Setiap kali menjelang Zulhijjah, umat Islam di seluruh dunia kembali menyambut Aidiladha. Sebuah perayaan yang sarat dengan nilai pengorbanan, keikhlasan dan kepatuhan kepada Allah SWT. Seiring perkembangan zaman, suasana Aidiladha hari ini turut dirasai di ruang digital. Sudah pasti ruangan di media sosial dipenuhi dengan gambar ibadah korban, suasana jemaah haji di Makkah, kempen penyertaan korban, serta pelbagai perkongsian doa, hadis dan tazkirah dipamerkan.
.
Fenomena ini membuktikan bahawa nilai dan kesedaran agama terus subur dalam kehidupan masyarakat era ini. Hari ini, teknologi bukan lagi sekadar medium komunikasi, malah telah menjadi ruang masyarakat untuk berkongsi ilmu dan menyebarkan kesedaran. Dalam banyak keadaan, media sosial membantu mendekatkan masyarakat dengan nilai agama melalui penyampaian yang lebih pantas dan mudah diakses.
.
Namun di sebalik perkembangan tersebut, timbul satu persoalan yang wajar difikirkan bersama iaitu dalam dunia yang terlalu menekankan paparan dan perhatian, bagaimana makna sebenar pengorbanan dapat terus dihayati tanpa tenggelam dalam budaya perkongsian yang bersifat sementara dan bermusim?
.
Makna korban yang membentuk jiwa
Aidiladha sering dikaitkan dengan ibadah penyembelihan haiwan korban. Walau bagaimanapun, makna pengorbanan sebenarnya jauh lebih besar daripada itu. Kisah Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS bukan hanya sejarah ibadah yang perlu diingat, tetapi ibrah yang perlu dihayati bagaimana nilai lambang kepatuhan yang menuntut keikhlasan dan keyakinan sepenuhnya kepada perintah Allah SWT.
.
Daripada kisah tersebut dengan penghayatan yang penuh maka akan lahir satu pengajaran penting bahawa pengorbanan bukan hanya berkaitan kehilangan sesuatu yang disayangi, tetapi juga kemampuan manusia mendahulukan prinsip dan tanggungjawab berbanding kehendak diri sendiri.
.
Dalam kehidupan harian, nilai ini hadir dalam pelbagai bentuk yang sering dipandang kecil. Ada pengorbanan yang berlaku apabila seseorang memilih untuk bersabar ketika diuji, mengalah demi menjaga hubungan atau menahan diri daripada mengeluarkan kata kata yang menyakitkan. Meskipun tidak terlihat besar pada pandangan manusia, sikap seperti inilah yang sebenarnya membentuk kematangan jiwa dan akhlak.
.
Antara perkongsian dan keikhlasan
Media sosial hari ini memberi ruang yang luas kepada masyarakat untuk berkongsi pengalaman dan amalan. Banyak kandungan berkaitan ibadah yang mampu memberi inspirasi dan menyedarkan orang lain tentang kepentingan melakukan kebaikan.
.
Namun dalam masa yang sama, keterbukaan ini juga menimbulkan cabaran tertentu. Apabila sesuatu amalan terlalu mudah dipamerkan, ada kemungkinan fokus terhadap penghayatan berubah kepada keinginan mendapatkan perhatian atau penghargaan daripada orang lain.
.
Keadaan ini tidak bermaksud perkongsian ibadah perlu dihentikan sepenuhnya. Sebaliknya, ia mengingatkan bahawa setiap amalan memerlukan keseimbangan antara niat, tujuan dan cara ia dipersembahkan. Keikhlasan tetap menjadi asas utama yang menentukan nilai sesuatu ibadah di sisi Allah SWT. Oleh sebab itu, masyarakat perlu lebih bijak menggunakan media sosial agar ruang digital terus menjadi medium menyebarkan manfaat tanpa menghilangkan roh penghayatan dalam beragama.
.
Adab dalam ruang digital
Selain menjadi medium maklumat, media sosial juga telah menjadi ruang masyarakat meluahkan pendapat dan berinteraksi antara satu sama lain. Dalam keadaan ini, adab komunikasi menjadi perkara yang semakin penting untuk diberi perhatian.
.
