketat oleh kerajaan Arab Saudi dan juga Tabung Haji. Tiada siapa boleh ‘potong queue’ sesuka hati. Sebab itu penting untuk orang ramai semak latar belakang agensi sebelum membuat sebarang bayaran. Jangan hanya percaya pada cakap atau promosi di media sosial. Kalau sesuatu tawaran nampak terlalu bagus untuk jadi kenyataan, besar kemungkinan ia memang tidak betul.
Peranan undang-undang dan tindakan tegas
Dalam usaha membanteras penipuan ini, tindakan undang-undang perlu lebih tegas. Pihak berkuasa seperti Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia bersama PDRM perlu terus memantau aktiviti agensi pelancongan, terutamanya yang aktif di media sosial. Undang-undang sedia ada sebenarnya sudah cukup untuk mengambil tindakan, tetapi penguatkuasaan perlu lebih agresif supaya penipu tidak terus berleluasa. Pada masa yang sama, orang ramai juga perlu memainkan peranan dengan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan.
Akhirnya, dalam usaha mengejar ibadah yang penuh keberkatan ini, kita tidak boleh abaikan aspek keselamatan dan kewarasan dalam membuat keputusan. Haji bukan sesuatu yang boleh dipercepatkan dengan jalan pintas. Kalau masih percaya kepada janji manis tanpa bukti, risiko untuk menjadi mangsa memang tinggi. Dalam hal ini, kesabaran bukan sahaja satu sikap yang baik, tetapi satu keperluan.

Nuramirah Juma’at
Pensyarah Kanan
Pusat Pengajian Diploma
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Norain Ahmad Nordin
Pensyarah Kanan
Pusat Pengajian Diploma
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