Aidiladha secara tidak langsung mengajar bahawa pengorbanan juga boleh berlaku dalam bentuk komunikasi. Ada ketikanya seseorang perlu mengorbankan ego, menahan kemarahan dan memilih bahasa yang lebih baik demi menjaga hubungan sesama manusia. Ini kerana, dalam dunia digital yang pantas dan terbuka, satu kenyataan boleh disalah tafsir dan menimbulkan perbalahan yang berpanjangan.
.
Sebab itu, sikap berhati hati ketika menulis, menghormati pandangan orang lain dan mengelakkan penghinaan perlu menjadi budaya masyarakat hari ini. Nilai seperti sabar, berlapang dada dan menjaga tutur kata bukan sahaja penting dalam kehidupan bersemuka, tetapi juga dalam setiap bentuk interaksi di alam maya.
.
Perubahan gaya hidup dan semangat kebersamaan
Peredaran zaman turut membawa perubahan terhadap cara masyarakat meraikan Aidiladha. Jika dahulu suasana gotong royong ketika melapah dan mengagihkan daging korban begitu sinonim dalam masyarakat, hari ini banyak proses tersebut dikendalikan secara lebih tersusun dan profesional.
.
Penggunaan rumah sembelih moden misalnya membantu memastikan urusan korban menjadi lebih bersih, cepat dan sistematik. Namun dalam masa yang sama, suasana kebersamaan yang dahulu tercipta melalui aktiviti masyarakat semakin berkurangan, khususnya di kawasan bandar. Dahulu, Aidiladha bukan sahaja tentang ibadah korban, tetapi juga tentang hubungan sosial yang terjalin sepanjang proses tersebut. Orang kampung berkumpul sejak pagi, saling membantu dan berkongsi rezeki dalam suasana yang penuh kemesraan.
.
Hari ini, walaupun bentuk sambutan berubah, nilai kebersamaan itu tetap perlu dipelihara. Masyarakat hari ini perlu mencari pendekatan baharu agar semangat saling membantu dan mengambil berat sesama jiran terus hidup walaupun dalam gaya hidup moden yang semakin sibuk.
.
Pengorbanan dalam dunia generasi muda
Generasi muda hari ini membesar dalam dunia yang sangat berbeza daripada generasi terdahulu. Mereka lebih dekat dengan teknologi, media sosial dan gerakan komuniti yang digerakkan secara digital. Disebabkan itu, bentuk pengorbanan yang diterjemahkan oleh generasi muda juga berubah mengikut persekitaran semasa. Ada yang menyumbang tenaga melalui kerja sukarelawan, membantu gerakan kemanusiaan atau menggunakan platform digital untuk menggerakkan bantuan kepada masyarakat yang memerlukan.
.
Perubahan ini menunjukkan bahawa nilai pengorbanan tidak pernah hilang. Ia hanya hadir dalam bentuk yang lebih sesuai dengan realiti zaman sekarang. Apa yang penting ialah nilai asas seperti keikhlasan, kepedulian dan kesediaan membantu orang lain terus menjadi teras dalam setiap tindakan. Dalam masa yang sama, generasi muda juga perlu dibimbing agar tidak melihat pengorbanan sekadar sebagai kandungan untuk dipaparkan, tetapi sebagai nilai yang benar benar diterapkan dalam kehidupan.
.
Aidiladha dan pembentukan insan
Natijahnya, Aidiladha bukan sekadar perayaan tahunan yang diraikan setiap kali tibanya Zulhijjah. Ia adalah peringatan tentang proses membentuk manusia agar menjadi lebih sabar, matang dan berakhlak dalam menjalani kehidupan. Pengorbanan tidak semestinya hadir dalam perkara yang besar. Kadangkala ia hadir melalui tindakan kecil yang dilakukan dengan ikhlas dan penuh tanggungjawab. Semangat inilah yang sepatutnya terus hidup selepas berakhirnya musim perayaan.
.
Jika Aidiladha hanya difahami sebagai rutin tahunan, maka ia akan berlalu seperti kebiasaan. Namun jika nilai pengorbanan benar benar dihayati, ia mampu membentuk cara manusia berfikir, bertindak dan berinteraksi sepanjang kehidupan.

Profesor Madya Dr. Khairunesa Isa
Jabatan Sains Sosial
Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
.
Rencana ini juga diterbitkan di:
1. Bernama (bernama.com), 28 Mei 2026: Aidiladha, Media Sosial Dan Makna Pengorbanan Pada Era Digital
